Muhkamat dan Mutasyabihat
Bahagian 1 : Definisi Lazim
Saya merasakan bahawa banyak terjemahan Bahasa Melayu dalam al-Quran perlu diteliti semula maksudnya, khususnya ayat Ali ‘Imran 3:7 tentang definisi muhkamat dan mutasyabihat, kerana ia memberi persepsi dan kesan besar dalam memahami al-Quran dan strukturnya.
Rujukan terjemahan Bahasa Melayu yang digunakan ialah terjemahan oleh Abdullah Muhammad Basmeih.
Sila baca terlebih dahulu terjemahan yang telah kita gunakan begitu lama. Bukanlah niat saya untuk mengkritik, tetapi sekadar memberikan pandangan alternatif yang pada hemat saya lebih baik dan memudahkan penjelasan tentang struktur al-Quran.
Sila baca dahulu ayat Arab Ali ‘Imran 3:7 bersama terjemahan Bahasa Melayu oleh Abdullah Muhammad Basmeih:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ مِنۡهُ ءَايَٰتٞ مُّحۡكَمَٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَٰبِهَٰتٞ ۖ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمۡ زَيۡغٞ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَٰبَهَ مِنۡهُ ٱبۡتِغَآءَ ٱلۡفِتۡنَةِ وَٱبۡتِغَآءَ تَأۡوِيلِهِۦ ۖ وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلّٞ مِّنۡ عِندِ رَبِّنَا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
"Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur'an. Sebahagian besar dari Al-Qur'an itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur'an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang amar-samar dari Al-Qur'an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."
(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 7 oleh Abdullah Muhammad Basmeih)
Dalam teks terjemahan Bahasa Melayu di atas, kita dapati definisi perkataan muhkamat dan mutasyabihat menurut pandangan penterjemah diletakkan dalam kurungan seperti berikut:
a. Muhkamat
“(yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya)”
b. Mutasyabihat
“(yang samar-samar, tidak terang maksudnya)”
Sejak kecil, saya memegang dan mempercayai itulah maksud muhkamat dan mutasyabihat. Saya yakin ramai antara kita juga begitu. Kita membesar dengan definisi sedemikian dan definisi itulah yang diajar dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah.
Sedarkah anda bahawa definisi bagi dua perkataan tersebut telah menyebabkan kita terpenjara dalam makna?
Maafkan saya kerana mengkritik terjemahan tersebut dan juga pemahaman saya sendiri. Namun, setelah saya mendalami al-Quran, saya sedar definisi itu kurang tepat dan definisi inilah antara sebab yang menjerumuskan kepada satu fahaman, iaitu:
“Jangan tafsir al-Quran sendiri, nanti sesat.”
Kebanyakannya berpunca daripada kefahaman yang tertanam dalam diri bahawa mutasyabihat ialah ayat yang samar-samar dan tidak terang maksudnya. Kerana takut kepada perkara ini, kita hanya menerima dan membaca apa yang ada tanpa berfikir secara mendalam. Kita menerima sahaja apa yang sedia ada kerana bimbang tersesat.
Bersambung
Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah
Balas kepada: