Puasa Nabi Daud | Benteng Tawaran Dajjal

BAHAGIAN 1 KRISIS KELAPARAN DAN KEMARAU PANJANG

Disember 31, 2024 185 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
2 minit 40 saat

Bahagian 1: Krisis Kelaparan dan Kemarau Panjang

Dunia akan mengering tanpa hujan selama tiga tahun berturut-turut. Langit biru berubah menjadi langit kelabu, kosong tanpa awan. Angin bertiup hanya membawa habuk dan debu sahaja. Matahari yang dahulunya memberikan sinar kehidupan akan menjadi pemanggang yang kejam, memanaskan bumi tanpa belas kasihan. Sungai-sungai mengering, telaga menjadi lubang kosong dan tanah merekah seperti cermin yang pecah. Kehidupan manusia dan haiwan di seluruh dunia terancam. Dunia melangkah kepada krisis yang belum pernah dilihat sepanjang sejarah.

Tahun Pertama

Hujan masih turun tetapi tidak seperti sebelumnya. Ladang-ladang tidak lagi menghasilkan hasil yang mencukupi. Makanan mula menjadi barang mewah. Petani menangis melihat tanah mereka tandus, sedangkan mulut anak-anak mereka meminta sesuap nasi. Di pasar-pasar, harga makanan melambung tinggi. Pergaduhan mula tercetus kerana perebutan barang asas seperti roti dan beras.

Tahun Kedua

Memasuki tahun kedua, dunia berubah menjadi neraka yang nyata. Hujan langsung tidak turun. Semua tumbuhan mati. Haiwan ternakan habis pupus kerana kekurangan makanan dan air. Orang ramai terpaksa meminum air yang keruh, bahkan air lopak dan lumpur, untuk menghilangkan dahaga. Keluarga terpaksa berkongsi cebisan makanan yang sedikit. Tiada simpanan bekalan untuk hari esok. Bayi menangis kelaparan, ibu kekeringan susu. Tangisan mereka menjadi simbol penderitaan yang menyayat hati.

Tahun Ketiga

Tahun ketiga adalah puncak penderitaan. Kehidupan seperti berhenti sepenuhnya. Tiada suara burung dan tiada bunga-bungaan. Tiada angin lembut sepoi-sepoi. Hanya kesunyian yang mengerikan. Mayat dan rangka manusia serta haiwan memenuhi jalanan. Ia melambangkan kematian yang perlahan dan menyakitkan. Dalam kelaparan yang melampau, manusia mula kehilangan sisi kemanusiaan mereka. Ada yang sanggup mencuri. Ada pula yang sanggup memakan apa sahaja yang ada, termasuk sesuatu yang tidak terfikir oleh akal waras.

❗⚠️ Kemunculan Dajjal

Dalam suasana penuh ketakutan ini, muncul seorang figura misteri, Dajjal.Dia datang dengan gaya seorang budiman, alim dan imam.Dia datang membawa janji, memberikan makanan dan air kepada mereka yang sanggup tunduk kepadanya. Dalam kelaparan dan keputusasaan, ramai yang terpedaya, memohon belas kasihan kepadanya tanpa menyedari bahawa ia adalah tipu daya yang menghancurkan iman mereka. 
 
Namun, mereka yang beriman, yang memegang teguh janji Allah, memilih untuk menderita kelaparan daripada tunduk kepada tipu muslihat Dajjal. Bagi mereka yang masih beriman, suasana ini adalah medan ujian terakhir. Dalam gelap malam tanpa bintang, doa menjadi satu-satunya pengharapan. Mereka yang memahami janji Allah tahu bahawa kesengsaraan ini hanyalah sementara, dan balasan syurga adalah abadi.
 
Namun, ujian ini bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap saat adalah pertarungan antara iman dan keputus-asaan, antara harapan dan kesakitan.

Kesimpulan

Perkhabaran nabi tentang peristiwa krisis masa depan itu adalah peringatan kepada kita semua bahawa kehidupan di dunia adalah sementara. Ia mengajar kita untuk bersyukur atas nikmat yang ada, untuk menghargai setiap titis air dan setiap suapan makanan. Lebih daripada itu, perkhabaran peristiwa mengingatkan kita untuk mempersiapkan diri, bukan hanya secara fizikal tetapi juga rohani.
 
Dengan itu kita mampu menghadapi ujian akhir zaman dengan keimanan yang kukuh. Hanya dengan keimanan yang kukuh sahaja kita akan selamat dari tawaran Dajjal.
 
 
Apakah kita sudah bersedia menghadapi masa-masa sulit seperti ini?
Atau adakah kita akan tergolong dalam mereka yang tunduk kepada tipu daya Dajjal?
 

Pilihan itu ada pada kita. Persediaan harus bermula tanpa penangguhan.

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.