Siri Ahlul Kisa'

BAHAGIAN 2: RUMAH UMMU SALAMAH DAN RUANG EKSKLUSIF DI BAWAH KISA'

18 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
9 minit 28 saat

Bahagian 2:

Rumah Ummu Salamah dan Ruang Eksklusif di Bawah Kisa'

Siri: Ahlul Kisa'


Peristiwa Ahlul Kisa' merujuk kepada saat Nabi Muhammad SAW menyelubungi Fatimah, Ali, Hassan dan Hussin di bawah sehelai kain. Dalam peristiwa tersebut, baginda menyebut keempat-empat mereka sebagai “Ahlul Bait yang disucikan oleh Allah”. Namun demikian, mengapakah Ummu Salamah, isteri baginda yang juga merupakan tuan rumah serta saksi kepada peristiwa tersebut, tidak dimasukkan ke dalam kelompok ini?

Peristiwa ini bukan sahaja sarat dengan simbolisme malah turut membuka ruang kepada perbincangan yang lebih mendalam mengenai kedudukan Ahlul Bait serta mesej tersirat di sebalik tindakan Nabi Muhammad SAW.

Sejauh manakah kita benar-benar memahami makna yang terkandung dalam peristiwa tersebut?

Penulisan ini akan meneliti aspek lokasi, tempat dan ruang khusus yang menjadi latar kepada berlakunya peristiwa Kisa'.


Hadis Rujukan

Hadis ini sentiasa menjadi rujukan induk dalam membicarakan tentang Ahlul Kisa'. Kita rujuk semula Hadis Riwayat at-Tirmidhi 3787. Versi penuh terdapat pada Bahagian 1.

Terjemahan Bahasa Melayu

عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ، رَبِيبِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم

Daripada 'Umar bin Abi Salamah, anak tiri (yang dipelihara) Rasulullah SAW.

قَالَ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمَّ ‏:‏

Beliau berkata: "Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW".

‏(‏ إنمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‏)‏

"Sesungguhnya Allah ingin menghilangkan kotoran dari kalian, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kalian sesuci-sucinya. (al-Ahzab 33:33)

فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ فَدَعَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاطِمَةَ وَحَسَنًا وَحُسَيْنًا فَجَلَّلَهُمْ بِكِسَاءٍ وَعَلِيٌّ خَلْفَ ظَهْرِهِ فَجَلَّلَهُ بِكِسَاءٍ

"Di rumah Ummu Salamah, Nabi SAW memanggil Fatimah, Hassan dan Hussin lalu menutupi mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi lalu beliau menutup Ali dengan kain."

ثُمَّ قَالَ ‏"‏ اللَّهُمَّ هَؤُلاَءِ أَهْلُ بَيْتِي فَأَذْهِبْ عَنْهُمُ الرِّجْسَ وَطَهِّرْهُمْ تَطْهِيرًا ‏"‏ ‏.‏

Kemudian baginda berkata, "Ya Allah, inilah Ahlul Baitku. Hilangkanlah kotoran dari mereka dan sucikan mereka dengan penyucian yang sempurna."

قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ وَأَنَا مَعَهُمْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ

Ummu Salamah berkata, "Adakah saya termasuk bersama mereka, wahai Rasulullah?"

قَالَ ‏"‏ أَنْتِ عَلَى مَكَانِكِ وَأَنْتِ إِلَيَّ خَيْرٍ ‏"‏ ‏.

Baginda berkata, "Engkau berada di tempatmu dan engkau lebih baik bersamaku."


Lokasi: Rumah Ummu Salamah

Lokasi peristiwa Ahlul Kisa' mempunyai kepentingan yang besar dari sudut sejarah dan nilai kerohanian. Lokasi ini bukan sekadar latar fizikal kepada peristiwa tersebut malah menjadi sebahagian daripada konteks yang membantu kita memahami makna dan susunan peristiwa itu.

Peristiwa ini berlaku di rumah Ummu Salamah, salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW. Rumah Ummu Salamah merupakan sebahagian daripada kawasan kediaman Nabi Muhammad SAW yang terletak berhampiran Masjid Nabawi di Madinah.

Walaupun rumah-rumah tersebut kecil dari segi fizikal, rumah itu menjadi pusat penting bagi kehidupan sosial dan kerohanian masyarakat Muslim.


Peranan Ummu Salamah

Ummu Salamah dikenali sebagai seorang yang bijaksana dan bertakwa serta mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Muhammad SAW.

Dalam kalangan isteri Nabi, tiga orang yang sangat menonjol dari segi kecerdasan dan kebijaksanaan berdasarkan warisan yang ditinggalkan kepada kita ialah Khadijah, Aisyah dan Ummu Salamah.

Di Madinah, pemilihan rumah Ummu Salamah sebagai tempat berlangsungnya peristiwa ini berbanding rumah Aisyah menunjukkan kepercayaan Nabi terhadapnya serta kedudukannya yang tinggi dalam Islam.

Penjelasan ini bukanlah bertujuan menafikan kedudukan Aisyah. Namun, pada waktu tersebut, Aisyah masih terlalu muda, iaitu dalam usia belasan tahun sedangkan Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang lebih matang dalam lingkungan usia 30-an.

Terdapat banyak sebab lain yang boleh dibincangkan. Namun, dalam perkara ini, kesaksian Ummu Salamah mempunyai kepentingan yang lebih besar. Maksud ini mungkin dapat difahami dengan lebih jelas apabila anda mengetahui sejarah Perang Jamal.


Kesucian Rumah

Daripada sudut lokasi, kisah Ahlul Kisa' menunjukkan bahawa rumah tersebut bukan sekadar tempat berlangsungnya suatu peristiwa. Rumah itu juga berfungsi sebagai ruang peribadi yang memperlihatkan sifat eksklusif peristiwa Kisa'.

Atas sebab itu, kita perlu memelihara rumah dan menjadikannya sebagai tempat yang suci.

Apabila rumah dipelihara kesuciannya, rumah tersebut boleh menjadi medan kerohanian yang baik untuk membina hubungan antara kita dengan Rabb.


Tempat: Di Dalam Rumah

Hadis di atas dengan jelas menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku di dalam rumah Ummu Salamah. Perincian ini menggambarkan bahawa peristiwa tersebut berlangsung dalam persekitaran yang tertutup, terlindung dan bersifat peribadi.

Saya telah menjelaskan ciri-ciri Bait dalam penulisan berikut:

Istilah Bait dan Baiti

Jika anda mahu membaca penulisan penuh, mulakan dengan penulisan ini.

2 Perkara Yang Berat (Tsaqalain)

Penjelasan tentang lokasi dan kedudukan ini menonjolkan beberapa aspek penting.


Rumah sebagai Ruang Suci

Dalam ajaran Islam, rumah tangga merupakan tempat terbinanya iman, akhlak dan pertumbuhan kejiwaan.

Dengan memilih ruang domestik di dalam rumah sebagai tempat berlangsungnya peristiwa Ahlul Kisa', Nabi Muhammad SAW menekankan kesucian institusi keluarga serta peranannya dalam penyucian qalbu.


Hubungan Nuzul Wahyu dalam Persekitaran yang Dikenali

Hubungan antara ayat penyucian, iaitu Ayat Tathir dalam Surah al-Ahzab ayat 33, dengan rumah Ummu Salamah mengukuhkan idea bahawa perbuatan Rabb sering kali berlaku dalam persekitaran biasa yang sentiasa kita diami.

Persekitaran yang paling dekat dan paling baik itu ialah rumah kita. Oleh itu, jika kita mahu mendekatkan diri dengan Rabb, antara perkara yang wajib dijaga ialah rumah tangga.


Ruang dan Dinamika Ruang

Ruang dan dinamika ruang dalam peristiwa ini sangat penting untuk memahami makna serta implikasinya.

Analisis ini melibatkan kedudukan setiap individu, penggunaan kain, selimut atau Kisa' serta interaksi antara mereka yang berada di dalam dan di luar ruang tersebut:


1. Maksud Ruang

Ruang merujuk kepada lokasi tertentu di dalam rumah yang menjadi tempat berlakunya peristiwa Kisa'.

Dalam peristiwa Ahlul Kisa', ruang tersebut ialah bahagian di dalam rumah Ummu Salamah yang menjadi lokasi fizikal peristiwa itu.

Secara lebih khusus, ruang tersebut merujuk kepada kawasan di bawah kain atau Kisa' yang dibentuk oleh baginda Nabi di dalam lokasi fizikal rumah Ummu Salamah.

2. Maksud Dinamika Ruang

Dinamika ruang pula merujuk kepada individu dan elemen yang terdapat dalam ruang tersebut serta bagaimana mereka berinteraksi, bergerak, disusun dan saling berkaitan.

Melalui penilaian terhadap dinamika ruang, kita dapat meneliti perkara-perkara berikut:

    1. Bagaimana baginda Nabi Muhammad SAW membentuk Kisa' sebagai suatu ruang eksklusif di dalam rumah tersebut.
    2. Bagaimana Nabi Muhammad SAW menyusun Fatimah, Hassan, Hussin dan Ali di bawah kain sebagai satu ruang yang eksklusif.
    3. Ummu Salamah berada di luar kain namun menyaksikan peristiwa tersebut. Kedudukan ini melambangkan bahawa beliau bukan sebahagian daripada Ahlul Kisa' tetapi tetap berada di tempat yang baik.
    4. Pergerakan Nabi dari dalam Kisa' ke luar menandakan peralihan daripada ruang eksklusif, iaitu ruang di bawah Kisa', kepada ruang sosial yang melibatkan interaksi dengan Ummu Salamah.

3. Ruang di Bawah Selimut (Kisa'): Ruang yang Ditentukan untuk Penyucian

Nabi Muhammad SAW mengumpulkan Fatimah, Hassan, Hussin dan Ali di bawah selimut.

Tindakan ini bukan berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, ia dilakukan dengan sengaja, berpandu dan terancang serta sarat dengan simbolisme.

Melalui Kisa', baginda membentuk suatu ruang yang tertutup dari bahagian atas.

Pada masa yang sama, ruang tersebut mewakili kesatuan antara individu yang berada di bawah Kisa'.

Pada titik ini, kita perlu mengingati kembali tiga metodologi komunikasi Allah dengan manusia.

Komunikasi Allah dengan anggota yang berada di bawah Kisa' merupakan metodologi kedua, iaitu perhubungan melalui belakang tabir. Dalam peristiwa ini, Kisa' itulah tabirnya.


4. Kisa' sebagai Tabir Perlindungan dan Ruang Penyucian

Selimut atau Kisa' tersebut mempunyai fungsi simbolik yang jelas. Ia menggambarkan perlindungan fizikal serta berperanan sebagai tabir dan batas.

Kisa' menandakan kedudukan istimewa bagi mereka yang dimasukkan ke dalamnya atau ditempatkan di bawahnya.

Maksud ini akan lebih jelas apabila anda meneliti Surah al-Ahzab ayat 33, iaitu ayat yang menyatakan bahawa Allah ingin mensucikan Ahlul Bait. Itulah bentuk komunikasinya.


Analisis Kedudukan Dalam Ruang Kisa'

Jika kita menganalisis senario dalam hadis ini berdasarkan urutan peristiwa yang dinyatakan serta mempertimbangkan kemungkinan susunan kedudukan setiap individu dalam ruang Kisa', maka satu huraian yang dapat dikemukakan adalah seperti berikut:

1. Kedudukan Ali Sebelum Nabi Keluar dari Kisa'

a. Pada peringkat awal, Nabi Muhammad SAW memasukkan Fatimah, Hassan dan Hussin ke dalam Kisa'. Pada ketika itu, Ali berada di “belakang Nabi” tetapi masih berada di “luar Kisa'”.

b. Nabi kemudian menarik Kisa' dan turut memasukkan Ali bersama mereka. Oleh itu, ketika Nabi masih berada di dalam Kisa', Ali berada di “belakang Nabi” manakala Fatimah, Hassan dan Hussin berada di hadapan baginda dalam kedudukan yang sejajar atau rapat di hadapan baginda.

2. Nabi Keluar dari Kisa' untuk Berbicara dengan Ummu Salamah

Nabi terlebih dahulu memanjatkan doa kepada Rabb dan menyerahkan Ahlul Baitnya yang berada di dalam Kisa' kepada Rabb dengan menyebut:

“Ya Allah, inilah Ahlul Baitku. Hilangkanlah kotoran daripada mereka dan sucikan mereka dengan penyucian yang sempurna.”

Kemudian Ummu Salamah bertanya:

“Adakah saya termasuk bersama mereka, wahai Rasulullah?”

Nabi Muhammad SAW mempunyai akhlak yang mulia. Baginda sedang berdoa serta menyerahkan Ahlul Baitnya kepada Rabb agar mereka disucikan oleh Allah di bawah Kisa' melalui metodologi komunikasi Allah.

Justeru, dengan akhlak mulianya, baginda tidak akan memberikan jawapan kepada pihak lain ketika sedang berkomunikasi dengan Allah.

Nabi kemudiannya keluar dari Kisa'. Dengan keluarnya baginda, kedudukan yang sebelumnya diisi oleh baginda di dalam Kisa' menjadi kosong. Dalam keadaan ini:

    • Ali yang pada asalnya berada di “belakang Nabi” dengan sendirinya mengambil kedudukan paling hadapan di dalam Kisa'.
    • Fatimah, Hassan dan Hussin yang berada di hadapan Nabi sebelum itu kekal pada kedudukan masing-masing.
    • Oleh itu, selepas Nabi keluar dari Kisa', Ali berada di hadapan Fatimah, Hassan dan Hussin.

3. Implikasi Kedudukan Ali di Hadapan

Daripada susunan ruang tersebut, khususnya kedudukan Ali yang berada di hadapan, kita dapat meneliti dua pengajaran utama:

a. Pengajaran Kepimpinan

Kedudukan Ali yang berada di hadapan dalam Kisa' mencerminkan peranannya sebagai pelindung dan pemimpin selepas Nabi.

Fatimah ialah anak Nabi dan pada masa yang sama merupakan Ahlul Bait genetik serta penerus Nabi. Hassan dan Hussin pula ialah anak kepada Fatimah.

Ali bukan daripada darah keturunan Nabi. Namun, beliau ialah menantu dan juga sepupu Nabi.

Jika dilihat berdasarkan konsep Ahlul Bait, Fatimah, Hassan dan Hussin ialah Ahlul Bait genetik sedangkan Ali ialah individu daripada luar salasilah keturunan yang menjadi sebahagian daripada Ahlul Bait Nabi melalui ikatan perkahwinan.

Adakah keadaan ini mempunyai persamaan dengan situasi kita pada hari ini?

Terdapat ramai Ahlul Bait Nabi daripada sudut genetik sedangkan kita ialah orang biasa yang mempunyai hubungan dengan Ahlul Bait Nabi. Sebahagian daripada kita pula mempunyai hubungan dengan Ahlul Bait melalui ikatan perkahwinan.

Hal ini membawa maksud bahawa kepimpinan tidak terhad kepada individu daripada keturunan genetik sahaja. Sesiapa sahaja, sama ada daripada sudut genetik atau bukan genetik, boleh memikul peranan sebagai pemimpin.

b. Pengajaran Penyucian

Ahlul Kisa' merujuk kepada individu yang disucikan oleh Allah SWT melalui metodologi komunikasi Allah SWT.

Maksudnya, Ahlul Bait Nabi, sama ada daripada keturunan langsung atau bukan daripada keturunan langsung, juga boleh menjadi individu yang disucikan.

Justeru, Ahlul Kisa' daripada sudut genetik dan bukan genetik dianggap setara dari segi penyucian di sisi Allah.


Penutup

Peristiwa Ahlul Kisa' tidak memadai untuk difahami hanya dengan mengenal pasti individu yang berada di bawah kain. Urutan peristiwa, lokasi rumah Ummu Salamah dan susunan kedudukan setiap individu dalam ruang Kisa' turut mempunyai kepentingan yang besar. Kisa' membentuk suatu ruang eksklusif yang memisahkan individu yang berada di bawahnya daripada ruang di luarnya. Dalam ruang tersebut berlangsung proses penyucian yang diserahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Rabb melalui metodologi perhubungan melalui belakang tabir.

Apabila Nabi keluar dari Kisa' untuk menjawab pertanyaan Ummu Salamah, kedudukan baginda di dalam ruang tersebut menjadi kosong. Dalam susunan yang telah dihuraikan, Ali kemudiannya berada di hadapan Fatimah, Hassan dan Hussin.

Kedudukan ini memberikan dua pengajaran utama. Pertama, kepimpinan tidak terhad kepada individu daripada keturunan genetik Nabi. Kedua, penyucian di sisi Allah juga boleh melibatkan Ahlul Kisa' yang mempunyai hubungan genetik serta mereka yang menjadi sebahagian daripada Ahlul Bait melalui ikatan perkahwinan.

Dengan itu, kedudukan Ummu Salamah di luar Kisa' tidak boleh terus difahami sebagai kedudukan yang rendah. Hadis tersebut tetap menunjukkan bahawa beliau berada di tempat yang baik di sisi Nabi. Namun, beliau tidak ditempatkan di bawah ruang Kisa' yang dikhususkan kepada kelompok yang disebut oleh Nabi sebagai Ahlul Baitnya.

Persoalan yang masih perlu dijawab ialah mengapakah Ummu Salamah, yang berada di rumahnya sendiri dan menyaksikan peristiwa tersebut, tidak berada di bawah Kisa'? Jawapan kepada persoalan ini akan membawa kita kepada perbincangan seterusnya dalam Bahagian 3.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.