Dajjal & AROPL

MUSLIHAT DAJJAL DALAM RUKUN ISLAM

September 24, 2026 80 1
Completed
Anggaran masa membaca
3 minit 51 saat

Muslihat Dajjal Dalam Rukun Islam

Rasulullah SAW menyatakan bahawa Islam dibina atas lima perkara iaitu syahadah, solat, zakat, haji dan puasa Ramadan.

Kerja Dajjal pula adalah menterbalikkan sesuatu daripada benar kepada salah, memesongkannya daripada yang lurus kepada yang bengkok atau menyamarkan yang palsu sehingga kelihatan seperti benar.


Mana Dalil Dajjal Akan Menterbalikkan Semua Rukun Islam?

Mesti ada orang bertanya:

“Mana dalil Dajjal akan menterbalikkan semua Rukun Islam?”

Jawapannya ialah kita perlu memahami tujuan dan cara kerja Dajjal. Sebabnya, buat jahat tidak perlu dalil.

Hadis tidak semestinya menyebut satu per satu bahawa Dajjal akan menterbalikkan syahadah, solat, zakat, puasa dan haji. Namun Rasulullah SAW telah menerangkan bahawa Dajjal ialah fitnah besar yang akan menukar hakikat sesuatu.

Dia membawa gambaran syurga dan neraka. Apa yang kelihatan seperti syurga sebenarnya adalah neraka.

Jika tujuan Dajjal ialah menyesatkan manusia daripada jalan yang dibawa oleh para rasul, maka dia tidak perlu membawa agama baharu secara terang-terangan. Jika dia membawa agama baharu, dia akan ditolak.

Cara yang lebih berkesan ialah mengekalkan nama dan bentuk agama sambil menterbalikkan maknanya.

Al-Quran sendiri menerangkan bahawa syaitan akan menunggu manusia di jalan yang lurus untuk menyesatkan mereka.

Apa maksud syaitan?

Syaitan daripada kalangan jin dan syaitan daripada kalangan manusia yang jahat.


Orang Jahat Tidak Akan Memberitahu Helahnya

Apakah seseorang yang mahu melakukan kejahatan perlu memberitahu semua cara dan helahnya terlebih dahulu?

Tentunya tidak.

Seorang penipu juga tidak perlu mengumumkan sama ada dia akan menipu, memutarbelitkan fakta atau menyamar. Kita yang perlu memahami sifat perbuatannya.

Yang diperlukan ialah bukti tentang tujuan dan pola tindakannya. Begitu juga dengan Dajjal.

Apabila tujuan utamanya ialah menyesatkan manusia, maka secara logiknya dia akan menyerang asas agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.


Bagaimana Rukun Islam Boleh Diterbalikkan?

Penerangan terperinci saya akan buat kemudian. Buat masa ini, saya berikan penerangan ringkas dahulu.

Syahadah

Syahadah yang asalnya mengesakan Allah dan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul Allah boleh diselewengkan secara berperingkat sehingga manusia memasukkan seorang tokoh sebagai orang suci.

Akhirnya, kata-kata manusia dianggap sebagai kata-kata Allah dan ketaatan kepada manusia dianggap sebagai ketaatan kepada Allah.

Solat

Solat pula mungkin terus dilakukan secara zahir. Tetapi kiblat mula diragukan. Kononnya kiblat bukan di Mekah kerana yang berada di Mekah itu palsu.

Ada juga konsep solat batin. Namun arah hati dan ketaatan manusia berubah. Solat biasa ditinggalkan dan digantikan dengan ketaatan kepada imam.

Akhirnya, solat ditafsirkan sebagai menghadap dan tunduk kepada sistem serta pemimpin yang mendakwa dirinya sebagai wakil mutlak Tuhan.

Zakat

Zakat boleh berubah daripada ibadah dan amanah sosial kepada alat untuk mengawal manusia. Harta diberikan kepada mereka yang taat kepada sistem dan disekat daripada mereka yang menolak kebatilan.

Harta mesti diserahkan kepada pemimpin dan organisasi tertentu. Jika penyerahan harta tidak dilakukan mengikut aturan mereka, maka ketaatan, iaitu “solat” tadi, akan dipersoalkan.

Solat telah diubah daripada solat biasa kepada tiada solat dan digantikan dengan ketaatan kepada imam atau pemimpin. Maka rukun baharu zakat pula akan terbatal akibat seseorang itu dianggap tidak taat.

Puasa

Puasa pula boleh tinggal sebagai perbuatan menahan lapar dan dahaga sedangkan jiwa tidak lagi dilatih untuk tunduk kepada Allah.

Manusia mungkin menahan makan dan minum tetapi pada masa yang sama menyerahkan kehendak, fikiran dan ketaatannya kepada Dajjal.

Bulan Ramadan juga telah ditukar kepada bulan Disember. Puasa disekalikan dengan Krismas. Berpuasa sebulan bukan lagi pada bulan Ramadan tetapi pada bulan Disember.

Haji

Haji pula sudah dibatalkan kerana Kaabah didakyahkan sebagai palsu.

Maka haji dianggap tidak wajib dilakukan sehingga imam membina Kaabah baharu di tempat yang dikatakan benar.


Itulah Muslihat Dajjal

Dajjal tidak perlu menghapuskan nama-nama Rukun Islam. Cukuplah dia menukar arah dan cara ketaatan manusia.

Allah masih disebut tetapi manusia ditaati sebagai Tuhan.

Solat masih disebut tetapi kesetiaan diberikan kepada pemimpin.

Zakat masih dikutip tetapi dijadikan alat kawalan.

Puasa masih dilaksanakan tetapi bulannya berubah.

Haji ditangguhkan kerana Kaabah didakwa palsu.

Inilah yang dimaksudkan dengan menterbalikkan Rukun Islam.

Bentuknya masih kelihatan seperti agama tetapi hakikatnya telah berubah daripada tunduk kepada Allah kepada tunduk kepada seorang manusia.


Fitnah Ini Wujud Di Luar Sana

Bagi sesetengah orang, apa yang saya cakapkan di atas mungkin perkara baharu bagi anda. Tetapi ia wujud dan berleluasa di luar sana.

Cuma anda ditakdirkan Allah belum bertemu dengannya dan sentiasa dilindungi.

Apa yang ditulis ini cuma sebahagian kecil daripada fitnah Dajjal.

Namun kenapa orang tidak mengambil berat tentang fitnah Dajjal dalam Rukun Islam?

Kerana ramai manusia menganggap perkara seperti ini hanya tugas ulama dan orang biasa tidak mempunyai hak untuk mencampurinya.

Slogan seperti “patuhlah kepada ulama”, “tanyalah kepada pakar”, “taatilah pemimpin” dan “patuhi ulul amri” sudah menjadi ungkapan biasa sehingga orang kebanyakan berasa rendah diri untuk memahami perkara agama sendiri.

Lalu, di situlah Dajjal boleh menyusup.

(24.09.2026)

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.