Fatwa oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslim Sedunia berkenaan
"Pencerobohan Berterusan ke atas Gaza dan Penamatan Gencatan Senjata"
Bertarikh 28 Ramadan 1446H / 28 Mac 2025M
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah, yang menghinakan para penceroboh, yang menolong golongan yang tertindas, yang meneguhkan para mujahidin, yang menjadi Pelindung kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, yang menjaga para wali-Nya yang soleh, yang memutuskan kesinambungan para penzalim yang angkuh, dan yang memilih para syuhada dari kalangan umat Islam. Selawat dan salam ke atas penghulu para mujahidin, rahmat Allah bagi sekalian alam, serta ke atas ahli keluarga dan seluruh para sahabatnya. Amma ba'du:
Sesungguhnya Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslim Sedunia mengikuti perkembangan berterusan pencerobohan kejam ke atas saudara-saudara kita di Gaza dengan hati yang amat remuk dan penuh kesedihan. Sejak bermulanya serangan tersebut, jumlah syuhada telah melebihi 50,000 orang. Entiti penjajah telah mengingkari perjanjian penghentian perang, sebagaimana kebiasaan mereka yang sering melanggar janji dan perjanjian dengan Allah, para rasul, dan sesama manusia. Mereka telah menyambung kembali operasi pembunuhan beramai-ramai secara sistematik terhadap saudara-saudara kita di Gaza, dengan sokongan daripada Kerajaan Amerika Syarikat yang terus membekalkan bom-bom pemusnah dan senjata berbahaya kepada agresi Zionis, sementara dunia Arab membisu dan negara-negara Islam bersikap lemah dan mengecewakan.
Sesungguhnya kami di Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslim Sedunia ingin menjelaskan hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan musibah besar ini, dalam suasana pencerobohan kejam Zionis yang masih berterusan, sebagai menunaikan amanah yang telah Allah pikulkan ke atas para ulama. Penjelasan tersebut adalah seperti berikut:
Pertama:
Sebagai lanjutan kepada semua fatwa kami yang terdahulu dan terperinci sejak bermulanya perang genosid, dan sebagai penegasan ke atasnya, kami menjelaskan kepada seluruh umat Islam dan negara-negara mereka bahawa jihad melawan entiti Zionis dan semua pihak yang terlibat bersamanya di bumi yang diduduki dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap saudara-saudara kita di Gaza sama ada dari kalangan tentera upahan atau askar dari mana-mana negara adalah satu kewajiban. Jihad ini wajib dilaksanakan melalui campur tangan ketenteraan, pembekalan senjata kepada para mujahidin, perkongsian kepakaran ketenteraan dan maklumat risikan. Kewajiban ini mula-mula sekali dipikulkan ke atas rakyat Palestin, kemudian kepada negara jiran seperti Mesir, Jordan dan Lubnan, dan seterusnya ke atas seluruh negara Arab dan Islam.
Kewajiban berjihad melawan penjajahan di Palestin adalah atas setiap Muslim yang berkemampuan di seluruh dunia Islam. Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslim Sedunia menegaskan bahawa kewajiban syarie ke atas kerajaan-kerajaan dalam negara kita adalah untuk campur tangan serta-merta dari segi ketenteraan, ekonomi, dan politik bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini dan kemusnahan menyeluruh yang sedang berlaku, berdasarkan tanggungjawab kekuasaan yang berada di bawah pentadbiran mereka.
Sesungguhnya, sikap kerajaan-kerajaan Arab dan Islam yang tidak membela Gaza ketika rakyatnya sedang dimusnahkan dianggap oleh syarak sebagai satu jenayah besar terhadap saudara-saudara kita yang tertindas di Gaza. Allah Taala berfirman:
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّۭا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
“Dan apakah yang menghalang kamu daripada berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang tertindas daripada kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak?”
[Surah an-Nisa’, ayat 75]
Sikap lemah dan berpaling ini juga dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap amanah kekuasaan, dan Allah Taala telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul, dan jangan pula kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui.”
[Surah al-Anfal, ayat 27]
Kedua:
Haram hukumnya memberikan sebarang bentuk sokongan kepada musuh kafir dalam usaha mereka memusnahkan umat Islam di Gaza, tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Maka, haram menjual senjata kepada mereka, atau memudahkan penghantaran senjata melalui pelabuhan atau laluan antarabangsa seperti Terusan Suez, Bab al-Mandab, Selat Hormuz, atau mana-mana jalan darat, laut, atau udara. Jawatankuasa ini juga memfatwakan kewajiban untuk mengenakan sekatan ke atas musuh yang menjajah dari segi udara, darat dan laut, sebagai tanda sokongan dan kemenangan buat saudara-saudara kita di Gaza.
Ketiga:
Jawatankuasa ini memfatwakan bahawa haram hukumnya membekalkan minyak, gas dan segala jenis barangan yang membantu entiti Zionis dalam peperangannya terhadap saudara-saudara kita. Begitu juga haram membekalkan makanan dan minuman kepada mereka pada waktu anak-anak Gaza sedang mati kelaparan. Sesiapa yang melakukan perkara ini kerana cinta kepada musuh Zionis yang kafir dan dengan niat untuk menghancurkan perjuangan Islam, maka dia telah murtad daripada agama Islam dan gugurlah hak pemerintahannya ke atas umat Islam. Jika ia melakukannya kerana tamakkan keuntungan dan seumpamanya, maka dia telah melakukan dosa besar yang paling dahsyat, dan berada dalam bahaya besar di sisi Allah. Perbuatan ini termasuk dalam perbuatan bersekongkol dan menyokong musuh yang dilarang keras oleh syarak, sebagaimana firman Allah Taala:
۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوْلِيَآءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُۥ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (penolong dan pelindung). Mereka itu saling menjadi wali antara sesama mereka. Sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.”
[Surah al-Ma’idah, ayat 51]
Keempat:
Jawatankuasa ini memfatwakan bahawa menjadi kewajiban ke atas negara-negara Arab dan Islam untuk menubuhkan satu pakatan ketenteraan yang bersatu, bagi melindungi tanah air umat Islam serta mempertahankan agama, darah, kekayaan, keputusan politik dan maruah mereka. Kewajiban ini termasuk dalam kategori yang mendesak dan tidak boleh dilengahkan, kerana kelewatan itu akan membawa kepada kemudaratan besar dan fitnah di muka bumi. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala:
وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan bersedialah kamu untuk menghadapi mereka dengan segala kekuatan yang mampu kamu sediakan dan dengan pasukan berkuda yang ditambat untuk berperang, agar kamu dapat menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu.”
[Surah al-Anfal, ayat 60]
Dunia politik global hari ini tidak memberi ruang kepada golongan yang lemah, yang berselisih dan berpecah-belah. Maka, penubuhan pakatan ketenteraan bersama dalam kalangan negara Arab dan Islam untuk tujuan ketahanan dan perlindungan adalah satu-satunya jalan untuk menjamin keselamatan dan kestabilan umat Islam serta rantau ini, bahkan ia akan menjadi satu kuasa penyeimbang dalam skala dunia. Allah Taala juga berfirman:
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ وَفَسَادٌۭ كَبِيرٌۭ
“Dan orang-orang kafir itu saling membantu antara satu sama lain. Jika kamu (wahai orang-orang beriman) tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
[Surah al-Anfal, ayat 73]
Kelima:
Jawatankuasa ini menyeru negara-negara Islam yang mempunyai perjanjian dengan entiti penjajah agar menilai semula perjanjian-perjanjian tersebut dan menggunakan kedudukan mereka untuk memberi tekanan kepada musuh.
Ini kerana tujuan asal perjanjian adalah untuk mencapai kemaslahatan umum bagi umat Islam. Oleh itu, kami menyeru agar perjanjian-perjanjian ini dikaji semula, dinilai semula tujuannya, apa yang telah dipersetujui oleh musuh, serta apa yang telah mereka langgar, agar satu pendirian yang tegas dapat diambil terhadap perkara tersebut.
Keenam:
Jawatankuasa ini menegaskan kembali fatwanya tentang kewajiban berjihad dengan harta bagi setiap individu yang mampu. Golongan kaya wajib menyumbangkan harta dan melengkapi para pejuang dan mujahidin, bukan hanya melalui wang zakat, bahkan wajib juga mengeluarkan dari harta peribadi mereka untuk menghentikan pertumpahan darah saudara-saudara mereka yang tidak berdosa. Firman Allah Taala:
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Berangkatlah kamu dalam keadaan ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
[Surah at-Taubah, ayat 41]
Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang melengkapi seorang pejuang di jalan Allah, maka dia telah berperang. Dan sesiapa yang menjaga keluarga seorang pejuang dengan kebaikan, maka dia juga telah berperang.”
(Hadis yang disepakati)
Mereka juga wajib berusaha menyampaikan bantuan kewangan kepada para mujahidin dengan apa jua cara yang mungkin, dan turut bertanggungjawab memelihara dan menyara keluarga para mujahidin dan murabitin dengan keperluan yang mencukupi agar mereka dapat terus hidup serta meneruskan perjuangan dan penentangan.
Ketujuh:
Jawatankuasa ini memfatwakan bahawa haram hukumnya melakukan normalisasi hubungan dengan entiti Zionis yang menjajah, dalam apa jua bentuk dan rupa sekalipun. Kewajiban syarie ke atas negara-negara yang telah melakukan normalisasi adalah agar mereka memutuskan hubungan tersebut sebagai tanda pembelaan terhadap golongan yang dizalimi, di samping larangan syarak untuk bersekongkol dengan golongan kafir dalam memerangi umat Islam.
Firman Allah Taala:
تَرَىٰ كَثِيرًۭا مِّنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنفُسُهُمْ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِى ٱلْعَذَابِ هُمْ خَـٰلِدُونَ
“Kamu akan dapati kebanyakan daripada mereka berwala’ kepada orang-orang kafir. Amat buruklah apa yang telah mereka sediakan untuk diri mereka sendiri, sehingga Allah murka ke atas mereka, dan mereka kekal dalam azab.
وَلَوْ كَانُوا۟ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلنَّبِىِّ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَا ٱتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَآءَ وَلَـٰكِنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ
Dan sekiranya mereka benar-benar beriman kepada Allah, Nabi, dan apa yang telah diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak akan menjadikan golongan itu sebagai wali. Akan tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
[Surah al-Ma’idah, ayat 80–81]
Kelapan:
Menjadi kewajiban syarie ke atas para ulama untuk menunaikan tanggungjawab mereka, dan tidak bersikap diam atau berlepas tangan. Mereka wajib menyatakan kebenaran secara jelas dan berani, serta mengisytiharkan kewajiban berjihad melawan musuh penjajah dengan segala cara yang mungkin. Para ulama juga mesti memberi tekanan ke atas pemerintah, pasukan tentera rasmi dan institusi-institusi dalam negara-negara Islam agar mereka menjalankan tanggungjawab yang dipikul, serta memikul beban amanah agama, sejarah dan tamadun mereka.
Kesembilan:
Menjadi kewajiban syarie ke atas umat Islam baik pemerintah mahupun rakyat untuk memboikot entiti Zionis dan mana-mana pihak yang terlibat bersamanya dalam perang genosid ini. Pemboikotan itu meliputi aspek politik, dengan menarik balik duta, serta aspek ekonomi, dengan menghentikan pembelian senjata, peralatan, pesawat, kenderaan dan pelbagai barangan lain daripada mereka. Ia juga termasuk pemboikotan dalam bidang budaya, akademik dan seumpamanya. Adalah haram bagi mana-mana negara yang terlibat dalam syarikat-syarikat pembinaan penempatan haram untuk terus kekal di dalamnya. Mereka wajib menarik diri dari syarikat-syarikat tersebut, dan haram melaburkan harta umat Islam dalam syarikat yang terlibat dalam pembinaan penempatan haram dan menyokong penjajahan Zionis yang zalim. Perbuatan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar.
Kesepuluh:
Jawatankuasa ini mengarahkan seruan kepada kerajaan Amerika Syarikat, khususnya kepada Presiden Trump yang semasa kempen pilihan rayanya telah menyatakan komitmen untuk membawa keamanan ke Gaza, dan yang telah menerima sokongan daripada para pengundi Muslim atas dasar tersebut.
Jawatankuasa ini mengingatkan mereka tentang janji-janji tersebut, dan menyeru kepada komuniti Muslim di Amerika Syarikat agar menggunakan segala cara yang sah dan dijamin oleh undang-undang untuk memberi tekanan ke atas Presiden Trump dan kerajaan Amerika dalam perkara ini.
Kesebelas:
Jawatankuasa ini menyeru kepada umat Islam agar meneruskan pemboikotan terhadap syarikat-syarikat yang menyokong entiti Zionis yang menjajah, kerana tindakan ini telah terbukti memberi kesan yang nyata dan berkesan. Pemboikotan ini harus dilaksanakan tanpa mengira negara asal syarikat berkenaan, sama ada dari negara Barat atau selainnya, khususnya jika negara tersebut terlibat secara langsung dalam menyokong serangan melalui pembekalan senjata, bom, peralatan ketenteraan, atau pendirian politik yang menyebelahi penjajahan.
Kedua Belas:
Menjadi kewajiban ke atas umat Islam untuk membekalkan bantuan kepada saudara-saudara mereka di Gaza dengan apa jua yang mereka mampu, seperti ubat-ubatan, makanan, pakaian, bahan api dan sebagainya.
Sekiranya ada kerajaan di kalangan negara-negara Islam yang enggan membenarkan perkara ini, maka tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta. Tindakan membantu Gaza dalam keadaan sedemikian tidak dikira sebagai penderhakaan kepada pemerintah, kerana ketaatan kepada Allah dalam membela orang yang dizalimi dan membantu mereka adalah lebih utama daripada mentaati pemerintah yang lalai dalam menunaikan kewajiban mereka terhadap umat Islam.
Ketiga Belas:
Dalam saat-saat sukar ini, adalah menjadi kewajiban syarie untuk menyatukan saf umat Islam dan meninggalkan segala bentuk perpecahan dan pertelingkahan. Kewajiban ini lebih ditekankan ke atas semua faksi Palestin agar mereka bersatu dalam perjuangan, dan begitu juga ke atas negara-negara serta institusi-institusi Arab dan Islam untuk bersatu dalam pendirian dan tindakan.
Ini bertepatan dengan firman Allah Taala:
وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kelak kamu akan menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.”
[Surah al-Anfal, ayat 46]
Keempat Belas:
Jawatankuasa ini menyeru seluruh umat Islam agar melakukan Qunut Nazilah dalam solat fardu dan sunat, sama ada secara senyap atau kuat, dan memperbanyakkan doa dalam setiap keadaan untuk saudara-saudara kita di Gaza, kerana sesungguhnya doa mempunyai kesan yang sangat besar dan mendalam.
Kelima Belas:
Jawatankuasa ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-negara, institusi-institusi, masyarakat dan individu yang telah menyokong rakyat Gaza dalam saat-saat penderitaan mereka. Sama ada dengan menolak pemindahan paksa, memberikan bantuan dan sokongan, menyatakan kebenaran secara terbuka kepada dunia, atau mengeluarkan keputusan-keputusan yang adil, seperti yang dilakukan oleh sebahagian organisasi antarabangsa dan institusi masyarakat sivil di dunia Islam dan Barat, serta institusi-institusi agama terkemuka seperti al-Azhar al-Sharif. Jawatankuasa ini juga menghargai para ahli politik dan pemimpin di dunia Barat yang menentang projek Zionis dan mengkritik dasar negara mereka yang menyokongnya, termasuk juga sebahagian orang Yahudi, sebagai manifestasi sabda Nabi SAW:
لا يشكر الله من لا يشكر الناس"
“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.”
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad.
والحمد لله رب العالمين
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Sumber: International Union of Muslim Scholars
Download: Original Arabic PDF
Baca Terjemahan English: English Translation
Balas kepada: