Adam Di Alam Melayu: Penurunan Dari Jannah dan Asal Peradaban Manusia Menurut Al Quran

ADAM DI ALAM MELAYU PENURUNAN DARI JANNAH DAN ASAL PERADABAN MANUSIA MENURUT AL QURAN BAHAGIAN 1 - PENURUNAN DARI SYURGA KE BUMI

1,397 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
4 minit 51 saat

Adam Di Alam Melayu Penurunan Dari Jannah dan Asal Peradaban Manusia Menurut Al Quran

Bahagian 1 - Penurunan Dari Syurga Ke Bumi

 

Sebelum membicarakan tentang turunnya Nabi Adam ke Nusantara dan lebih khusus lagi ke Melaka, maka terlebih dahulu kita perlu memahami dengan tepat perintah penurunan Adam ke al-Ardh (bumi) sebagaimana dijelaskan oleh al-Quran.

Secara umumnya, kita mengetahui bahawa Adam dan Hawa berada di Jannah sebelum mereka diperdaya oleh Iblis. Lihat kepada firman Allah SWT seperti berikut:

فَأَزَلَّهُمَا ٱلشَّيۡطَٰنُ عَنۡهَا فَأَخۡرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ بَعۡضُكُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوّٞ ۖ وَلَكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُسۡتَقَرّٞ وَمَتَٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

"Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu semua! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 36)

Dalam ayat Al-Baqarah 2:36 ini Allah menggunakan istilah "kami" (وَقُلۡنَا) bagi menyatakan "kami berfirman" agar turunlah kamu semua. Kami ini adalah merujuk kepada Allah Al Malik kerana Al Malik lah penguasa kepada jannah iaitu sebuah dimensi ruang dan masa dalam alam ini. 

Penurunan ini bukan hanya melibatkan Adam dan Hawa, tetapi juga Iblis, kerana Iblis juga telah menetap dalam dimensi yang sama ketika peristiwa ini berlaku.


Petunjuk (Huda) Akan Mengiringi Manusia di Bumi

Turunnya manusia ke bumi tidaklah bermaksud manusia ditinggalkan tanpa bimbingan langsung sebagaimana di jannah. Allah menegaskan dalam ayat berikut:

قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡهَا جَمِيعًا ۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ

"Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita"."

(QS. Al-Baqarah 2: Ayat 38)

Sepanjang berada di bumi mereka dikehendaki untuk mengikuti huda tersebut. Huda inilah bekal manusia di bumi kerana bumi ini adalah tempat ujian. Huda adalah hidayah yang dijadikan panduan. Tanpa hidayah, manusia hilang arah di dunia. Dengan mengikuti hidayah, manusia kembali kepada Allah untuk berada di jannah semula.


Bumi Adalah Tempat Sementara

 Allah menyatakan bahawa mereka diturunkan ke bumi iti bertempoh. Maksudnya ada masa mula dan ada juga masa tamat. Bumi bukanlah tempat yang kekal untuk mereka. Ia hanya fasa dalam perjalanan manusia. Mereka berada sementara sahaja sebagaimana firman Allah dalam ayat berikut:

قَالَ ٱهۡبِطُواْ بَعۡضُكُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوّٞ ۖ وَلَكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُسۡتَقَرّٞ وَمَتَٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

"Allah berfirman: "Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)"."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 24)

Jadi, sepanjang berada di bumi nanti, mereka akan hidup dalam suatu komuniti. Masing-masing akan memerlukan dan ada juga yang saling bermusuhan. Mereka diberi kebebasan untuk melakukan pilihan mereka sehinggalah masa mereka tamat.


Tiga Alam Manusia di Bumi

Allah menjelaskan bahawa bumi itu adalah destinasi mereka. Ketika dibumi mereka akan berada dalam tiga alam berbeza bukannya satu alam sahaja. Perhatikan alam-alam itu pada firman Allah melalui ayat berikut:

قَالَ فِيهَا تَحۡيَوۡنَ وَفِيهَا تَمُوتُونَ وَمِنۡهَا تُخۡرَجُونَ

"Allah berfirman lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)"."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 25)


Dalam ayat Al-A'raf 7:25 ini manusia akan berpindah dari alam sebelumnya ke alam kehidupan di atas bumi. Sebab itulah Allah katakan di bumi itu kita akan di hidupkan dan kita sekarang sedang hidup sambil membaca apa yang dituliskan ini. 

Selepas itu Allah menyatakan kita akan dimatikan. Selepas kita di matikan kita tetap berada di bumi mengikut ayat ini tetapi di dalam bumi. Maka, ini bermakna alam barzakh berada di bumi. Setelah kita mati, maka menetaplah kita di alam yang lain walaupun kita sudah mati. 

Kemudian Allah kata kita akan dibangkitkan semula mengikut ayat ini. Kita akan dibangkitkan dari bumi. Maksudnya selepas semua orang mati setelah dunia kiamat, di mana semua orang sudah berpindah dari alam kehidupan ke alam barzakh dan mendiami alam barzakh, sampai masanya kita akan dibangkitkan ke alam baru yang lain juga di bumi. Alam itu adalah alam kebangkitan. 

Ini membuktikan bumi adalah pusat perjalanan kita.


Adam dan Hawa Diturunkan Bersama-sama

Ketika diturunkan Adam dan Hawa diturunkan bersama-sama bukannya secara terpisah. Perkataan ٱهۡبِطَا bermaksud kamu berdua, iaitu Adam dan Hawa. Anda boleh lihat kepada firman Allah dalam ayat ini:

قَالَ ٱهۡبِطَا مِنۡهَا جَمِيعَۢا ۖ بَعۡضُكُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوّٞ ۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشۡقَىٰ

"Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara."

(QS. Ta-Ha 20: Ayat 123)

Adam dan Hawa turun dan bakal menjalani kehidupan bersama-sama di bumi pula setelah hidup di jannah. 

Ini sedikit berbeza berbanding yang dinyatakan dalam Al-Baqarah 2:36 menggunakan perkataan ٱهۡبِطُواْ yang bermaksud "kamu semua". 

Perbezaan ini mengikat satu fakta yang sangat penting untuk kita sama-sama pegang.

Adam dan Hawa turun ke bumi bersama-sama. Mereka memulakan kehidupan sebagai pasangan lengkap suami-isteri. Mereka juga tidak terpisah lokasi. Ini kelak menjadi asas konfigurasi asal manusia, pembinaan komuniti, penempatan dan tamadun.


Kesimpulan 

Pada titik ini, premis penurunan sudah lengkap daripada Al-Quran dan mustahil boleh dicabar. Bahagian seterusnya akan jadi lebih menarik iaitu berkenaan lokasi.

Kalau bumi adalah destinasi Adam, di mana Allah letakkan titik mula kaki pasangan manusia pertama itu akan di jejakkan?

Di sinilah Melaka akan masuk sebagai calon yang paling memenuhi ciri barokah, keperluan air, kedua lembah, koordinat matahari, pusat pelayaran awal dan laluan migrasi Nabi-Nabi kemudian.

Bersambung


Penghargaan

Penulisan ini berdiri atas sokongan para sahabat yang telah menaja pembelian sebuah laptop kerja baharu untuk pasukan kami. Tajaan ini telah pun mencukupi dan laptop tersebut akan dibeli serta digunakan khusus untuk penyelidikan, pengurusan teks, pembangunan sistem dan penulisan Team BAZ

Kami mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat. Sokongan ini bukan derma dan bukan pemberian kosong. Ia adalah penyertaan dalam kerja ilmu dan pembongkaran kefahaman.

Maka pendedahan ini adalah milik mereka yang menaja. Semoga setiap ilmu ini dibaca, difahami dan dijadikan asas pembongkaran yang lebih dalam, mengalirlah rahmat dari Allah yang tidak putus.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.