Anbiya'-Centric

MENGENAL MASHRIQ DARI DALAM AL-QURAN

April 14, 2026 20 0
Completed
Anggaran masa membaca
29 minit 55 saat

Mengenal Mashriq Dari Dalam Al-Quran


Perkataan mashriq ialah satu lafaz yang sangat menarik untuk diperhatikan, khususnya apabila kita berbicara tentang hadis-hadis akhir zaman berkaitan Imam Mahdi dan Panji-panji Hitam. Lafaz ini bukan sahaja muncul di dalam hadis, bahkan dapat ditemukan juga di dalam al-Quran dalam pelbagai bentuk dan konteks. Apabila semua ayat ini dihimpunkan, kita akan dapati bahawa perbahasannya bersentuhan dengan isu kiblat, Israk Mikraj, Masjidil Aqsa, Nabi Musa, Bani Israel dan beberapa kisah besar yang lain.
 
Setakat semakan saya terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkaitan serta pembacaan terhadap beberapa kitab tafsir dan karya terdahulu, saya mendapati masih terdapat beberapa ruang yang boleh diperincikan lagi. Sebahagian kupasan lama sudah pun memberikan asas yang sangat penting, tetapi pada pandangan saya, ada beberapa sisi tertentu yang masih boleh disemak semula dan dipertimbangkan dengan penelitian yang lebih luas, sejajar dengan keupayaan ilmu dan maklumat yang tersedia pada zaman ini.
 
Di dalam al-Quran, saya telah menemukan sebanyak 17 kemunculan lafaz daripada akar kata yang berkaitan dengan mashriq dalam pelbagai bentuk. Saya senaraikan semuanya di bawah ini agar para pembaca dapat mengambil setiap ayat yang saya rujuk, lalu menyemaknya sendiri kepada kitab-kitab tafsir, syarah lafaz dan, jika ada kaitan, boleh menyemak terus kepada asbab al-nuzul bagi setiap ayat tersebut.

Tujuan Penulisan Ini

Tujuan penulisan saya ini ialah untuk memperincikan lagi beberapa kupasan ulama terdahulu pada titik-titik tertentu, lalu berkongsi kepada anda semua apa yang telah saya temukan sepanjang semakan dan penelitian saya.
 
Tanpa berselindung, saya ingin menyatakan bahawa dalam beberapa siri penulisan yang lain, saya sedang membongkarkan satu fitnah-fitnah besar yang pada pandangan saya telah lama menimpa umat Islam, Yahudi dan Nasrani sejak ribuan tahun. Fitnah ini berkait dengan manipulasi sejarah Bani Israel, kiblat, Tanah Yang Dijanjikan, pola pergerakan para nabi serta penghijrahan kembali manusia pada akhir zaman.
 
Apa yang saya tuliskan di halaman ini sebenarnya berada dalam satu kerangka besar yang saling berkait antara satu sama lain, sama ada saya nyatakan hubungannya secara langsung atau tidak saya nyatakan. Penulisan tentang masyriq ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan usaha untuk menjelaskan beberapa takrif, istilah dan kedudukan perkara-perkara tertentu.

Peringatan Kepada Para Pembaca

Suka untuk saya mengingatkan kepada semua pembaca, sama ada yang baru mahupun yang lama, bahawa apa yang saya tulis ini bukanlah sesuatu yang muktamad. Maka bacalah dengan teliti, semaklah setiap hujah yang saya kemukakan dan buatlah rujukan bagi setiap titik yang saya bentangkan. Sama ada saya menyatakan dalil secara langsung atau tidak menyatakannya pada sesuatu tempat, saya sentiasa mempunyai sebab. Insya-Allah, saya sangat teliti dalam memilih perkataan, mengeja dan membina ayat.
 
Apa yang lebih penting, apabila saya menyebut ayat-ayat al-Quran, maka bukalah, bacalah, tadabburlah dan tazakkurlah. Dialah yang memberikan petunjuk, bukan saya, bukan usaha anda dan bukan kebijaksanaan anda. Kita boleh mencari ilmu, meneliti maklumat dan menyusun kata dan hujah, tetapi yang memberikan faham hanyalah Dia.

Senarai Ayat Berkaitan Mashriq Dalam Al-Quran

Berikut ialah ayat-ayat yang saya senaraikan untuk anda buat semakan sendiri, khususnya dengan merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang berkaitan.
.
1. Al-mashriq (المشرق)
-Al Baqarah 2:115
-Al Baqarah 2:142
-Al Baqarah 2:177
-Al Baqarah 2:258
-As Syu'ara' 26:28
-Al Muzammil 73:9
.
.
2. Al-Mashāriq (المشارق)
-As Saffat 37:5
-Al Ma'arij 70:40
.
.
3. Mashāriq al-arḍ (مشارق الأرض)
-Al-A'raf 7:137
.
.
4. Mashriqayn (المشرقين)
-Az Zukruf 43:38
-Ar Rahman 55:17
.
.
5. Ashraqat (أشرقت)
-Az-Zumar 39:69
.
.
6. Ishrāq (إشراق)
-Sad 38:18
.
.
7. Mushriqīn (مشرقين)
-Al Hijr 15:73
-As Syu'ara' 26:60
.
.
8. Sharqiyy (شرقيّ)
-Maryam 19:16
.
.
9. Sharqiyyah (شرقية)
-An Nur 24:35

Sorotan Ringkas Kupasan Ulama Terdahulu

Saya ingin memetik secara ringkas apakah yang telah dihuraikan oleh ulama-ulama terdahulu secara spesifik tentang perkataan masyriq, akar katanya dan beberapa bentuk terbitan yang lain. Sudah tentu tidak mungkin untuk saya menghimpunkan semuanya di sini. Maka sesiapa yang mahu mendalami isu ini hendaklah meneruskan semakan sendiri kepada kitab-kitab tafsir, syarah bahasa dan kupasan yang berkaitan.
 
Apa yang dapat ditemukan dalam khazanah tafsir terdahulu sangat berguna sebagai asas, khususnya daripada sudut bahasa, riwayat dan pemerhatian terhadap peredaran alam. Namun begitu, masih ada ruang untuk penelitian semula pada beberapa sisi tertentu, terutama apabila sesuatu lafaz itu disentuh dalam pelbagai konteks ayat dan boleh dibandingkan pula dengan maklumat, disiplin dan keupayaan penelitian yang ada pada zaman ini.

Himpunan Tafsiran Ulama Terdahulu Tentang Mashriq

Di bawah ini saya buatkan satu bahagian yang setakat menghimpunkan tafsiran ulama-ulama terdahulu sahaja supaya anda semua sebagai pembaca faham dahulu asas makna lafaz-lafaz ini. Saya tidak bawa lagi arah hujah baharu. Saya hanya susunkan apa yang dapat dilihat secara umum daripada tafsir al-Ṭabari, al-Baghawi, Ibn Kathir dan al-Qurtubi.
 
Mari kita lihat bagaimana ulama terdahulu memahami lafaz masyriq. Apabila ulama-ulama terdahulu mentafsirkan lafaz-lafaz daripada kata akar ش ر ق, mereka pada umumnya tidak keluar jauh daripada satu paksi asas, iaitu "terbitnya matahari", "arah timur", "tempat terbit" dan "cahaya atau waktu syuruk". Daripada asas inilah mereka membezakan antara bentuk tunggal, bentuk dua, bentuk jamak, serta beberapa bentuk terbitan lain yang muncul dalam al-Quran.
 
Bagi lafaz al-mashriq (المشرق), al-Ṭabari menjelaskan bahawa ia ialah tempat syuruk matahari atau tempat terbitnya. Dalam tafsir beliau pada Surah al-Baqarah 2:115, beliau menyatakan bahawa Allah menyebut al-mashriq dan al-maghrib untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya milik-Nya, bersama segala yang berada di antara keduanya. Makna ini tidak dibawa kepada pengertian yang rumit, tetapi difahami secara langsung sebagai tempat terbit dan tempat tenggelam yang semuanya berada di bawah kekuasaan Allah.
 
Apabila al-Quran menyebut al-mashriq dan al-maghrib, ulama-ulama terdahulu biasanya memahaminya secara umum sebagai timur dan barat. Maksudnya mudah, iaitu arah matahari terbit dan arah matahari tenggelam. Al-Baghawi menerangkan bahawa ia merujuk kepada arah timur dan arah barat. Ibn Kathir pula menjelaskan bahawa walaupun disebut secara ringkas, maknanya tetap membawa pengertian bahawa Allah menguasai semua tempat terbit dan semua tempat tenggelam.
 
Apabila al-Quran menggunakan bentuk dua, iaitu al-mashriqayn (المشرقين), tafsiran ulama-ulama terdahulu pada umumnya membawa maksud dua tempat terbit matahari yang utama dalam perjalanan tahunannya. Yang dimaksudkan ialah mashriq bagi musim panas dan mashriq bagi musim sejuk. Al-Ṭabari menyebut perkara ini secara langsung ketika mentafsirkan Surah ar-Raḥmān 55:17. Ibn Kathir juga membawa makna yang sama, iaitu مشرقي الصيف والشتاء. Dalam beberapa riwayat yang dinukilkan oleh al-Ṭabari, dua mashriq ini difahami sebagai dua hujung utama bagi perubahan tempat terbit matahari dalam setahun.
 
Apabila al-Quran menggunakan bentuk jamak, iaitu al-mashāriq (المشارق), ulama-ulama terdahulu memahaminya sebagai banyak tempat terbit matahari. Al-Baghawi menjelaskan bahawa lafaz ini merujuk kepada maṭāliʿ al-shams (مطالع الشمس), iaitu pelbagai tempat matahari terbit. Beliau juga menunjukkan cara ulama memahami perbezaan antara bentuk-bentuk lafaz ini. Bentuk tunggal merujuk kepada arah atau satu sisi besar yang diketahui manusia. Bentuk dua merujuk kepada dua mashriq yang utama, iaitu bagi musim panas dan musim sejuk. Adapun bentuk jamak pula merujuk kepada banyak tempat terbit matahari yang berubah-ubah dari satu masa ke satu masa. Al-Qurtubi turut membawa riwayat daripada Ibn ‘Abbas bahawa bagi matahari ada banyak tempat terbit dan banyak tempat tenggelam menurut bilangan hari dalam setahun.
 
Pada Surah al-Ma‘ārij, al-Ṭabari menafsirkan lafaz بِرَبِّ الْمَشَارِقِ وَالْمَغَارِبِ dengan ungkapan yang ringkas tetapi besar maknanya, iaitu Tuhan sekalian tempat matahari terbit di bumi dan tempat-tempat tenggelamnya. Daripada tafsiran ini dapat difahami bahawa al-mashāriq (المشارق) tidak merujuk kepada satu tempat terbit yang tetap, tetapi kepada banyak tempat terbit matahari. Riwayat-riwayat yang dibawa dalam tradisi tafsir juga menguatkan makna ini, iaitu matahari tidak terbit dari tempat yang sama pada setiap hari menurut cara ungkapan para ulama terdahulu.
 
Bagi frasa mashāriq al-arḍ (مشارق الأرض) pada Surah al-A‘rāf 7:137, ulama-ulama terdahulu membawanya dalam konteks tanah yang diwariskan kepada Bani Israil selepas kehancuran Fir‘awn. Pada bahagian ini, terdapat sedikit perbezaan dalam menentukan kawasan yang dimaksudkan. Al-Ṭabari menukilkan pendapat Qatadah bahawa tanah yang diberkati itu ialah al-Shām, lalu beliau menolak pentafsiran bahasa yang dianggap terlalu dipaksakan pada susunan ayat. Ibn Kathir juga menukilkan daripada al-Hasan al-Basri dan Qatadah bahawa yang dimaksudkan ialah al-Shām. Al-Qurtubi pula menyebut bahawa bumi itu difahami secara khusus sebagai al-Shām dan Miṣr dan bahawa mashāriqihā wa maghāribahā (مشارقها ومغاربها) merujuk kepada bahagian timur dan barat bagi bumi yang dimaksudkan itu. Justeru, dalam tafsiran klasik, frasa ini dibaca dalam konteks warisan bumi yang diberkati dan tidak dipisahkan daripada lingkungan makna ayat tersebut.
 
Bentuk-bentuk lain daripada akar kata yang sama juga ditafsirkan dalam lingkungan makna yang masih berkait dengan cahaya, timur dan syuruk. Lafaz ashraqat (أشرقت) pada Surah az-Zumar 39:69 difahami sebagai bumi yang bersinar atau menjadi terang dengan cahaya Tuhannya. Lafaz ishrāq (إشراق) pada Surah Ṣād 38:18 pula dikaitkan dengan waktu isyrāq, iaitu waktu naiknya cahaya selepas matahari terbit. Adapun bentuk mushriqīn (مشرقين) pada Surah al-Ḥijr 15:73 dan ash-Shu‘arā’ 26:60, syarah bahasa klasik menjelaskannya sebagai keadaan yang berlaku ketika waktu syuruk, iaitu pada saat matahari sedang terbit.
 
Begitu juga lafaz sharqiyy dan sharqiyyah, yang dalam tafsiran ulama-ulama terdahulu masih dikekalkan dalam lingkungan makna asalnya, iaitu yang berkait dengan arah timur. Pada Surah Maryam 19:16, lafaz makānan sharqiyyan difahami sebagai tempat di sebelah timur. Pada Surah an-Nūr 24:35 pula, lafaz zaytūnah lā sharqiyyah wa lā gharbiyyah ditafsirkan sebagai pokok yang tidak terhad hanya kepada bahagian timur atau hanya kepada bahagian barat, lalu menerima cahaya matahari dengan lebih sempurna menurut huraian para mufassir. Keseluruhannya menunjukkan bahawa keluarga makna bagi akar kata ini dalam tradisi tafsir lama tetap berkait dengan arah, cahaya, terbit dan syuruk, serta tidak dipisahkan daripada alam yang diperhatikan manusia.

Begitulah sebahagian kecil sahaja yang sempat saya rumuskan daripada kitab-kitab tafsir untuk diletakkan dalam ruang penulisan ini buat tatapan anda.


Apabila Mashriq Disamakan Dengan Timur

Ruangnya penulisan adalah terhad. Pada masa yang sama, saya percaya bahawa jika saya mengemukakan beberapa soalan kepada para pembaca, sebahagian daripada mereka masih belum benar-benar dapat membezakan antara al-mashriq dengan timur dan antara al-maghrib dengan barat, walaupun para mufassir telah pun memberikan penjelasan mereka berdasarkan al-Quran.

Sebab itulah juga, apabila dalam penulisan sebelum ini saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari timur tetapi dari mashriq, ada yang tidak memahaminya. Begitu juga apabila saya menyatakan bahawa panji-panji hitam bukan dari timur tetapi dari mashriq, masih ada yang tidak dapat menangkap perbezaan yang saya maksudkan.

Apatah lagi apabila saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Iran, maka golongan pro-Syiah pasti akan menolaknya kerana mereka menolak makna mashriq sejak asas lagi. Padahal Iran itu sendiri tidak termasuk dalam mashriq.

Begitu juga apabila saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Pakistan, maka para penyokong Muhammad Qasim juga akan membantah, walaupun Pakistan juga bukan mashriq sebagaimana yang telah dihuraikan dalam tafsir.

Sama juga jika saya mengatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Syria, Iraq atau Palestin, maka golongan yang terlalu cenderung kepada Arab akan segera mengejek saya, kononnya saya mahu mengangkat Imam Mahdi orang Melayu. Padahal apa yang mereka serang itu bukan saya semata-mata, tetapi al-Quran dan hadis yang mereka sendiri dakwa pegang, sedangkan Nabi telah menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu daripada zuriat baginda melalui Fatimah dari mashriq, sedangkan Syam bukan mashriq.

Saya tidak mempunyai kepentingan bangsa atau wilayah dalam menjelaskan dari mana datangnya Imam Mahdi dan panji-panji hitam, termasuk jika perbahasan itu akhirnya menyentuh Nusantara. Saya tidak peduli semua sentimen itu. Apa yang lebih saya peduli ialah makna sebenar al-mashriq, kerana pada pandangan saya, lafaz ini telah dialihkan daripada maksud asalnya. Isu ini bukan lagi sekadar perbahasan tentang Imam Mahdi dan panji-panji hitam, tetapi telah menjalar jauh sehingga menyentuh wilayah fitnah Dajjal.

Saya juga sedar ada yang suka berkata bahawa kita wajib berpegang kepada penjelasan ulama terdahulu yang muktabar, yang telah pun membincangkan makna mashriq. Namun sebelum anda mendakwa berpegang kepada mereka, sudah berapa kali anda benar-benar membuka dan menyemak sendiri tafsir-tafsir asal dalam bahasa Arab? Adakah anda telah menyemaknya sendiri, atau anda hanya membaca terjemahan Melayu yang telah siap diterjemahkan sebagai timur, lalu mengulanginya semula tanpa semakan? Jika begitu, maka anda tidak mengikuti ulama muktabar, sebaliknya hanya mengikut terjemahan terhadap tafsir ulama muktabar.


Orientasi Asas

Anda telah melihat sendiri makna-makna bagi setiap kata akar dan bentuk terbitan bagi mashriq yang dibawakan oleh sebahagian ulama. Sekarang saya ingin membantu anda memahaminya dengan lebih jelas secara praktikal, menggunakan istilah-istilah yang lebih moden, supaya selepas ini apabila anda membaca penulisan-penulisan seterusnya. Insya-Allah anda tidak lagi terperangkap dalam kekeliruan istilah.

Majoriti pembaca saya berada di Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara. Bagi yang berada di Eropah, China dan Amerika, anda perlu bayangkan diri anda berada di kawasan khatulistiwa supaya lebih mudah menghayatinya.
 
 

Hadapkan diri anda ke arah matahari terbit dan diam di situ. Secara umum, anda sedang menghadap ke arah tempat-tempat matahari terbit. Di belakang anda pula ialah tempat-tempat matahari terbenam.

Sekarang, sambil wajah terus menghadap ke hadapan, depakan tangan kiri dan kanan anda secara lurus. Dalam bahasa moden, di hadapan anda ialah timur, di belakang anda ialah barat. Tangan kanan anda menghala ke arah selatan dan tangan kiri anda menghala ke arah utara.

Dalam bahasa al-Quran pula, tangan kanan anda sedang menghala ke arah yamin. Sebab itulah di sebelah kanan Madinah, negeri itu dipanggil Yaman. Di sebelah kiri anda pula ialah syimal. Sebab itulah negeri-negeri di arah itu dipanggil Syam.

Setakat ini saya percaya semua sudah memahami orientasi asas ini. Saya labelkan ia sebagai orientasi asas supaya mudah dirujuk semula. Bolehkah anda menggunakan kaedah ini jika anda berada di Eropah atau di Tanjung Harapan, Afrika Selatan? Jawapannya, tidak boleh, kerana ini hanyalah kaedah asas yang paling mudah dan sesuai difahami dalam gambaran kawasan sekitar khatulistiwa serta jalur terbit matahari.

Jadi, saya harap dengan orientasi asas ini anda sudah memahami bahawa di hadapan anda terdapat ratusan titik tempat matahari terbit yang berubah-ubah sepanjang tahun.


3 Jenis Timur

Sebelum saya teruskan saya ingin memberikan maklumat tambahan berkenaan arah timur. Dalam navigasi, kita kena tahu sekurang-kurangnya 3 jenis timur iaitu timur benar, timur grid dan timur magnetik.
 
Walaupun ketiga-tiganya menggunakan perkataan timur, ia sebenarnya merujuk kepada tiga sistem rujukan arah yang berbeza.
Timur benar ialah timur yang berdasarkan bumi sebenar. Ia diukur daripada utara benar, iaitu arah ke Kutub Utara geografi. Maka timur benar ialah arah 90 darjah daripada utara benar. Ini ialah timur dari sudut geografi bumi.
 
Timur grid pula ialah timur yang berdasarkan garisan grid pada peta. Dalam peta topografi atau peta berkoordinat, ada garisan grid yang membentuk petak-petak. Arah timur grid ialah arah ke kanan mengikut sistem grid itu. Ia tidak semestinya sama dengan timur benar kerana grid peta ialah hasil unjuran bumi ke atas permukaan rata.
 
Timur magnetik ialah timur yang berdasarkan medan magnet bumi. Ia diukur daripada utara magnetik, iaitu arah yang ditunjukkan oleh kompas. Oleh sebab utara magnetik tidak sama dengan utara geografi, maka timur magnetik juga tidak sama dengan timur benar. Tambahan pula, arah magnetik boleh berubah mengikut tempat dan masa.

Mengapa Mashriq Tidak Boleh Disamakan Dengan Timur

Sekarang kita sedang berbicara tentang mashriq, iaitu satu lafaz yang selama ini sering dipermudahkan begitu sahaja sebagai timur. Dalam penulisan ini, saya sengaja menghalang anda daripada terus menerima penyamaan itu secara mudah, kerana pada pandangan saya di situlah bermulanya banyak kekeliruan.

Jika anda masih mahu mengekalkan bahawa mashriq itu ialah timur, maka anda perlu menjawab terlebih dahulu satu soalan yang sangat penting. Timur yang mana satu? Adakah yang dimaksudkan itu timur benar, timur grid atau timur magnetik?

Hakikatnya, dalam konteks yang sedang kita bincangkan, mashriq bukan timur magnetik, bukan juga timur grid dan bukan sekadar arah kanan pada peta. Jika mahu dicari istilah moden yang paling hampir, maka mashriq lebih dekat kepada timur benar. Namun begitu, mashriq tetap tidak sama sepenuhnya dengan istilah navigasi moden yang disebut sebagai timur benar.

Mengapa saya katakan demikian?

Kerana dalam tafsir ulama terdahulu, mashriq tidak dibina daripada sistem kompas, garisan grid peta atau medan magnet bumi. Mashriq difahami berdasarkan alam yang dilihat oleh manusia, khususnya tempat matahari terbit, arah terbitnya matahari dan sisi timur yang dikenali melalui peredaran matahari itu sendiri.

Sebab itulah asas makna mashriq yang dipegang oleh para ulama ialah arah atau tempat terbit matahari, bukan arah teknikal moden yang lahir daripada ilmu ukur, geodesi, unjuran peta atau sistem magnetik.

Saya harap pada tahap ini anda sudah semakin jelas tentang makna mashriq. Selepas ini, apabila kita masuk kepada perbahasan tentang dua mashriq dan jamak mashriq, insya-Allah pemahaman anda akan menjadi lebih kukuh kerana asas orientasinya telah dibina terlebih dahulu.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Dua Mashriq

Sekarang kita masuk pula ke bahagian yang lebih menarik, iaitu dua mashriq. Dalam bahasa Arab, lafaz ini disebut sebagai mashriqayn (المشرقين). Jika anda membaca al-Quran, anda akan menemukannya pada Surah ar-Rahman 55:17 dan Surah az-Zukhruf 43:38.

رَبُّ ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَرَبُّ ٱلْمَغْرِبَيْنِ ١٧

(Dia lah) Rabb yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

Surah ar-Rahman 55:17

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَنَا قَالَ يَـٰلَيْتَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ بُعْدَ ٱلْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ ٱلْقَرِينُ ٣٨

Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman". 

Surah az-Zukhruf 43:38

Dalam terjemahan Melayu, lafaz ini biasanya diterjemahkan sebagai Rabb atau Tuhan yang menguasai dua timur. Biarkan dahulu terjemahan timur itu. Kita tangguhkan dahulu kebiasaan bahasa yang sering menyempitkan makna, kerana apa yang sedang dibicarakan di sini ialah mashriq, bukan sekadar timur seperti yang difahami secara longgar dalam percakapan harian.

Sebelum ini anda telah membaca petikan daripada tafsiran ulama terdahulu bahawa mashriqayn, atau dua mashriq, merujuk kepada dua tempat terbit matahari. Sebahagian huraian pula menjelaskan bahawa ia ialah dua hujung utama bagi perubahan tempat terbit matahari sepanjang tahun.

Sekarang saya mahu menjelaskannya kepada anda dengan cara yang lebih mudah, lebih dekat dan lebih praktikal, supaya apa yang telah dihuraikan oleh ulama terdahulu itu benar-benar dapat difahami dengan terang.


Orientasi 2

Bagi tujuan itu, kita bina satu lagi gambaran mudah yang saya labelkan sebagai Orientasi 2.

Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan anda sekarang berada di Masjidil Haram di Makkah. Hadapkan wajah anda ke arah matahari terbit. Di belakang anda pula ialah arah matahari terbenam. Selepas itu, angkat tangan kanan dan tangan kiri anda ke hadapan pada paras bahu. Bukaan kedua-dua tangan itu pula dibuat sedikit lebih luas daripada bahu anda.

Kemudian perhatikan bahagian hujung di sebelah kiri anda, bermula dari lengan kiri, terus ke tangan kiri, lalu sampai ke hujung ufuk langit. Itulah had mashriq yang paling kiri. Selepas itu, perhatikan pula hujung di sebelah kanan anda, dari lengan kanan hingga ke hujung ufuk. Itulah had mashriq yang paling kanan.

Apa maksud semua ini?

Apabila al-Quran menyebut mashriqayn, maksudnya ialah dua mashriq, iaitu dua had utama bagi tempat matahari terbit. Satu berada pada hujung sebelah kiri. Satu lagi berada pada hujung sebelah kanan. Kedua-dua hujung inilah yang membentuk makna mashriqayn.

Dalam bahasa yang lebih mudah, matahari tidak terbit pada titik yang sama sepanjang 364 atau 365 hari dalam setahun. Ada satu lokasi paling kiri bagi terbitnya matahari dalam kitaran tahunan itu. Ada juga satu lokasi paling kanan bagi terbitnya matahari. Selama mana matahari terus terbit sepanjang tahun, ia tidak akan melepasi dua had tersebut. Sebelah kiri ialah had paling kiri bagi tempat terbitnya. Sebelah kanan ialah had paling kanan bagi tempat terbitnya. Itulah maksud mashriqayn, iaitu dua hujung utama bagi tempat matahari terbit.

Sebab itu juga dalam Surah az-Zukhruf 43:38 disebut tentang keinginan untuk dijauhkan daripada qarin yang menyesatkan sejauh antara dua mashriq itu, iaitu sejauh-jauh jarak antara dua hujung tempat terbit matahari.

Anda berada di Makkah sekarang, bukan? Tahukah anda bahawa dalam setahun terdapat dua kali berlakunya peristiwa yang dinamakan istiwa’ a‘zam, iaitu ketika matahari berada tegak di atas Kaabah? Pada waktu itulah orang di tempat lain boleh menentukan arah kiblat dengan lebih tepat. Namun begitu, apa yang ingin saya tekankan di sini lebih besar daripada itu.

Hakikatnya, setiap tempat yang berada dalam kawasan tropika, termasuk rumah anda di Asia Tenggara, jika dikira dengan betul, juga boleh mengalami dua kali setahun keadaan matahari berada tepat di atas kepala. Hal ini berlaku selagi sesuatu tempat itu berada dalam lingkungan kawasan tropika, iaitu dalam lingkungan antara dua had besar yang sedang kita bincangkan ini atau, dalam bahasa yang sedang kita gunakan, antara dua mashriq itu.

Sekarang saya gunakan pula sedikit istilah moden untuk membantu anda membayangkannya dengan lebih jelas. Dalam kerangka penerangan moden ini, hujung sebelah kiri itu boleh dikaitkan dengan Tropic of Cancer, yang dalam bahasa Melayu sering disebut sebagai Garisan Sartan. Hujung sebelah kanan pula boleh dikaitkan dengan Tropic of Capricorn, yang dalam bahasa Melayu disebut sebagai Garisan Jadi. Kawasan di tengah-tengah antara kedua-duanya, iaitu antara dua garisan ini, disebut sebagai zon tropika.

Sebab itulah negara-negara tropika merujuk kepada kawasan yang berada dalam lingkungan laluan matahari yang tertentu sepanjang tahun. Kawasan ini lazimnya panas dan menerima hujan yang banyak. Kawasan di luar zon ini tetap menerima cahaya matahari, tetapi matahari tidak akan berada tegak di atas kepala kawasan tersebut sebagaimana yang berlaku dalam zon tropika. Dengan kata lain, kawasan di luar zon ini tidak mengalami keadaan matahari berada tepat di atas kepala dua kali dalam setahun sebagaimana yang boleh berlaku dalam kawasan tropika.

Jadi, begitulah maksud mashriqayn (المشرقين) sebagaimana yang dihuraikan oleh ulama-ulama terdahulu, iaitu dua had utama bagi tempat terbit matahari. Apa yang saya lakukan di sini ialah menghuraikannya semula dengan bahasa yang lebih teratur, bersama satu gambaran orientasi dan sedikit bantuan istilah moden, supaya anda lebih mudah memahami maksudnya berbanding jika anda membaca tafsir itu secara bersendirian tanpa panduan.


Mashriqayn Dalam Pemerhatian Alam Ulama Terdahulu

Bagi sesiapa yang benar-benar membaca tafsir ulama-ulama terdahulu, mereka biasanya akan menemukan bahawa sebahagian ulama menjelaskan mashriqayn (المشرقين) sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk.

Mari saya jelaskan mengapa sebahagian ulama menyatakan demikian. Sepertimana yang telah saya terangkan sebelum ini, tafsiran yang dibuat oleh ulama terdahulu banyak dibina berdasarkan pemerhatian terhadap alam. Pemahaman terhadap alam itulah yang digunakan untuk menghuraikan ayat-ayat Allah sesuai dengan tahap ilmu dan keupayaan yang tersedia pada zaman mereka. Namun masa terus berjalan dan pengetahuan manusia semakin meluas. Sebab itu, mana-mana tafsiran yang menyentuh fenomena alam wajar diteliti semula dengan penuh hormat sejajar dengan keluasan maklumat yang tersedia pada zaman ini.

Jika anda benar-benar meneliti latar hidup para ulama terdahulu, saya yakin anda akan mendapati bahawa ramai daripada mereka berada di sekitar Iraq, Iran, Syria, Mesir dan kawasan-kawasan sekitarnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, mereka banyak tertumpu di zon utara daripada Makkah dan Madinah. Jika anda ragu-ragu, semak sahaja biodata para ulama besar terdahulu. Anda akan melihat satu pola yang jelas, iaitu pusat-pusat keilmuan mereka banyak berkembang di hemisfera utara, khususnya pada lingkungan Syam dan kawasan sekitarnya.

Dengan kata lain, tumpuan para ulama terdahulu bukan berada di zon tropika, tetapi lebih tertumpu di kawasan empat musim di hemisfera utara. Syam ialah kawasan empat musim. Kawasan seperti ini tidak mengalami fenomena matahari tegak di atas kepala sebagaimana yang berlaku dalam zon tropika.

Sebab itulah sebahagian ulama menghuraikan mashriqayn sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk. Huraian itu lahir daripada pemerhatian alam di tempat mereka berada. Di sana ada musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk.

Musim bunga ialah waktu suhu mula meningkat, tumbuh-tumbuhan kembali hidup dan bunga mula mekar. Musim panas pula ialah waktu paling panas, siang menjadi lebih panjang dan aktiviti luar lebih mudah dilakukan. Kedua-dua musim ini bergerak ke arah satu sisi perubahan tempat terbit matahari yang sama. Atas sebab itu, sebahagian ulama menyebutnya secara ringkas sebagai mashriq musim panas.

Musim luruh pula ialah waktu suhu mula menurun, daun berubah warna lalu gugur. Musim sejuk ialah waktu paling dingin, dan di sesetengah tempat salji turun serta suhu boleh jatuh di bawah takat beku. Kedua-dua musim ini pula bergerak ke arah sisi yang satu lagi. Atas sebab itu, sebahagian ulama menyebutnya sebagai mashriq musim sejuk.

Semua ini ialah hasil pemerhatian mereka dari zon tempat mereka hidup. Mereka berada di hemisfera utara. Setakat yang dapat diperhatikan, tidak ada tokoh ulama tafsir klasik yang besar datang daripada zon empat musim di hemisfera selatan. Sebaliknya, pusat-pusat ilmu yang membentuk tradisi tafsir dahulu berkembang dalam zon empat musim hemisfera utara. Sedangkan empat musim di hemisfera utara dan empat musim di hemisfera selatan tidak berjalan serentak, bahkan saling bertentangan dari sudut kitaran waktunya. Oleh sebab itu, kerangka pemerhatian yang sampai kepada kita banyak dibentuk daripada pengalaman hemisfera utara, bukan hemisfera selatan.

Itulah yang menjelaskan mengapa sebahagian ulama terdahulu menyebut mashriqayn sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk. Ia bukan kerana mereka sedang mencipta makna baru yang terpisah daripada al-Quran, tetapi kerana mereka sedang menghuraikan dua had utama tempat terbit matahari berdasarkan pemerhatian alam yang berlaku di kawasan mereka.


Bentuk Jamak Bagi Mashriq

Seterusnya, kita akan masuk kepada bentuk jamak bagi mashriq. Dalam al-Quran, ia disebut sebagai al-Mashāriq (المشارق), yang dalam bahasa Melayu lebih tepat difahami sebagai tempat-tempat terbit matahari, bukan sekadar timur. Lafaz ini boleh ditemui dalam al-Quran pada Surah as-Saffat 37:5 dan Surah al-Ma‘arij 70:40.

Bahagian ini agak teknikal sedikit. Namun seperti biasa, saya akan bina satu lagi orientasi supaya anda dapat memahaminya dengan lebih mudah dan supaya kita benar-benar jelas tentang apakah yang dimaksudkan dengan al-Mashāriq. Selepas ini, kita tidak lagi akan menterjemahkannya secara longgar dan bulat-bulat sebagai timur.

Saya labelkan bahagian ini sebagai Orientasi 3. Gambaran asasnya masih sama seperti Orientasi 2. Angkat semula tangan kiri dan tangan kanan anda seperti sebelum ini.

Sekarang, secara bayangan, saya mahu anda membahagikan ruang mendatar di antara tangan kiri dan tangan kanan itu kepada enam petak. Jika kepala anda dijadikan titik tengah, maka akan terbentuk tiga petak di sebelah kiri dan tiga petak di sebelah kanan. Dengan itu, antara mashriq paling kanan dan mashriq paling kiri, terdapat enam petak semuanya.

Selepas itu, tetapkan dalam fikiran anda urutan pergerakan petak-petak tersebut mengikut nombor. Mulakan dari sebelah kanan pada nombor 1, kemudian bergerak ke kiri sehingga nombor 6. Selepas itu, dari petak paling kiri iaitu nombor 6, bergerak semula ke kanan sehingga kembali kepada nombor 1.

Anda sebenarnya akan mendapat urutan begini sebagai satu kitaran,
 
 
Tahukah anda apa yang sedang anda lihat sekarang? Itulah laluan mashriq. Itulah gambaran bagaimana matahari bergerak dalam lingkungan mashriq sepanjang satu tahun. Bersabarlah dahulu. Saya tahu masih ada bahagian yang belum benar-benar jelas. Biarlah kita memahaminya bersama-sama secara perlahan-lahan supaya selepas ini ia melekat dalam ingatan untuk selama-lamanya, insya-Allah.
 

Tadi, anda telah membentuk enam petak di antara dua tangan anda. Kemudian saya tambahkan pula arah pergerakan pergi dan patah balik dalam setiap petak itu.

 

Jika anda ingin tahu, di situlah sebenarnya telah terbentuk dua belas bulan dalam kalendar matahari. Laluan di bahagian atas mewakili perjalanan dari Januari hingga Jun. Selepas itu, pergerakan itu turun ke bahagian bawah, masuk ke Julai, lalu berpatah balik ke arah kanan sehingga Disember. Itulah pola asas pergerakan matahari di bumi.

Maka selepas ini anda sudah mempunyai satu gambaran asas yang lebih kukuh. Selagi anda berada di kawasan tropika, jika anda terjaga daripada tidur selepas seratus tahun sekalipun, besar kemungkinan dalam beberapa hari sahaja anda sudah boleh mengagak anda sedang berada pada bulan yang mana dalam kalendar matahari.


Ekuinoks, Solstis dan Laluan Mashriq

Sekarang ingat kembali apa yang telah disebut oleh ulama-ulama terdahulu tentang mashriq. Mereka menyebut adanya mashriq musim sejuk dan mashriq musim panas. Saya pula telah menjelaskan bahawa huraian seperti itu sangat mungkin lahir daripada pemerhatian ulama-ulama terdahulu yang hidup dalam lingkungan hemisfera utara, atau sekurang-kurangnya dalam tradisi ilmu yang dibina di atas pengalaman ufuk utara. Sebab itu, huraian mereka sangat tepat dalam ruang pemerhatian mereka. Namun ketepatan itu tidak semestinya bermaksud seluruh gambaran bumi telah pun selesai dihimpunkan, khususnya apabila kita mengambil kira sudut hemisfera selatan.

Sekarang saya mahu membawa anda melihat perjalanan mashriq dalam setahun dengan menggunakan model Orientasi 3. Bahasanya mungkin sedikit teknikal, tetapi apabila difahami dengan tenang, anda akan nampak bahawa gambaran ini sebenarnya sangat teratur.

Anda tentu sudah mengetahui bahawa ada masa-masa tertentu apabila siang lebih panjang daripada malam, dan ada juga masa-masa tertentu apabila malam lebih panjang daripada siang. Dalam kitaran tahunan itu, ada pula waktu tertentu ketika siang dan malam berada dalam keadaan hampir seimbang.

Dalam setiap tahun, akan datang satu titik apabila pembahagian cahaya matahari antara hemisfera utara dan hemisfera selatan menjadi lebih seimbang. Pada ketika itulah, secara umum, siang dan malam kelihatan hampir sama panjang. Keadaan ini pada hari ini disebut sebagai ekuinoks. Bagi tujuan penjelasan kita, cukuplah difahami bahawa ekuinoks ialah titik pertengahan dalam perjalanan tahunan matahari.

Selepas titik pertengahan itu, matahari akan terus bergerak ke satu arah sehingga sampai ke salah satu hujung mashriq. Apabila ia tiba di hujung tersebut, satu hemisfera menerima lebih banyak cahaya, manakala hemisfera yang satu lagi menerima kurang. Titik hujung inilah yang pada hari ini disebut sebagai solstis.

Dengan kata lain, jika mahu dipermudahkan, ekuinoks ialah titik tengah, manakala solstis ialah titik hujung.

Sekarang masukkan semula model Orientasi 3 yang telah kita bina tadi. Kita sudah membentuk enam petak secara mendatar, tiga di sebelah kiri dan tiga di sebelah kanan.

Kemudian kita susun laluan pergerakannya seperti ini:

 
Inilah gambaran mudah bagi laluan mashriq dalam setahun.
 
Untuk memudahkan semua orang faham, anggap sahaja bahawa perjalanan ini bermula sekitar peralihan Mac ke April, iaitu ketika bumi berada dekat dengan keadaan seimbang. Kita tak mula bukan Januari kerana ia tidak seimbang. Yang paling seimbang adalah waktu ekuinoks.
Selepas itu, matahari bergerak ke satu sisi sedikit demi sedikit sehingga sampai ke hujung sekitar Jun. Pada waktu itu, hemisfera utara menerima lebih banyak cahaya matahari dan siangnya menjadi lebih panjang. Itulah hujung pertama dalam kitaran ini.
 
Selepas sampai ke hujung itu, matahari tidak terus mara. Ia berpatah balik. Ia kembali semula melalui laluan yang sama, sedikit demi sedikit, sehingga sampai semula ke kawasan seimbang kembali sekitar September. Selepas itu, ia terus bergerak ke arah bertentangan sehingga sampai pula ke hujung yang satu lagi sekitar Disember. Pada waktu itu, hemisfera selatan menerima lebih banyak cahaya matahari dan siangnya menjadi lebih panjang.
 
Selepas sampai ke hujung selatan itu, matahari berpatah balik sekali lagi, lalu kembali semula menuju kawasan seimbang sekitar Mac. Maka lengkaplah satu kitaran tahunan.
 
Sebab itu, jika kita melihat mashriq bukan sekadar sebagai timur, tetapi sebagai tempat-tempat terbit matahari yang berubah-ubah sepanjang tahun, barulah kita akan faham bahawa matahari itu sebenarnya mempunyai laluan terbit tahunan. Ada waktu ia bergerak ke satu arah, ada waktu ia sampai ke hujung, ada waktu ia berpatah balik dan ada waktu ia kembali semula ke titik seimbang.
 
Jadi, apabila sebahagian ulama terdahulu menyebut adanya mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk, kita boleh faham bahawa mereka sedang merujuk kepada dua hujung besar dalam laluan tahunan matahari. Cuma pada hari ini, setelah kita memahami bumi dari sudut hemisfera utara dan hemisfera selatan, kita boleh melihat gambaran itu dengan lebih luas. Kita bukan sekadar melihat satu hujung, tetapi seluruh kitaran pergi dan baliknya.
 
Maka al-Mashāriq tidak lagi patut dibayangkan sekadar sebagai satu arah timur yang tetap, seolah-olah matahari terbit dari titik yang sama sepanjang tahun. Ia lebih tepat difahami sebagai tempat-tempat terbit matahari yang berubah-ubah sepanjang satu kitaran tahunan. Dari situlah kita mula nampak bahawa lafaz jamak itu sangat bermakna, sangat tepat dan sangat besar maknanya.

 Empat Suku Dalam Kitaran Matahari

Disebabkan kita sudah sampai ke tahap ini, maka pada kesempatan ini lebih baik saya lanjutkan perbahasan ini dengan lebih mendalam lagi, sehingga ke tahap bilangan hari dalam setiap bulan, supaya anda boleh mengira kalendar sendiri walaupun teknologi sudah runtuh pada akhir zaman kelak.

Sekarang kita boleh pergi lebih jauh sedikit. Setelah kita memahami bahawa matahari mempunyai laluan terbit tahunan, bergerak ke satu arah, sampai ke hujung, kemudian berpatah balik ke arah yang bertentangan, maka soalan seterusnya ialah ini:

Berapa lama matahari berada pada setiap laluan itu?

Di sinilah kita akan mula melihat satu susunan yang sangat menarik yang saya pelajari daripada al-Quran. Laluan tahunan matahari itu tidak bergerak secara rawak. Ia bergerak dalam satu kitaran yang tersusun. Dalam model Orientasi 3 yang sedang kita gunakan, satu tahun dibahagikan kepada 12 peringkat utama, dan setiap peringkat itu mempunyai bilangan harinya sendiri.

Untuk memudahkan pemahaman, kita gunakan semula susunan petak yang telah dibentuk sebelum ini. Kita sudah membayangkan ada enam petak dari kanan ke kiri, kemudian gerakan berpatah balik semula melalui petak yang sama. Maka satu kitaran tahunan penuh dapat dibayangkan seperti yang telah dijelaskan di atas.

Jika diperhatikan dengan teliti, satu tahun itu sebenarnya boleh dibahagikan kepada empat bahagian besar.

 
Bahagian atau suku pertama ialah gerakan dari kawasan seimbang, iaitu sekitar ekuinoks pada awal April, menuju ke satu hujung. Bahagian kedua ialah gerakan dari hujung itu kembali semula ke kawasan seimbang yang berikutnya. Bahagian ketiga pula ialah gerakan dari kawasan seimbang itu menuju ke hujung yang satu lagi. Bahagian keempat akhirnya ialah gerakan dari hujung kedua itu kembali semula ke kawasan seimbang asal.
 
 
Suku 1 dari kawasan seimbang menuju ke hujung pertama:
Petak 4 = 30 hari
Petak 5 = 30 hari
Petak 6 = 31 hari
Jumlah = 91 hari
 
Suku 2 dari hujung pertama berpatah balik ke kawasan seimbang yang berikutnya:
Petak 6 = 30 hari
Petak 5 = 30 hari
Petak 4 = 31 hari
Jumlah = 91 hari
 
Suku 3 dari kawasan seimbang itu menuju ke hujung yang satu lagi:
Petak 3 = 30 hari
Petak 2 = 30 hari
Petak 1 = 31 hari
Jumlah = 91 hari
 
Suku 4 dari hujung kedua berpatah balik semula ke kawasan seimbang asal:
Petak 1 = 30 hari
Petak 2 = 30 hari
Petak 3 = 31 hari
Jumlah = 91 hari
Jumlah setahun = 364 hari.
 
Di sinilah kita mula nampak satu pola besar, iaitu satu tahun itu sebenarnya terbina daripada empat suku yang sama, kerana 91 hari didarab empat menghasilkan 364 hari. Ini menunjukkan bahawa kitaran tahunan matahari itu boleh dibahagikan dengan sangat kemas.
 
Dengan pembahagian ini, kita juga sudah boleh melihat satu lagi perkara penting.
 
Suku 1: utara bergerak ke arah lebih banyak cahaya.
Suku 2: utara mula kehilangan cahaya semula.
Suku 3: selatan bergerak ke arah lebih banyak cahaya.
Suku 4: selatan mula kehilangan cahaya semula.

Dari Dua Mashriq Kepada Banyak Mashāriq

Setelah kita melihat bagaimana perubahan musim berlaku apabila matahari bergerak sepanjang petak-petak itu, maka sekarang kita sudah boleh kembali semula kepada lafaz yang sedang dibincangkan. Seluruh pergerakan tahunan matahari itu sebenarnya mempunyai dua sempadan besar, iaitu dua hujung tempat terbitnya, satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Inilah yang membantu kita memahami maksud mashriqayn, iaitu dua batas besar tempat terbit matahari dalam setahun. Di antara dua batas itulah pula wujud banyak titik terbit yang dilalui oleh matahari sepanjang kitarannya.

Dari sinilah kita mula melihat bahawa mashriq bukan sekadar timur dalam maksud arah umum, tetapi lebih tepat difahami sebagai tempat terbit matahari. Adapun mashāriq pula ialah tempat-tempat terbit matahari yang banyak itu, yang berada di antara dua sempadan tersebut.

Sekarang kita kembali semula kepada inti lafaz yang sedang dibincangkan. Semua penjelasan tentang pergerakan matahari, perubahan musim, perbezaan hemisfera, serta gerakan pergi dan patah balik sepanjang tahun itu bukan tujuan akhir. Semua itu hanyalah jalan untuk membolehkan kita melihat satu hakikat yang lebih besar, iaitu matahari tidak terbit dari satu titik yang sama sepanjang tahun.

Di sinilah makna mashriq mesti diperbetulkan dalam kepala pembaca. Mashriq bukan sekadar timur dalam maksud arah umum, tetapi lebih tepat difahami sebagai tempat terbit matahari. Apabila tempat terbit itu berubah-ubah sepanjang tahun, maka bentuk jamaknya, mashāriq, menjadi sangat tepat, iaitu tempat-tempat terbit matahari.

Maka seluruh perbahasan tadi sebenarnya sedang membawa kita kepada satu kesimpulan yang sangat penting. Lafaz mashriq tidak cukup jika difahami hanya sebagai timur, dan lafaz mashāriq tidak cukup jika dibayangkan sekadar banyak timur. Yang lebih tepat ialah kita memahami bahawa al-Quran sedang merujuk kepada realiti tempat terbit matahari yang pelbagai sepanjang satu kitaran tahunan. Di situlah makna lafaz itu menjadi hidup, tepat dan jauh lebih besar daripada terjemahan mudah yang biasa kita dengar.


Penutup

Saya rasa cukuplah sehingga ke tahap ini sahaja dan saya sudah boleh membantu anda membuat kesimpulan.
 
Setelah kita melihat bagaimana matahari bergerak sepanjang tahun dan bagaimana gerakan itu membentuk perubahan musim, maka sekarang kita boleh kembali kepada lafaz yang sedang dibincangkan.
 
Laluan tahunan matahari itu mempunyai dua sempadan besar, satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Inilah asas untuk memahami mashriqayn.
 
Namun matahari tidak terbit hanya pada dua sempadan itu, kerana di antara kedua-duanya terdapat banyak lagi titik terbit sepanjang kitaran tahun.
 
Dari sinilah kita mula faham bahawa mashriq ialah tempat terbit matahari, manakala mashāriq ialah tempat-tempat terbit matahari yang banyak itu.
Maka, terjemahan sebagai timur semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjelaskan makna sebenar mashriq.
 
Jika anda sudah benar-benar faham akan penerangan ulama-ulama terdahulu dan juga memahami apa yang saya telah terang melalui semua model orientasi yang telah saya terangkan, maka sepatutnya Insyaallah anda sudah berkata dengan yakin apa maksud sebenar,
"Imam Mahdi datang dari Mashriq dan Panji-panji Hitam dari Mashriq".

Sokongan Kajian

Penulisan ini merupakan kajian eksklusif BAZ yang diterbitkan di laman rasmi:
https://beritaakhirzaman.com

Jika anda mahu bersama menyokong kajian mendalam, analisis linguistik dan kupasan sejarah yang tidak diterbitkan di mana-mana tempat lain, anda boleh memberikan tajaan sukarela melalui pautan berikut:
Klik untuk support kami

Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.

Log masuk ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login
Pendaftaran ahli (percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register

 
 
Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Tags:
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.