Siri Ahlul Kisa'

BAHAGIAN 3: MENGAPA UMMU SALAMAH TIDAK BERADA DI BAWAH KISA'?

23 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
6 minit 33 saat

Bahagian 3:

Mengapa Ummu Salamah Tidak Berada di Bawah Kisa'?

Siri: Ahlul Kisa'


Penulisan ini mungkin mengubah cara anda memahami peristiwa agung Ahlul Kisa'.

Kisah Ahlul Kisa' bukan sekadar menjelaskan siapakah yang berada di bawah kain tersebut. Ia turut mengundang persoalan yang lebih mendalam. Mengapakah Ummu Salamah, isteri Nabi yang mulia, tidak dimasukkan ke dalam Kisa'?

Adakah keadaan ini menandakan wujudnya perbezaan kedudukan? Atau adakah terdapat hikmah yang tersembunyi di sebalik keputusan tersebut?

Dalam penulisan ini, kita akan menelusuri makna yang terkandung dalam Kisa' sebagai suatu ruang eksklusif.

Kita juga akan meneliti ketiadaan Ummu Salamah di bawah Kisa' serta bagaimana sabda Nabi, “Engkau lebih baik bersamaku,” membuka dimensi baharu dalam memahami suatu peristiwa agung yang masih jarang dibicarakan.

Hadis Riwayat at-Tirmidhi 3787

Versi Penuh dalam Bahasa Arab:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سُلَيْمَانَ الأَصْبَهَانِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ عُبَيْدٍ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ، رَبِيبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمَّ ‏:‏ ‏(‏ إنمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‏)‏ فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ فَدَعَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَجَلَّلَهُمْ بِكِسَاءٍ وَعَلِيٌّ خَلْفَ ظَهْرِهِ فَجَلَّلَهُ بِكِسَاءٍ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اللَّهُمَّ هَؤُلاَءِ أَهْلُ بَيْتِي فَأَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ وَأَنَا مَعَهُمْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ أَنْتِ عَلَى مَكَانِكِ وَأَنْتِ إِلَيَّ خَيْرٍ ‏"‏ ‏. وَفِي الْبَابِ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ وَمَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ وَأَبِي الْحَمْرَاءِ وَأَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ ‏.‏ وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ ‏.‏

Terjemahan Bahasa Melayu:

عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ، رَبِيبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم

Daripada 'Umar bin Abi Salamah, anak tiri (yang dipelihara) Rasulullah SAW.

قَالَ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمَّ ‏:‏

Beliau berkata: "Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW".

‏(‏ إنمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‏)‏

"Sesungguhnya Allah ingin menghilangkan kotoran dari kalian, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kalian sesuci-sucinya. (al-Ahzab 33:33)

فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ فَدَعَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَجَلَّلَهُمْ بِكِسَاءٍ وَعَلِيٌّ خَلْفَ ظَهْرِهِ فَجَلَّلَهُ بِكِسَاءٍ

"Di rumah Ummu Salamah, Nabi SAW memanggil Fatimah, Hassan dan Hussin lalu menutupi mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi lalu beliau menutup Ali dengan kain."

ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اللَّهُمَّ هَؤُلاَءِ أَهْلُ بَيْتِي فَأَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا ‏"‏ ‏.‏

Kemudian baginda berkata, "Ya Allah, inilah Ahlul Baitku. Hilangkanlah kotoran dari mereka dan sucikan mereka dengan penyucian yang sempurna."

قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ وَأَنَا مَعَهُمْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ

Ummu Salamah berkata, "Adakah saya termasuk bersama mereka, wahai Rasulullah?"

قَالَ ‏"‏ أَنْتِ عَلَى مَكَانِكِ وَأَنْتِ إِلَيَّ خَيْرٍ ‏"‏ ‏.

Baginda berkata, "Engkau berada di tempatmu dan engkau lebih baik bersamaku."


Kedudukan Ummu Salamah dalam Rumah

Peristiwa ini berlaku di rumah Ummu Salamah, salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW yang dikenali kerana kebijaksanaan dan kesetiaannya.

Namun, meskipun hadir secara fizikal di tempat tersebut, Ummu Salamah tidak dimasukkan ke bawah Kisa'.

Hal ini menunjukkan bahawa ruang di bawah Kisa' mempunyai sifat eksklusif. Ruang tersebut dikhususkan oleh Nabi untuk individu tertentu sahaja, iaitu Fatimah, Ali, Hassan dan Hussin.

Walaupun Ummu Salamah berada berdekatan secara fizikal, ruang di bawah Kisa' bukan sekadar suatu tempat.

Ruang tersebut merupakan tempat berlangsungnya penyucian khusus oleh Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam ayat:

“Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan kotoran daripada kamu, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.” (Surah al-Ahzab 33:33)

Perkara ini turut dapat dilihat melalui doa Nabi dalam hadis yang dirujuk:

“Ya Allah, inilah Ahlul Baitku. Hilangkanlah kotoran daripada mereka dan sucikan mereka dengan penyucian yang sempurna.”


Kelompok yang Dipilih untuk Penyucian

Individu yang dipilih untuk menerima penyucian tersebut bukanlah ahli rumah yang berada secara langsung di bawah tanggungjawab Nabi. Sebaliknya, mereka ialah ahli rumah yang berada di bawah tanggungjawab Ali.

Hal ini bermaksud bahawa individu yang disucikan itu ialah Ahlul Bait Ali.

Ali sendiri bersama Fatimah, Hassan dan Hussin termasuk dalam Ahlul Bait Ali dan membentuk kelompok Ahlul Kisa'. Berdasarkan doa Nabi, seluruh Ahlul Kisa' itu pula disebut sebagai Ahlul Bait Nabi.

Ahlul Bait Ali berada di dalam Bait Nabi manakala Ummu Salamah berada di dalam Bait tersebut sebagai penghuni rumah. Namun, kelompok Ahlul Kisa' dipisahkan daripada ruang Bait lalu ditempatkan di bawah Kisa'.

Pemisahan ini bukan bertujuan mengurangkan kehormatan Ummu Salamah. Sebaliknya, keadaan tersebut menegaskan peranan khusus Ahlul Kisa' sebagai individu yang dipilih untuk menerima penyucian tersebut.


Jawapan Penuh Kasih Sayang

Ketika Ummu Salamah bertanya kepada Nabi:

“Adakah aku termasuk bersama mereka?”

Nabi menjawab dengan penuh kasih sayang:

“Engkau berada di tempatmu dan engkau lebih baik bersamaku.”


Apa Makna "Lebih Baik Bersamaku"?

1. Kedudukan Ummu Salamah yang Tinggi

Jawapan ini menunjukkan bahawa Ummu Salamah telah berada di tempat yang sepatutnya dan terus kekal di tempat yang istimewa di sisi Nabi.

Beliau ialah seorang isteri yang dihormati dan mulia serta merupakan Ahlul Bait Nabi.

2. Perbezaan Peranan

Ummu Salamah tidak ditempatkan di bawah Kisa' kerana ruang tersebut telah dikhususkan untuk tujuan penyucian tertentu yang berkaitan dengan Ahlul Kisa'.

Dalam hadis yang lain, Ahlul Kisa' atau Ahlul Bait yang terdiri daripada Ali, Fatimah, Hassan dan Hussin akan menghadapi ujian-ujian dahsyat selepas ketiadaan Nabi kelak.

Ummu Salamah sudah berada dalam kedudukan yang istimewa. Oleh itu, ungkapan “Engkau lebih baik bersamaku” sama sekali tidak mengurangkan kehormatan beliau. Beliau tetap mempunyai hubungan eksklusif dengan Nabi melalui kedudukan yang berbeza.


Fungsi dan Keistimewaan Ruang dalam Kisa'

Ruang di bawah Kisa' membawa makna yang lebih besar daripada sekadar ruang fizikal. Pada zahirnya, ruang tersebut kecil dan hanya terbentuk daripada sehelai kain.

Namun, kedudukannya mempunyai makna yang lebih luas.

1. Ruang Penyucian

Penyucian yang diberikan kepada individu di bawah Kisa' menunjukkan kasih sayang Allah SWT kepada mereka. Daripada kelompok ini pula akan lahir generasi-generasi istimewa selepas itu.

Di sinilah kita dapat melihat kaitan antara peristiwa ini dengan amanah warisan Tsaqalain.

2. Perbezaan Peranan

Fatimah, Ali, Hassan dan Hussin mempunyai kedudukan yang khusus sebagai Ahlul Bait.

Ketiadaan Ummu Salamah di bawah Kisa' mengukuhkan pemahaman bahawa ruang tersebut dikhususkan untuk tujuan yang sangat spesifik serta berjangka panjang.

Memandangkan anda semua ialah pengkaji peristiwa-peristiwa akhir zaman, saya percaya kaitan peristiwa ini dengan perkara tersebut akan menjadi semakin jelas.


Persoalan untuk Renungan

Sebelum kita meneruskan perbincangan, bagaimanakah pandangan anda tentang peristiwa ini?

Adakah ruang Kisa' dan kedudukan Ummu Salamah menimbulkan persoalan baharu dalam memahami peristiwa Ahlul Kisa'?

Marilah kita renungkan persoalan ini bersama-sama.


Imam Mahdi, Islah dan Kisa'

Imam Mahdi berasal daripada keturunan Ahlul Kisa'. Dengan itu, beliau ialah Ahlul Bait dari sudut genetik. Adakah Imam Mahdi mempunyai kaitan dengan konsep Kisa'?

Apakah mungkin islah Imam Mahdi merupakan suatu bentuk penyucian qalbu melalui kaedah Kisa', sebagaimana yang berlaku kepada leluhurnya, Fatimah, Ali, Hassan dan Hussin?

Mungkinkah Imam Mahdi, sebagai individu yang berkomunikasi dengan Rabb melalui Kaedah 1, turut berkomunikasi melalui tabir, iaitu Kaedah 2?

Atau mungkinkah Imam Mahdi akan dimikrajkan sebagaimana Nabi bertemu Allah di langit melalui Kaedah 3?
Imam Mahdi, Islah dan Kisa'


Penutup

Peristiwa Ahlul Kisa' tidak boleh difahami hanya dengan mengenal pasti individu yang berada di bawah kain. Kedudukan rumah Ummu Salamah, sifat eksklusif ruang Kisa' serta susunan individu yang berada di dalamnya membentuk satu rangkaian makna yang saling berkaitan.

Kisa' bukan sekadar kain yang menutupi beberapa individu. Ia menjadi ruang khusus yang di dalamnya Nabi menyerahkan Ahlul Bait tertentu kepada Rabb untuk menerima penyucian melalui metodologi perhubungan melalui belakang tabir.

Ketiadaan Ummu Salamah di bawah Kisa' juga tidak boleh terus ditafsirkan sebagai tanda bahawa kedudukan atau kehormatannya lebih rendah. Sebaliknya, jawapan Nabi, “Engkau berada di tempatmu dan engkau lebih baik bersamaku,” menunjukkan bahawa Ummu Salamah berada di tempat yang baik dan istimewa di sisi baginda.

Namun, kedudukan Ummu Salamah tetap berbeza daripada kedudukan kelompok yang ditempatkan di bawah Kisa'. Perbezaan ini memperlihatkan perbezaan peranan dan tujuan, bukan penafian terhadap kemuliaan beliau.

Fatimah, Ali, Hassan dan Hussin merupakan kelompok yang disatukan di bawah Kisa' dan disebut oleh Nabi sebagai Ahlul Baitnya. Daripada susunan ini, dapat dilihat bahawa penyucian dan amanah warisan tidak hanya berkaitan dengan hubungan genetik. Ali, walaupun bukan daripada darah keturunan Nabi, berada dalam kelompok Ahlul Kisa' melalui ikatan perkahwinan serta memegang kedudukan penting dalam susunan tersebut.

Peristiwa ini juga menghubungkan perbincangan tentang Ahlul Kisa' dengan amanah warisan Tsaqalain. Apabila makna ruang, penyucian dan susunan individu diteliti bersama, kita dapat melihat bahawa Kisa' tidak berdiri sebagai suatu peristiwa yang terpisah daripada persoalan masa hadapan.

Atas sebab itu, persoalan tentang Imam Mahdi, islah dan kaitannya dengan Kisa' perlu diteliti dengan lebih mendalam. Adakah islah Imam Mahdi berkait dengan penyucian qalbu melalui Kaedah 1? Mungkinkah beliau turut berkomunikasi dengan Rabb melalui tabir, iaitu Kaedah 2? Atau mungkinkah beliau akan dimikrajkan sebagaimana Nabi bertemu Allah di langit melalui Kaedah 3?

Justeru, persoalan tentang Ummu Salamah bukanlah persoalan sampingan. Ia membuka jalan kepada pemahaman tentang siapakah yang ditempatkan di bawah Kisa', mengapa ruang tersebut dikhususkan serta bagaimana penyucian itu berkait dengan amanah yang lebih besar.

Daripada satu persoalan tentang sebuah kain, kita dibawa meneliti hubungan antara Ahlul Bait, penyucian qalbu, komunikasi Allah dan perjalanan umat hingga akhir zaman. Di sinilah letaknya kepentingan peristiwa Ahlul Kisa'.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.