Bahagian 2: Kunci Ketahanan Rohani dan Fizikal]
Puasa Nabi Daud adalah salah satu ibadah unik yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Ia digambarkan sebagai puasa yang paling disukai oleh Allah swt. Puasa Isnin dan Khamis lebih mudah diamalkan oleh umat Islam secara umum. Ia tidak terlalu berat dan tetap mendekatkan seseorang kepada Allah.
Puasa Nabi Daud pula lebih sesuai bagi mereka yang memiliki kekuatan fizikal dan disiplin tinggi. Ia adalah tanda komitmen maksimum dalam ibadah puasa.
Nabi Daud as berpuasa selang sehari. Satu hari berpuasa dan satu hari tidak berpuaa. Amalan ini melambangkan disiplin dan komitmen yang luar biasa dalam mendekatkan diri kepada Allah swt. Ia lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga, puasa ini adalah latihan rohani, mental dan fizikal yang menyeluruh.
Dajjal adalah ujian tahap tinggi melibatkan fizikal dan mental. Menangani ujian tahap tinggi juga mesti ditangani dengan persiapan tahap tinggi.
Makna dan Hikmah Puasa Nabi Daud
Puasa Nabi Daud ini bukan sekadar amalan ibadah fizikal, tetapi penzahiran keikhlasan dan ketundukan tahap tinggi kepada Allah swt.
Dari Abdullah bin Amr bin al-‘As, sabda Nabi saw bersabda:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صِيَامُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ
Maksudnya:
“Puasa yang paling dicintai oleh Allah ‘Azza wa Jalla adalah puasa Daud as. Baginda berpuasa satu hari kemudian tidak berpuasa pada keesokannya. Sebaik-baik solat yang disukai Allah ‘Azza wa Jalla adalah solat Daud as. Baginda tidur seperdua malam dan bangun mendirikan solat sepertiga malam lalu disambung tidur satu per enamnya”
Riwayat al-Nasa’ie (2344)
Puasa selang sehari ini akan benar-benar melatih keimanan dan kesabaran seseorang. Ia memupuk sifat istiqamah, kerana konsistensi dalam beribadah adalah cabaran yang besar.
Dalam konteks dunia moden kita sekarang, amalan puasa Nabi Daud ini memberi pengajaran bahawa keseimbangan adalah kunci dalam menjalani kehidupan. Keseimbangan itu adalah antara ibadah dengan rehat, antara duniawi dan ukhrawi.
Kesan Rohani
Berpuasa Nabi Daud memberikan kesan mendalam kepada hubungan seorang hamba dengan Rabb nya.
- Menguatkan Keimanan:
Menahan lapar setiap selang sehari menjadi bukti keikhlasan kepada Allah swt dan Dia akan sentiasa memandang perbuatan tersebut. Ia adalah ibadah rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya, kerana hanya Allah yang tahu kejujuran niat seseorang ketika berpuasa.
- Mengawal Nafsu:
Puasa Nabi Daud melatih jiwa untuk menguasai nafsu. Ia menjadikan seseorang lebih sabar, tenang, dan berhati-hati dalam bertindak.
- Meningkatkan Tawakal:
Dalam kepayahan berpuasa, seseorang belajar untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah. Hanya Dia yang memberikan kekuatan dalam kita menyempurnakan ibadah itu.
Kesan Fizikal dan Mental
Selain manfaat rohani, puasa Nabi Daud juga membawa kesan positif kepada tubuh dan minda.
Fizikal
- Penstabilan Berat Badan:
Puasa berkala membantu tubuh membakar lemak dan mengurangkan risiko obesiti.
- Detoksifikasi Tubuh:
Ketika berpuasa, tubuh menggunakan tempoh tersebut untuk membuang toksin, menjadikan tubuh lebih sihat.
- Kesihatan Jantung dan Otak:
Ada kajian menunjukkan bahawa pola makan seperti ini mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan fungsi otak.
Mental
- Ketahanan Diri:
Puasa melatih seseorang untuk mengatasi cabaran fizikal dan emosi, seterusnya membina kekuatan mental yang kukuh.
- Pengurusan Tekanan:
Dengan mengawal emosi dan fokus kepada ibadah, seseorang menjadi lebih tenang dan mampu menangani tekanan harian.
Cabaran dan Penyesuaian Awal
Amalan Puasa Nabi Daud ini memerlukan disiplin tinggi. Ia mungkin menjadi cabaran besar bagi mereka yang baru memulakannya. Pada peringkat awal, tubuh mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pola makan yang berbeza.
Namun, cabaran ini boleh diatasi dengan pendekatan bertahap iaitu memulakan dengan puasa sunat Isnin dan Khamis sebelum beralih kepada pola puasa selang sehari.
Inspirasi dari Nabi Daud
Nabi Daud sa adalah seorang hamba yang sangat bersyukur. Baginda memanfaatkan setiap detik kehidupannya untuk beribadah kepada Allah. Puasa selang sehari ini adalah cerminan dari kesyukuran baginda, yang menjadi teladan kepada kita untuk menghargai setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt.
Kita adalah bangsa Nusantara yang berada di tanah pemula kebangkitan akhir zaman iaitu tanah yang pernah di datangi Nabi Daud. Sebahagian besar daripada kita berasal daripada keturunan 9 puak Bani Israel yang hilang namun telah berasimilasi.
Berpuasa Nabi Daud adalah mengikuti jejak nenek moyang kita iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.
Kesimpulan
Apakah kita sudah bersedia untuk mengamalkan puasa yang disukai oleh Allah ini?
Demi kesejahteraan dan keselamatan kita jika mahu mengharungi hijrah dan berjuang dengan Imam Mahdi melawan tipu muslihat Dajjal, adalah wajar bagi kita mempersiapkan diri kita dengan mempraktikkan puasa Nabi Daud.
Dengan keazaman dan niat yang tulus, puasa Nabi Daud mampu menjadi jalan menuju keredhaan Allah swt, mendekati maqam mahmuda serta mencapai kekuatan dalam menghadapi cabaran dunia dan akhirat.