Anbiya'-Centric

PENJELASAN RASMI ARTIKEL NABI MIKRAJ DARI MALAYA BUKAN DARI PALESTINE

April 12, 2026 19 0
Completed
Anggaran masa membaca
39 minit 31 saat

Penjelasan Rasmi Artikel

Nabi Mikraj Dari Malaya Bukan Dari Palestine


Syukur kepada Allah SWT kerana Dialah yang mengaturkan agar kita semua mengambil berat tentang Masjidil Aqsa, iaitu tempat Nabi SAW diisrakkan sebelum mikraj untuk bertemu Allah. Saya sengaja memilih tajuk sedemikian kerana tingkah laku pengguna media sosial pada hari ini cenderung kepada sensasi berbanding fakta. Memang benar saya mahu menarik perhatian anda semua, dan saya tidak melakukannya secara sia-sia, tetapi dengan sebab yang saya pertanggungjawabkan di sisi Allah SWT.
.
Ini link penulisan tersebut.
Tulisan ini dibuat bukan kerana saya perlu meminta izin untuk berfikir atau berkarya, tetapi kerana sejak kebelakangan ini ramai orang yang datang tanpa memahami budaya page ini, lalu menilai satu tajuk atau satu artikel seolah-olah mereka sudah memahami keseluruhan kerangka yang telah dibina bertahun-tahun. Di BAZ, penulisan tidak berdiri atas satu post yang terpisah, tetapi berdiri atas ribuan penulisan yang saling berkait, dibaca rapat oleh pembaca setia yang mengikuti perjalanan hujah dari awal. Maka apabila ada orang baru datang tanpa adab, tanpa usul periksa, dengan kurang penelitian, lalu terus menghukum hanya dengan membaca tajuk atau satu dua perenggan, itu bukan tanda mereka faham, tetapi itu tanda mereka jenis suka bermusuh dengan perkara yang diketahui.

Saya kena perkenalkan semula diri saya.

Saya ialah seorang penulis bebas dengan nama pena BAZ. Nama itu sendiri diberikan oleh para pembaca dari page lama, iaitu "Berita Akhir Zaman", sebelum page itu digodam. Selepas 2 tahun berehat, sebuah page baharu diwujudkan oleh follower juga, dengan nama "Berita Akhir Zaman Rasmi". Saya telah dilantik sebagai admin di page tersebut dan kembali lagi. Selepas itu, atas inisiatif para pembaca juga, laman web https://beritaakhirzaman.com dibina oleh para follower dan saya turut menjadi penulis di sana.
Tiada siapa yang mengenali saya. Cara ini ada kelebihannya dan ada juga kekurangannya. Namun dengan cara inilah saya dapat berkarya mengikut cara saya sendiri, dengan format saya, metodologi saya dan laras bahasa saya sendiri. Di BAZ, kita tidak mahu terikat dengan struktur pembelajaran akademik dan kaedah belajar yang biasa kerana ia sudah ada di luar sana. Pemikiran kritis tidak akan lahir jika terlalu banyak batasan dikenakan. Akhirnya, identiti BAZ dikenali melalui gaya penulisan BAZ sendiri.
 
Setakat di page BAZ Rasmi, sudah ada lebih daripada 1000 penulisan yang panjang. Walaupun saya tidak mahu dikenali, saya tetap bertanggungjawab sepenuhnya di sisi Allah atas setiap perkara yang saya tulis. Silalah semak rekod penulisan saya yang terdahulu. Anda akan dapati bahawa saya sentiasa berusaha menggunakan bahasa yang sopan dan ejaan yang penuh, dalil yang sahih, kupasan yang asli dan tidak pernah meniru sesiapa. Saya buat setakat kemampuan saya. 100% original.
 
Di page BAZ, adab mulia dan sopan santun sangat kami utamakan. Alhamdulillah orang lama di sini sentiasa berfikiran matang. Adab dan akhlak mendahului ilmu. Atas sebab itu, saya tidak teragak-agak untuk menyekat sesiapa sahaja yang menggunakan bahasa kasar kerana saya tidak mahu para pembaca yang setia terganggu serta terguris.
 
Apa yang telah dituliskan di sini, setiap ayat, hatta pemilihan katanya juga, saya pilih sendiri semenjak AI belum wujud lagi. Inilah gaya BAZ yang telah ada sebelum AI wujud. Setiap tulisan saya, para malaikat tidak lekang mencatatnya dengan tepat atas nama saya yang sebenar, sekalipun anda tidak pernah mengenali saya.
 
Bagi anda yang baru atau yang lama di page ini, ambillah apa yang anda mahu dan tinggalkanlah apa yang anda tidak mahu. Jika ada kupasan dan hujah yang lebih baik daripada saya, maka ambillah yang lebih baik itu dan tinggalkan saya.
 
Jika anda mahu mengambil juga penulisan saya, jangan terus ambil bulat-bulat apa yang saya tuliskan. Bawalah kepada guru anda secara fizikal, dan belajarlah dengan wasilah dan fadilah secara rasmi. Insya-Allah, dengan cara itu anda akan belajar bersanad dengan guru anda, bukan daripada saya, sekalipun asal idea itu datang daripada saya.
 
Jangan pula anda memetik tulisan saya dan menyerahkannya kepada penulis lain di FB seolah-olah mereka boleh terus memahami keseluruhan maksudnya, kerana sesuatu tulisan itu perlu dibaca dalam rangka hujah yang lengkap, bukan boleh diadili secara potong-potong.
Inilah sebahagian ayat yang selalu diulang-ulang di page ini dan anda lah saksi saya.

Seterusnya mengapa saya menulis sebuah artikel dengan tajuk begitu kontroversi iaitu "Nabi Mikraj Dari Malaya Bukan Dari Palestine"?

Saya akan jelaskan. Namun begitu, saya juga memohon agar anda membacanya dengan hati yang terbuka. Jika anda datang dalam mode terlalu defensif atau terlalu ofensif, maka apa sahaja yang saya bentangkan, walaupun ayat al-Quran sekalipun, ia akan mudah terhijab di sebalik tembok persangkaan yang anda bina terhadap saya. Ilmu yang tinggi pun tidak banyak membantu jika hati lebih dahulu memilih untuk menolak, sebelum meneliti.
 
Saya ini cuma penulis yang membentangkan apa yang saya temui setakat kemampuan saya. Yang memberi faham kepada anda hanyalah Allah, iaitu Rabb Yang Maha Melimpahkan rahmat-Nya. Kepada Allah kita berserah. Kurangkan persangkaan. Kurangkan keinginan untuk terus menjadi hakim pada peringkat awal. Telitilah dahulu. Cukuplah Allah sebagai Al-Hakim. Kita jadi hamba yang ditakdirkan untuk membaca setelah peluang ini ditakdirkan sampai kepada kita.
 
Anda rasa mudahkah untuk saya memilih tajuk seperti itu? Tidak mudah! Saya juga serba salah. Namun saya sengaja memilih tajuk yang keras dan kontroversi kerana saya tidak mahu penemuan ini lalu begitu sahaja tanpa semakan. Saya perlukan orang membaca, menyemak, menilai dan menguji hujah yang saya bentangkan. Jika ia salah, maka saya akan buang atau betulkan. Jika ia benar, maka saya akan dalami dengan lebih mendalam lagi. Itu tujuan saya yang sebenar.

Peringatan Ulangan

Suka untuk saya mengingatkan anda semua, di page ini ada pelbagai aliran yang memerhati setiap komen dan reaksi anda. Ada Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL), Syiah, batiniyah, SiHulk, PMYT, liberal, Kristian dan pelbagai lagi, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Bahkan artikel English lebih banyak dibaca di laman web berbanding Melayu. Mereka memerhati tingkah laku anda. Apabila anda menepati kriteria tertentu yang mereka cari, maka anda akan menjadi sasaran untuk direkrut sebagai pengikut mereka.
 
Saya berdiri menentang mereka kerana saya telah melihat sendiri betapa bahayanya gerakan ini khususnya AROPL dan betapa liciknya strategi yang mereka gunakan. Sayalah yang pertama menulis bahawa Abdullah Hashem pengasas AROPL adalah Dajjal dalam bentuk kedua terakhir sebelum kemunculan utama. Anda boleh mengatakan bahawa anda bijak, berpengalaman dan mengetahui pelbagai nas tentang Quran dan hadis fitan. Namun begitu, anda perlu ingat bahawa perbuatan jahat tidak memerlukan dalil anda sedangkan kita pula sentiasa berdalil. Kejahatan itu sendiri bersifat anti dalil kerana ia adalah musuh Allah. Musuh yang bermain dengan bahasa mesti dilawan dengan bahasa.

Saya mulakan dengan pendirian saya terhadap Baitul Maqdis

Baitul Maqdis atau Beit HaMikdash atau Jerusalem atau Iliya atau apa nama yang merujuk kepadanya di Syam atau Levant, semua sama sahaja pendirian saya dengan anda semua.
 
Berkenaan Baitul Maqdis sebagai kiblat Nabi SAW dan para sahabat, bermula ketika di Mekah sehingga berhijrah ke Madinah, sebelum kiblat dipindahkan ke Masjidil Haram, saya juga sependapat dengan anda semua. Itulah kiblat nabi yang awal.
 
Sana adalah tempat asal para nabi, tempat suci, tempat berkumpul para ulamak, tempat yang diberkati atau tempat penting semua agama. Saya juga sependapat dengan anda semua.
 
Berkenaan perjuangan, peperangan dan penderitaan saudara-saudara seIslam kita di sana, saya juga bersimpati dan air mata saya juga mengalir seperti anda semua.

Perbezaan pendirian

Cuma ada satu perkara yang mungkin kita belum sependapat, iaitu berkenaan Masjidil Aqsa yang disebut dalam Surah al-Isra’ ayat 1.
Di sinilah letaknya perbezaan saya dengan anda. Walaupun para ulama sejak dahulu berpendapat bahawa Masjidil Aqsa itu berada di sana, saya berpendapat bahawa Masjidil Aqsa yang disebut dalam Surah al-Isra’ ayat 1 bukan di sana, tetapi di lokasi yang lain.
 
Atas dasar itu juga, saya menyatakan pendirian bahawa Nabi SAW tidak menaiki buraq bersama Jibril ke Baitul Maqdis di lokasi tersebut dan tidak bersolat bersama para nabi di sana sebagaimana yang difahami dalam naratif yang masyhur.

Mengapa?

Kerana saya memahami perkara ini secara berbeza dari pelbagai perspektif yang berbeza.
 
Pada tahap ini, jika anda mahu membaca dengan adil, maka teruskan.
 
Jika anda tidak mahu, maka berhentilah di sini dan jangan buang masa anda.
 
Saya tidak pernah meminta anda percaya kepada saya. Saya hanya membentangkan pemahaman saya beserta justifikasinya dan itu saya lakukan bukan melalui satu artikel kontroversi yang pendek. Saya telah dan akan lakukan melalui banyak artikel yang saling menyokong antara satu sama lain.

Bagaimana pemahaman saya ini mula wujud?

Sebelum pergi lebih jauh, anda perlu membaca satu perkara terlebih dahulu, iaitu berkenaan 3 bentuk komunikasi Allah dengan hamba-Nya. Allah hanya berkomunikasi dengan hamba-Nya melalui 3 cara ini sahaja, dan Allah sendiri telah menetapkan bahawa tiada cara lain selain tiga tersebut. Perkara ini telah dimuktamadkan oleh Allah dalam al-Quran.
 
Tiga Kaedah Komunikasi Allah SWT Dengan Hamba Nya Mengikut Al Quran
 
Daripada banyak-banyak bentuk komunikasi Allah itu, sudah tentu proses penerimaan wahyu oleh para nabi menjadi salah satu topik yang sangat penting. Daripada banyak-banyak peristiwa dalam al-Quran pula, saya menemui satu sahaja ayat yang menunjukkan wahyu diturunkan ketika Nabi sedang mendirikan solat fardhu secara berjemaah bersama para makmum. Ini sudah tentu menarik perhatian saya.
 
Surah al-Baqarah 2:144 ialah peristiwa wahyu yang membawa perintah menukar kiblat serta-merta ketika solat berjemaah sedang berlangsung. Bayangkan ketika solat sedang didirikan berjemaah, Rasulullah SAW melakukan pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Baitul Maqdis pada ketika itu ialah kiblat Yahudi di Jerusalem.
 
Ini adalah satu peristiwa yang sangat unik. Apabila saya membuat carian dan kajian terhadap rujukan-rujukan yang berkaitan dengannya, saya menemui dua keganjilan.
 
Keganjilan Pertama, mengapa Allah menurunkan wahyu secara langsung ketika solat sedang berlangsung? Ini ialah kunci penting untuk kita pada akhir zaman.
 
Keganjilan Kedua, mengapa Allah menyebut berkali-kali bahawa Nabi memandang ke langit dan tidak menyukai kiblat Yahudi tersebut? Allah sendiri yang menyebut perkara itu dalam ayat 2:144. Saya hanya mengulanginya kepada anda tanpa menokok apa-apa tafsiran. Ini pula kunci kedua untuk bekalan kita pada akhir zaman.

Sekarang mari masuk kepada kemahiran berfikir yang paling asas.

Cuba fikirkan dalam ayat itu, mengapa Rasulullah SAW memandang ke langit? Mengapa Allah berfirman bahawa kiblat Masjidil Haram ialah kiblat yang disukai oleh Nabi?
 
Maka kesimpulan awal yang timbul ialah ini, "mengapa Nabi SAW kurang menyukai kiblat Yahudi itu?"

Yahudi vs Bani Israel.

Saya dahulu juga pernah keliru antara Yahudi dengan Bani Israel. Saya menyangka seluruh Bani Israel itu Yahudi dan seluruh Yahudi itu pula Bani Israel.
 
Namun, apabila saya meneliti linguistik al-Quran, saya mendapati bahawa Yahudi itu bukan seluruh Bani Israel. Yahudi ialah satu kelompok pelampau agama yang muncul daripada sebahagian Bani Israel.

Apa maksudnya?

Maksudnya, Nabi SAW dan para sahabat selama berbelas bulan telah menghadap kiblat Yahudi, bukan kiblat Bani Israel. Nabi tidak menghadap kiblat bangsa induk para nabi itu, tetapi kiblat satu kelompok pelampau agama yang muncul daripada sebahagian keturunan mereka.
Sebab itulah timbul persoalan besar mengapa Nabi SAW tidak menyukai kiblat tersebut. Yahudi dan Bani Israel bukan pihak yang sama.

Mengapa perkara ini boleh berlaku dan dari mana datangnya penemuan ini?

Nabi SAW telah diisrakkan ke Masjidil Aqsa dan bersolat bersama para nabi. Pada pemahaman saya, Nabi sebenarnya bersolat di masjid yang mulia, iaitu masjid yang berada di tanah Bani Israel. Nabi tidak bersolat di masjid yang mewakili pelampau agama Yahudi.

Mana buktinya?

Sudah tentu Yahudi marah. Buktinya dapat dilihat dalam Surah al-Baqarah 2:142. Kaum Yahudi sendiri mengetahui bahawa kiblat mereka bukan kiblat bangsa induk mereka, iaitu Bani Israel, tetapi kiblat yang mereka bentuk dan pegang sendiri.
 
Lalu apabila mereka membantah perubahan kiblat, apakah jawapan yang Allah perintahkan kepada Nabi?
 
Allah berfirman dalam ayat yang sama bahawa "mashriq dan maghrib itu milik Allah".
 
Ini bukan tafsiran yang dipaksa-paksa untuk anda. Ini ialah lafaz ayat yang jelas dan terang dalam bahasa Arab dan saya hanya menyampaikan semula kepada anda sebagaimana ia disebut oleh Allah.

Apa signifikan apabila Allah memerintahkan Nabi menjawab kepada Yahudi bahawa mashriq dan maghrib itu milik Allah?

Di sinilah kuncinya yang kita kena faham untuk hujung-hujung daripada akhir zaman ini.
 
Allah sedang menunjukkan bahawa kaum Yahudi itu tidak berada di atas susunan perintah yang Allah tetapkan. Allah menyatakan dalam ayat yang sama, bahawa mashriq dan maghrib itu milik Allah.
 
Arah, sempadan dan pewarisan bumi bukan ditentukan oleh hawa nafsu sesuatu kaum, tetapi ditentukan oleh Allah. Bumi sebelah terbit dan sebelah terbenam itu telah diwariskan kepada Bani Israel, iaitu nenek moyang kepada Yahudi, bukan dimonopoli oleh kelompok Yahudi yang datang kemudian dengan pemahaman dan binaan agama mereka sendiri.
 
Sebab itulah saya membuat kajian yang terperinci, dan kajian ini masih berterusan, berkenaan perjalanan Nabi Musa dan Bani Israel selepas keluar daripada perhambaan Firaun Mesir menuju ke Mashariqal Ardh, iaitu dua timur.
 
Anda boleh membaca kupasannya pada pautan ini. Setakat ini baru 13 siri.
 
 
Bacalah isi kandungannya dan jangan terpengaruh dengan tajuknya. Artikel itu tidak dibina atas semangat hendak membuat claim tentang Nusantara, apatah lagi untuk mengangkatnya secara emosional atau membangunkan sentimen peribadi. Tiada faedah langsung bagi saya dan membazirkan masa sahaja. Artikel itu ditulis dengan merujuk ratusan ayat al-Quran, ribuan perkataan Quran dan hadith, lalu dihuraikan bersama fakta sains dan ilmu alam yang boleh diperhatikan secara nyata.
 
Apa yang saya bentangkan di situ bukan satu dakwaan yang lahir daripada kehendak perasaan, nostalgia atau keinginan diri untuk memenangkan tempat lahir kita. Ia datang daripada al-Quran yang jelas dan terang, kemudian difahami melalui realiti alam yang juga jelas dan terang. Sebab itu ia tidak boleh ditolak mentah-mentah hanya dengan emosi, sindiran atau rasa tidak selesa terhadap tajuknya.
 
Pada pandangan saya, ini bukan soal membuat tafsiran baru sesuka hati. Ini ialah soal menyingkap makna yang memang sudah ada, tetapi sebelum ini terselubung, lalu tidak diperhatikan dengan betul. Apabila makna itu dibaca semula dengan teliti melalui al-Quran, bahasa, sains dan ilmu alam, maka ia mula kelihatan sebagai satu fakta yang nyata.
 
Jika anda melangkau pembacaan yang itu, maka besar kemungkinan anda akan mula terabur apabila membaca penjelasan saya selepas ini, kerana asas-asasnya telah saya susun lebih awal di sana.
 
Namun jika anda tetap tidak mahu membacanya dan terus terpengaruh dengan tajuk “Melaka”, maka bertadabburlah sendiri, buatlah analisis linguistik yang baharu sendiri dan bertazakkurlah sendiri mengikut langkah-langkah yang telah saya kongsikan di sini. Setiap perkataan perlu anda semak sendiri dengan kaedah tafsir al-Quran bil al-Quran.
Di bawah ini saya sertakan pautannya.
 

Palestine Telah Terkeluar Daripada Garisan Mashriq

Setelah saya meneliti puluhan ayat berkaitan mashriq dalam bentuk tunggal, mashriqayn dalam bentuk dual dan mashariq dalam bentuk jamak, lalu menganalisis setiap perkataan dengan teliti serta menilai sudut geografinya menggunakan kaedah moden, saya mendapati bahawa Palestine telah terkeluar daripada garisan mashriq.
 
Apa maksudnya?
 
Maksudnya, kiblat Yahudi yang selama ini dipercayai sebagai kiblat yang pernah dihadap oleh Nabi SAW itu sebenarnya tidak pernah berada dalam lingkungan mashriq.
 
Maka, timbul satu persoalan yang sangat besar. Bagaimana sebuah kota yang matahari tidak pernah tegak di atasnya boleh dikaitkan dengan konsep mashriq?
 
Palestine ialah wilayah empat musim. Anda perlu faham satu asas penting. Kawasan empat musim tidak mengalami keadaan matahari tegak di atas kepala sebagaimana yang berlaku di wilayah-wilayah tertentu antara dua garis besar peredaran matahari.
 
Jika matahari tidak pernah tegak di atasnya, maka atas asas apa ia mahu diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada mashriq?
 
Daripada situ saya mula memahami bahawa kaum Yahudi tidak mengikut kiblat Bani Israel yang benar-benar beriman kepada Allah dan mengikuti ajaran Musa.
 
Saya berharap pada tahap ini anda sudah mula faham sejarahnya. Ini bukan soal tafsiran yang rumit pun. Ini cuma pembacaan yang asas. Namun begitu, ia tetap menuntut kerajinan, ketelitian dan kesanggupan untuk memerhati satu per satu tanpa terburu-buru.

Keputusan Paling Berat Dalam Kajian Mashriq

Membuat keputusan untuk mengatakan bahawa Palestine bukan berada dalam lingkungan mashriq bukan perkara yang mudah, wahai sahabat.
Bukan mudah untuk saya menyebutnya kepada orang lain. Bahkan untuk meyakinkan diri saya sendiri pun amat sukar, apatah lagi saya ini jenis yang cenderung menganalisis, mempersoal, menyemak dan tidak mudah menerima sesuatu hanya kerana ia sudah lama diulang-ulang.
 
Sebab itu saya tidak berhenti di situ.
 
Saya masuk pula meneliti ayat-ayat al-Quran berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj. Saya kumpulkan hadis-hadis berkaitannya. Saya susun semula keseluruhan jalan ceritanya. Saya pecahkan satu demi satu peristiwa yang berlaku. Saya analisis lebih daripada 80 event dalam rangkaian Israk dan Mikraj.
 
Semakin saya semak, semakin banyak perkara mula kelihatan.
 
Namun di tengah-tengah semua itu, muncul satu persoalan yang sangat mengganggu saya.
 
Anehnya...
 
Di mana sebenarnya Masjidil Aqsa?

Bagaimana Mengenali Masjidil Aqsa Dari Dalam Al-Quran

Satu-satunya Masjidil Aqsa yang disebut dalam al-Quran hanya terdapat dalam Surah al-Isra’. Perlu juga diingat bahawa lafaz Baitul Maqdis tidak pernah disebut secara literal dalam al-Quran. Maka persoalannya sekarang ialah apakah ciri-ciri yang Allah sendiri berikan untuk kita mengenali Masjidil Aqsa itu. Al Quran kan pembuka kebenaran dan pembatal kebathilan. Aqsa ini bermaksud yang paling jauh atau yang terjauh. Namun sejauh mana sebenarnya maksud “aqsa” yang disebut dalam ayat ini?
 
Jika sahabat semua mahu tahu, Jazirah Arab pada zaman itu tidak dibahagikan dengan sempadan negara moden seperti hari ini. Dalam lisan Nabi SAW, kawasan itu disebut melalui tiga zon besar, iaitu Syam di utara, Yaman di selatan dan Najd di tengah. Saya tidak sempat menghuraikan semuanya di sini. Nanti bolehlah dirujuk hadis tentang doa Nabi, kecuali ke atas Najd. Inilah tiga zon besar yang biasa disebut dalam lisan Nabi SAW dan difahami dalam pertuturan orang Arab ketika itu.
 
Lalu timbul satu persoalan. Mengapa Allah menggunakan kalimah “Aqsa”, iaitu yang paling jauh atau yang terjauh, untuk menandakan masjid itu? Sedangkan bagi orang Arab, kawasan yang lebih dekat dan lebih lazim disebut dalam lingkungan geografi mereka ialah Syam. Syam tidak jauh kerana ia dalam jazirah dan lokasi perdagangan. Maka saya mula menyelidik dengan lebih dalam ciri-ciri Masjidil Aqsa dalam al-Quran.
Dalam ayat yang sama, Surah al-Isra’ ayat 1, Allah juga menjelaskan satu ciri penting tentang masjid itu, iaitu allazhi barakna hawlahu (الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ). Saya bertemu lagi dengan istilah ini lalu mula menelitinya dengan lebih serius.
 
Barakna hawlahu bermaksud “yang Kami berkati sekelilingnya”. Lalu saya menyemak semula makna barakna dalam al-Quran. Ratusan ayat saya teliti untuk memastikan setiap perkataan difahami secara konsisten dengan cara Allah sendiri menggunakannya dalam al-Quran. Saya juga meneliti tafsiran para mufassir terdahulu. Semua yang masyhur saya semak.

Anda tahu apa yang saya temui?

Pada pandangan saya, takrif yang diwariskan kepada kita itu perlu dinilai semula. Bukan kerana para ulama muktabar itu kecil pada mata saya, tetapi kerana kemungkinan pemerhatian mereka sangat dipengaruhi oleh lingkungan geografi yang mereka diami. Kita menyanjung mereka, tetapi menyanjung tidak bererti menutup ruang untuk menilai semula batas pemerhatian mereka.
 
Saya semak biodata mereka, sejarah mereka dan karya-karya mereka. Saya melihat satu pola yang menarik. Ramai ulama terdahulu yang kita kasihi hidup, bergerak dan membuat pemerhatian alam dalam lingkungan utama Syam, Jazirah Arab, Iraq, Syria dan Parsi. Maksudnya, pemerhatian geografi mereka banyak tertumpu pada hemisfera utara dan zon sederhana.
 
Setakat semakan saya, saya tidak menemui rekod yang menunjukkan mereka membuat pengembaraan, pemerhatian langsung, atau pengalaman hidup di kawasan tropika, kawasan khatulistiwa dan hemisfera selatan, kutub utara atau kutub selatan.

Apa kesannya?

Kita perlu memahami bahawa musim di hemisfera utara dan hemisfera selatan berlaku secara berlawanan. Apabila hemisfera utara mengalami musim panas, hemisfera selatan sedang melalui musim sejuk. Apabila hemisfera selatan mengalami musim panas, hemisfera utara pula sedang melalui musim sejuk. Perbezaan ini sangat penting kerana pemerhatian terhadap matahari, arah terbitnya, panjang siang dan malam, serta perubahan musim sepanjang tahun sangat dipengaruhi oleh kedudukan geografi.
 
Dalam peredaran tahunan matahari, ada dua titik penting yang mesti difahami, iaitu solstis dan ekuinoks. Solstis ialah dua titik ekstrem tahunan apabila matahari mencapai kedudukan paling utara dan paling selatan dalam lintasannya. Ekuinoks pula ialah dua titik pertengahan apabila siang dan malam berada dalam keadaan hampir seimbang. Tanpa memahami empat titik besar ini, seseorang mudah menyempitkan perbincangan arah terbit matahari kepada kerangka yang terlalu ringkas.
 
Dua artikel ini mungkin akan banyak membantu anda.
 
Mengenal Mashriq Dari Dalam Al-Quran
 
Apa Yang Ada Antara Mashriq dengan Maghrib adalah Kiblat
 

Had Pemerhatian Geografi Dalam Tafsiran Terdahulu

Pada pandangan saya, sebahagian kupasan mufassir terdahulu terhadap ayat-ayat berkaitan matahari, arah terbit dan musim banyak bergerak dalam lingkungan pengalaman geografi hemisfera utara. Ramai daripada mereka hidup, mengembara dan membuat pemerhatian alam di kawasan utara yang jauh dari khatulistiwa, dalam zon sederhana, sekitar Syam, Iraq, Parsi. Mekah, Madinah dan Jazirah Arab. Kawasan-kawasan ini berada jauh di utara berbanding kawasan tropika, malah sebahagian besarnya berada sekitar atau di atas Garisan Sartan. Oleh sebab itu, pengalaman mereka terhadap matahari banyak dibentuk oleh kitaran musim zon utara.
 
Apa yang saya cuba lakukan di sini bukanlah mencipta fahaman baru, bukan juga mentafsir al-Quran sesuka hati. Apa yang saya sedang usahakan ialah menjelaskan had pemerhatian alam yang mengelilingi huraian para ulama terdahulu. Mereka telah berjasa besar kepada umat Islam semua dan kita menumpang sangat banyak ilmu daripada mereka. Namun mereka juga hidup dalam lingkungan geografi tertentu, dengan pengalaman langit, musim dan arah matahari yang terikat pada kawasan mereka. Maka antara jasa dan budi generasi kemudian ialah membantu menjelaskan bagi pihak mereka sendiri setakat mana had pemerhatian itu berlaku, supaya kita dapat memahami semula huraian mereka dengan lebih tepat, lebih adil dan lebih lengkap.
 
Dari sudut inilah saya melihat mengapa sebahagian tafsiran terhadap mashriqayn lebih mudah difahami dalam kerangka dua titik ekstrem matahari yang dikaitkan dengan musim panas dan musim sejuk. Huraian itu ada asasnya, tetapi belum tentu cukup lengkap untuk mewakili keseluruhan pengalaman bumi, terutamanya jika dibandingkan dengan kawasan tropika dan khatulistiwa yang mempunyai corak terbit matahari, panjang siang dan perubahan musim yang berbeza.
 
Begitu juga dalam kisah Zulqarnain. Saya melihat bahawa para ulama terdahulu telah menghuraikan ayat-ayat itu dengan alat ilmu yang sampai kepada mereka pada zaman tersebut. Mereka menggunakan bahasa, riwayat dan pemerhatian geografi yang tersedia.
 
Namun setakat semakan saya, saya belum menemukan bukti yang menunjukkan adanya pemerhatian lapangan yang luas hingga ke kawasan tropika, khatulistiwa dan hujung tanah besar di sebelah timur seperti Asia Tenggara. Jika pemerhatian alam tertumpu pada hemisfera utara dan zon sederhana, maka beberapa kupasan berkaitan arah terbit matahari sudah tentu akan kekal dalam lingkungan yang lebih terhad.
 
Dari sinilah saya melihat kemungkinan bahawa frasa barakna hawlahu (بَارَكْنَا حَوْلَهُ) telah dihuraikan secara terlalu umum. Jika barakna hawlahu difahami secara longgar, maka frasa lain yang berkait dengannya, termasuk barakna fiha (بَارَكْنَا فِيهَا), juga berisiko dihuraikan secara longgar.
 
Pada bacaan saya, ada kemungkinan barakna hawlahu merujuk kepada lingkungan luar yang mengelilingi kawasan teras tertentu, manakala barakna fiha merujuk kepada kawasan dalaman yang berada di dalam lingkungan tersebut. Dengan kata lain, al-Quran mungkin sedang membezakan antara perimeter luar dan perimeter dalam bagi bumi yang diberkati. Namun perkara ini mesti diuji dengan himpunan ayat-ayat al-Quran secara menyeluruh, bukan dengan satu dua ayat yang dipetik secara terpisah.

Nampak macam susah kan?

Itulah kesusahan yang dialami para ulamak terdahulu agar kita dapat mewarisi lalu memperkayakan lagi khazanah ilmu mereka. Sebab itu semua link yang saya berikan perlu benar-benar dibaca.
 
Semua ayat yang saya berikan dan semua ayat yang terkandung di dalam link tersebut, perlu dianalisis secara linguistik dengan terperinci berdasarkan bagaimana Allah sendiri menggunakan perkataan-perkataan itu di dalam al-Quran. Jangan skip. Jangan malas membuat semakan. Jangan sekadar membaca sepintas lalu kemudian terus mahu hasil akhirnya sahaja.
 
Jalan ini bukan untuk orang yang hanya mahu jawapan segera tanpa usaha. Kita bukan sedang memburu ilmu untuk berasa tahu, tetapi kita sedang mencari rahmat Allah melalui kesungguhan kita memahami kalam-Nya. Ilmu yang tidak membawa kepada manfaat, peningkatan adab dan petunjuk jalan yang lurus hanya akan menjadi beban hijab ke atas diri sendiri sahaja.

Penemuan Baharu Yang Tidak Boleh Dibaca Secara Gopoh

Seterusnya di bawah ini, apa yang akan saya tuliskan selepas ini ialah penemuan baharu yang saya capai melalui penelitian saya sendiri. Ia tidak pernah didedahkan secara terperinci lagi kep page buat masa ini.
 
Maka anda tidak boleh datang ke bahagian di bawah ini dengan cara lama, iaitu copy dan terus bertanya kepada AI, terus mencari potongan tafsiran sedia ada, kemudian merasa seolah-olah anda sudah mempunyai jawapan balas kepada semuanya umpama anda sudah tahu sebelum anda tahu. Silakan terima atau tolak, itu hak anda. Silakan fikir atau berpaling pergi, itu juga hak anda. Saya tidak memaksa sesiapa untuk setuju. Saya cuma menulis apa yang saya temui setakat mana Allah izinkan saya melihatnya.
 
Sudah tentu saya mempunyai sebab bagi setiap perkara yang saya tulis dan saya juga mempunyai justifikasi saya sendiri yang saya bangunkan melalui analisis yang terperinci. Namun ini bukan tempatnya untuk saya membuka semuanya sekaligus. Setiap perkara ada susunan dan setiap hujah ada masa yang sesuai. Jika semua dibuka serentak, pembaca yang tidak membina tapak dari awal hanya akan melihat hasil tanpa memahami jalan untuk sampai kepadanya.
 
Saya kongsikan juga sebahagiannya di sini sekadar untuk makluman. Bukan untuk menimbulkan rasa kagum. Bukan juga untuk membuka ruang kepada orang yang suka memperlekeh tanpa usul periksa.
 
Saya kongsikan supaya anda melihat sendiri bahawa al-Quran itu benar-benar mempunyai fungsi yang jauh lebih besar daripada apa yang sering kita sangka. Al-Quran bukan sekadar kitab yang dibaca untuk mengambil berkat lafaz. Al-Quran ialah mekanisma pembenar terhadap yang salah, penghurai terhadap yang kusut dan penjelas terhadap yang kabur. Hadis itu datangnya dari al-Quran dan tidak akan pernah bertentangan.
 
Apabila manusia kembali meneliti kalam Allah dengan penuh sabar, banyak perkara yang selama ini bercampur, longgar dan keliru akan mula terurai satu persatu. Saya sudah buat dan marilah lakukan bersama-sama saya membantu para ulamak terdahulu.

Dunia Tropika ke Bayangan Jannah

Saya ialah orang yang membesar di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan jajaran gunung berapi, bebas gempa bumi, kawasan jajaran batu kuartza yang terpanjang di dunia, kawasan di bawah bayu yang pada kebiasaannya lebih selamat daripada ribut besar, kawasan yang lama dikenali dengan kehijauan alamnya, kekayaan sungainya, kepelbagaian hasil bumi dan maritim serta pelbagai tanda yang sangat berbeza daripada dunia kering dan gurun yang banyak menjadi latar pemerhatian ulamak terdahulu.
 
Bagi saya, ini penting kerana gambaran jannah dalam jiwa manusia tidak pernah dibina atas bayangan gurun yang kering, tetapi atas bayangan pohon yang hijau, air yang mengalir, buah-buahan, wangian dan ketinggian alam yang hidup menghiasinya.
 
Di sini ada pisang, ada lebah, ada buah-buahan bersabut, ada sungai yang banyak, ada buah ara, ada buah bidara, ada kasturi, ada gaharu dan pelbagai lagi ciri alam yang pada pandangan saya sangat kuat mengingatkan manusia kepada gambaran jannah. Yang tidak ada di sini ialah anggur, tin tapi ada ara dan zaitun sebagai tanaman dominan seperti yang biasa dikaitkan dengan dunia sebelah Arab sana. Sebab itu saya memandang tempat ini bukan sebagai ruang alam biasa, tetapi sebagai cerminan yang sangat penting untuk memahami semula bagaimana Allah membentangkan jannah sebagai tanda-tanda-Nya di atas bumi.
 
Apa yang sering bermain dalam fikiran saya ialah, apakah yang akan terjadi jika para ulama terdahulu sampai ke kawasan seperti ini? Apa akan jadi jika mereka melihat sendiri jajaran gunungnya, kehijauan hutannya, banyaknya sungainya, luasnya tanda tropika dan khatulistiwa, wangian kasturi dan gaharu dua wangian yang pada jiwa saya sangat kuat mengingatkan kepada bauan syurga, serta pelbagai tinggalan umat terdahulu seperti jutaan tuyere dan pelbagai tanda yang Allah hamparkan di sini.
 
Saya percaya sebahagian huraian mereka akan berubah atau sekurang-kurangnya menjadi jauh lebih terperinci. Jika para ulama kita dahulu sempat mengembara hingga ke hemisfera selatan, ke kawasan tropika dan ke wilayah khatulistiwa, tentu sebahagian kupasan mereka terhadap bumi, musim, tumbuhan, arah, navigasi dan tanda-tanda alam akan menjadi lebih halus, lebih luas dan lebih lengkap.

Menyambung Amanah Ilmu Para Ulama

Apa yang telah berlalu tetap telah berlalu. Kita pula hidup pada zaman ini. Maka kita tidak boleh terus bergantung hanya pada bayang-bayang ulama terdahulu tanpa menyambung amanah ilmu yang mereka tinggalkan. Ulama ialah pewaris nabi. Maka kita mewarisi apa daripada mereka? Kita mewarisi ilmu mereka, amanah mereka dan tanggungjawab untuk menyambung kerja memahami ayat-ayat Allah setakat mana yang Allah bukakan kepada kita pada zaman kita.
 
Pada ketika itulah saya merasakan di atas bahu saya ada satu beban yang besar, iaitu beban untuk membantu para ulama terdahulu memperincikan semula had pemerhatian yang mengelilingi huraian mereka. Bukan untuk membatalkan mereka. Bukan untuk merendahkan mereka. Tetapi untuk menyambung, menambah baik, memperinci dan membudayakan semula tradisi tadabbur lalu bertazakkur kepada Allah, rabb saya dan rabb anda.
 
Takkan kita mahu selamanya tertinggal di belakang orang kafir yang telah bergerak maju di Eropah, sedangkan kemunduran umat Islam ini juga sebahagiannya berpunca daripada kegagalan menyambung amanah ilmu selepas dunia Islam dilanggar bencana besar sejarah? Kejatuhan Iraq kepada Mongol, kebangkitan Renaissance Eropah dan kemaraan kolonialisme telah menguatkan mereka pada satu sisi, sambil melemahkan umat Islam pada sisi yang lain. Mereka maju dalam kajian bumi, langit, sejarah, pelayaran, pemetaan dan pemerhatian alam.
 
Umat Islam pula makin lama makin dibiasakan untuk sekadar mewarisi hasil tanpa keberanian menyambung kerja kerana kononnya terikat dengan disiplin dan metodologi yang kita sendiri cipta. Sedangkan amanah ilmu tidak pernah berhenti pada kadar memuji nama besar orang terdahulu. Amanah ilmu menuntut kita menyambung kerja itu dengan adab, dengan usaha dan dengan keberanian untuk melihat semula alam ciptaan Allah dengan kaedah yang baru asalkan tidak pernah melanggar Al Quran dan sunnah.
 
Darihal itulah saya menulis artikel-artikel berkaitan Masjidil Aqsa dengan tajuk yang kelihatan sangat kontroversi. Saya sengaja lakukan begitu supaya perhatian sahabat semua dapat digerakkan semula kepada satu tugas yang lebih besar. Tugas itu ialah membantu memperincikan semula asas-asas yang telah kita warisi. Kita juga membantu para ulama terdahulu menjelaskan bagi pihak mereka sendiri setakat mana had pemerhatian mereka.
 
Kita juga membantu generasi selepas kita supaya mereka tidak hanya mewarisi keputusan, tetapi juga mewarisi budaya dan semangat untuk menyemak, meneliti dan menyambung kajian lebih jauh. Perkara-perkara besar pada masa depan tidak akan pernah teguh jika konsep-konsep asas dibiarkan longgar sedangkan ilmu sains dan teknologi sudah berevolusi. Masa depan khilafah manhaj ala nubuwwah hanya boleh dibina di atas asas yang benar-benar diperketat, diperjelas dan diuji semula dengan cara baru yang benar.

Pencarian Dengan Menyusun Semula Jejak Musa

Setakat ini saya telah menggariskan satu kaedah dan mengenal pasti belasan ciri untuk menjejak apa yang saya fahami sebagai masyariqal ardh, yang di dalam lingkungannya terdapat barakna hawlahu, yang di dalamnya pula terdapat barakna fiha dan yang di dalam susunan itu juga terletaknya kiblat Bani Israel yang asal, Masjidil Aqsa.
 
Saya tahu kenyataan ini besar. Namun ia bukan lahir daripada andaian tidak berasas. Ia juga bukan juga hasil copy and paste daripada mana-mana tafsiran yang sedia ada. Ia lahir daripada rangka semakan yang panjang terhadap ayat-ayat al-Quran, dengan meneliti bagaimana Allah sendiri menggunakan perkataan-perkataan tersebut dalam keseluruhan al-Quran.
 
Sebab itu saya katakan, jika hendak diletakkan dalam mana-mana kerangka, apa yang saya lakukan lebih hampir kepada usaha membaca Al-Quran dengan kaedah tafsir Quran bil-Quran.
 
Bagi sesiapa yang benar-benar mahu mencari dan mengkaji kisah para nabi dalam al-Quran, saya percaya kisah Nabi Musa naik ke bukit tidak berlaku hanya pada satu tempat sahaja. Pada bacaan saya, ia melibatkan tiga lokasi yang berbeza.
.
Bukit-bukit dalam Kisah Nabi Musa
.
Saya tahu ini juga kedengaran janggal. Namun saya tidak meminta anda menerimanya secara membuta tuli. Saya cuma meminta anda membaca kisah Nabi Musa dengan sangat teliti, perkataan demi perkataan, termasuk teks Arabnya dan jangan tergesa-gesa mencampurkan semua peristiwa ke dalam satu latar yang sama hanya kerana kita telah terbiasa begitu.
 
Dalam proses itulah saya menemui gambaran sebuah gunung atau bukit tunggal yang boleh dilihat dari jauh dan di sisi bukit itu ada api. Kemudian saya menyemak semula kisah berkaitan dalam Taurat, lalu saya bertemu pula dengan kisah tentang Gunung Moriah.
 
Di situlah saya mula berdepan dengan sesuatu yang benar-benar menggoncang fikiran saya sendiri. Apa yang saya temui seolah-olah menunjukkan bahawa gunung tersebut berada dalam lingkungan barakna fiha. Pada ketika itu saya sendiri menjadi keliru. Mana mungkin Nabi Musa sampai sejauh itu ke timur, apatah lagi jika dibawa sampai ke Asia Tenggara.
 
Dalam hati saya sempat lah terlintas satu nama, tetapi saya menolaknya sendiri. Saya tidak mahu mendahului dalil. Saya tidak mahu memaksa sesuatu semata-mata kerana ada persamaan yang kelihatan menarik.
 
Lalu saya undur semula dan menyemak dari awal kisah Nabi Musa selepas baginda melarikan diri daripada Firaun, iaitu pada fasa sebelum baginda memiliki tongkat sebagai tanda besar. Nabi Musa pergi bertemu Nabi Syuaib, bernikah dengan anak baginda yang disebut sebagai Safura dan tinggal selama tempoh yang panjang. Pada mulanya saya juga mengandaikan latar itu hanya berlegar sekitar Mesir atau Iraq. Namun semakin saya semak, semakin saya melihat bahawa andaian awal saya sendiri tidak memadai.

Apabila Jejak Firaun Membuka Persoalan Yang Lebih Besar

Kemudian saya bertemu pula dengan satu lagi keganjilan dalam al-Quran, iaitu ayat-ayat yang menggambarkan Bani Israel mewarisi apa yang ditinggalkan oleh Firaun, termasuk bangunan, khazanah dan warisan kekuasaan di sebelah mashriq dan maghrib. Apabila saya himpunkan ayat-ayat ini, termasuk yang ada dalam Surah ad-Dukhan dan Surah al-A‘raf, saya mula melihat satu persoalan besar yang selama ini tidak benar-benar dijawab.
 
Kita tahu Firaun sentiasa dikaitkan dengan Mesir dan Afrika. Pada masa yang sama, kisah yang masyhur dalam kepala ramai orang ialah Bani Israel keluar melintasi laut lalu pergi begitu sahaja.
 
Sejarah arus perdana pula tidak benar-benar menunjukkan rekod Bani Israel pernah menguasai binaan-binaan besar Firaun di Mesir. Jadi saya bertanya, apakah sebenarnya yang sedang al-Quran buka kepada kita di sini? Katanya di wariskan kepada Bani Israel tetapi mengapa tidak?
 
Dari situ saya mula menemui satu lagi lapisan, bahawa jalur asal nenek moyang Firaun sendiri mempunyai kaitan dengan kawasan yang saya fahami berada dalam lingkungan barakna hawlahu dan wilayah mashriq. Ini bukan Firaun yang mengejar Musa tetapi Firaun lain dari generasi lebih purba. Dari situlah ayat tentang pewarisan bangunan dan khazanah Firaun mula kelihatan dalam perspektif yang lain. Dari situlah saya bertemu pula dengan istilah Punt dan dari situ juga timbul jejak bahasa serta bunyi yang membawa saya merenung perkataan Pharaoh dan perahu.
 
Saya tahu bahagian ini sangat sensitif. Sebab itu saya tidak bentangkan semuanya secara terperinci di sini. Saya hanya sedang menunjukkan kepada anda bahawa rangka ini bukan dibina secara semberono, tetapi bergerak dari ayat ke ayat, dari istilah ke istilah dan dari simpulan ke simpulan yang lain.
 
Saya sudah kumpulkan penulisan penting saya dalam post ini

Penemuan Mula Menggoncang Diri Sendiri

Sahabat sekalian, jika anda berada di tempat saya dan Rabb telah membuka satu demi satu simpulan ayat dengan cara begitu, apa agaknya yang anda akan rasa?
 
Saya sendiri ada ketika tertanya-tanya dalam hati, adakah aku ini sudah hilang pedoman dan sesat ni?
 
Namun pada masa yang sama saya tahu bahawa apabila Rabb mahu memperlihatkan sesuatu, Dia mampu membukakannya dengan sangat mudah. Tugas kita hanyalah neutral ketika melihat, sabar ketika meneliti dan tidak melampaui apa yang belum dibuktikan.

Bila Kisah Nuh, Firaun dan Musa Mula Bercantum

Saya menemui pula satu rangka lain dalam al-Quran, bahawa Bani Israel mempunyai kaitan langsung dengan keturunan Nuh yang diselamatkan di atas bahtera itu. Dari situ saya mula melihat pergerakan manusia purba selepas banjir besar bukan sebagai kisah yang terputus-putus, tetapi sebagai rangka penghijrahan besar yang kemudian melahirkan jalur-jalur peradaban moden yang kita pelajari.
 
Dalam rangka itu juga saya mula memahami kemungkinan bahawa nenek moyang Firaun telah bergerak jauh hingga ke Jazirah Arab dan Afrika. Dari sinilah banyak ayat yang selama ini nampak terpisah mula bercantum semula.
 
Di situ juga saya mula benar-benar memahami maksud pendekatan yang saya sebut sebagai anbiya’-centric. Iaitu apabila kisah para nabi di dalam al-Quran dijadikan paksi kronologi, banyak rahsia besar akan mula terdedah satu persatu.
 
Sebagai contoh, saya menemukan dalil-dalil yang pada bacaan saya mengaitkan Nabi Syuaib dan kaum Madyan dengan lingkungan barakna hawlahu. Dari situ pula saya mula memahami mengapa tempoh Nabi Musa tinggal selepas melarikan diri itu sangat penting. Ia bukan sekadar tempoh bersembunyi atau berkeluarga, tetapi satu fasa persiapan yang sangat besar.

Fasa Persiapan Musa Sebelum Konfrontasi Dengan Firaun

Kemudian apabila saya meneliti perjalanan balik ke Mesir Nabi Musa bersama isteri dan keluarganya, saya sedar bahawa kita tidak boleh melompat terus kepada kisah api, gunung, dan lembah Tuwa tanpa memberi perhatian kepada satu tempoh yang sangat besar sebelumnya, iaitu perjanjian sepuluh tahun Nabi Musa dengan Nabi Syuaib.
 
Sepuluh tahun itu bukan sekadar tempoh bekerja atau tempoh menumpang hidup. Itu ialah tempoh pembentukan yang panjang, tempoh perpindahan dunia Musa daripada pelarian kepada persiapan, daripada ketakutan kepada kematangan dan daripada kehidupan lama sebagai putera angkat raja kepada fasa kerasulan yang akan meledak besar selepas itu. Sebab itu saya mula memahami semula pertemuan dengan api, gunung dan lembah Tuwa yang disucikan dalam satu rangka yang jauh lebih besar daripada gambaran ringkas yang biasa kita pelajari.
 
Daripada bacaan itulah saya mula melihat semula bagaimana Nabi Musa akhirnya kembali berdepan dengan Firaun dan bagaimana baginda tampil dengan kuasa yang mengatasi tukang-tukang sihir. Saya tahu orang akan cepat menyebut mukjizat dan memang benar ia mukjizat. Namun saya juga melihat bahawa al-Quran menuntut kita memahami susunan perjalanan baginda dengan lebih terperinci, termasuk tempat, fasa, pengalaman dan apa yang Allah didik pada diri baginda sebelum konfrontasi besar itu berlaku.

Jejak Bani Israel Yang Hilang

Selepas itu, apabila saya meneliti pula fasa Nabi Musa membawa dua belas suku, saya mula melihat kemungkinan bahawa sejarah perpecahan dan kehilangan itu juga perlu dibaca semula dengan lebih teliti. Pada bacaan saya, yang benar-benar sampai tidak semestinya semua dalam bentuk yang selalu dibayangkan orang. Di sinilah saya mula meneliti semula persoalan tiga suku dan sembilan suku, Yahudi dan Bani Israel, serta jejak 9 Lost Tribes yang selama ini dibincangkan secara terpisah daripada ayat-ayat al-Quran.
 
Kemudian saya meneliti pula adat, struktur masyarakat dan jejak budaya di alam Melayu. Apabila saya melihat beberapa persamaan tertentu, termasuk yang dikaitkan dengan adat perpatih di Negeri Sembilan, saya sendiri terduduk buat seketika. Bukan kerana saya mahu cepat membuat keputusan, tetapi kerana terlalu banyak simpulan mula menunjuk ke arah yang tidak pernah saya jangka. Ia mirip adat Yahudi.
 
Dari situ saya mula merenung semula perkataan mulk, malaka dan mulukan dalam al-Quran dan tersangat hampir dengan Melaka dari segi makna dan sejarah kedaulatannya. Lalu saya melihat sama ada semuanya mempunyai kedudukan tertentu dalam rangka janji Allah, kedaulatan dan sejarah Bani Israel yang sebenar. Barulah saya terjumpa ayat dalam al-Quran akan janji Allah takkan mulukan (kedaulatan bani Israel) hilang di dunia.
 
Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak melemparkan semua ini sebagai keputusan akhir dalam artikel ini. Saya sedang membuka gagasan pemahaman awal saya sendiri, bukan untuk menutup penulisan kepada anda.

Dari Baitul Maqdis ke Aqsa Bani Israel Yang Asal

 

Maha Suci Allah yang membuka sedikit demi sedikit kefahaman seperti ini. Pada saat-saat tertentu saya benar-benar terduduk memikirkan betapa selama ini diri ini pun banyak tidak nampak. Dari situlah timbul azam dalam diri saya untuk membantu para ulama terdahulu menyambung semula beberapa kupasan yang pada pandangan saya boleh diperincikan lagi dengan kaedah membaca al-Quran bil-Quran bersama teknologi moden.
 
Maka saya menjadi semakin yakin bahawa peristiwa Nabi Muhammad SAW merenung ke langit itu ada sebabnya. Rasulullah SAW menggambarkan dengan tepat rupa Baitul Maqdis yang baginda lihat, namun pada masa yang sama baginda tidak menyukai kiblat Yahudi.
 
Dari situ saya mula melihat satu kemungkinan yang sangat besar, iaitu bahawa baginda benar-benar telah sampai kepada Masjid yang paling jauh, iaitu Aqsa Bani Israel yang asal, bukannya Baitul Maqdis Yahudi di Palestine. Kerana itulah Allah menggambarkan semula dalam peristiwa berbeza rupa Baitul Maqdis kerana Nabi sendiri telah pergi ke Aqsa, bukan Baitul Maqdis.
 
Sebab itulah saya menggunakan tajuk yang sangat kontroversi pada awal tadi, “Nabi Mikraj Dari Malaya Bukan Dari Palestine”. Tajuk itu bukan ditulis secara semberono dan bukan juga untuk bermain sensasi dan kontroversi.
 
Tajuk itu lahir daripada satu rangka kefahaman yang sedang saya himpunkan sedikit demi sedikit, melalui ayat-ayat al-Quran, jejak para nabi, kajian arah kiblat dan susunan bumi yang diberkati.
 
Saya tahu skop saya tersangat besar. Kajian saya tidak pernah berhenti. Rabb sentiasa mengajar ilmu dari sisi-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Al-Quran benar-benar luar biasa.
 
Semakin saya mendalami hadis-hadis Israk dan Mikraj, semakin saya melihat bahawa struktur alam, struktur wahyu, struktur kiblat dan struktur sejarah para nabi semuanya saling berkait. Sebab itu saya teruskan semakan ini tanpa henti. Terima kasih kepada yang sentiasa menyokong.

Keganjilan Dalam Israk dan Mikraj Yang Tidak Boleh Diabaikan

Ada beberapa perkara dalam kisah Israk dan Mikraj yang pada pandangan saya sangat ganjil, tetapi dalam masa yang sama sangat menarik. Antaranya ialah bagaimana Nabi Muhammad SAW dapat melihat seluruh bumi dengan terang pada waktu malam, sedangkan jika peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab, maka ketika itu bulan berada pada fasa hujung yang sangat gelap di bawah bumi, bukanya malam bercahaya yang mudah menjelaskan penglihatan terang tersebut. Dari sini saya mula melihat bahawa ada sesuatu yang lebih besar dalam struktur perjalanan itu yang tidak boleh dihuraikan secara biasa.
 
Dari sini saya mula melihat bahawa ada sesuatu yang lebih besar dalam struktur Israk itu yang tidak boleh dihuraikan secara biasa.
 
Dari situ saya mula tertanya-tanya, adakah tempat yang selama ini difahami sebagai Baitul Maqdis benar-benar sesuai dengan semua peristiwa yang berlaku dalam kisah Israk dan Mikraj. Bila saya semak satu persatu, saya dapati ada beberapa bahagian yang tidak mudah dijelaskan jika kita hanya ikut gambaran yang biasa yang diwarisi turun temurun.
 
Lalu saya cuba memplotkan setakat kemampuan saya semua lebih 80 event Israk dan mikraj ke atas peta. Saya himpunkan lokasi-lokasi, arah pergerakan dan susunan peristiwa yang disebut dalam riwayat. Dari situlah saya mula melihat satu pola. Banyak kejadian seolah-olah berkait dengan arah Mesir dan arah barat bumi. Dari situlah saya mula memahami semula mengapa Allah menyebut siang dan malam dalam susunan yang sangat besar.
 
Pada bacaan saya, Buraq bergerak ke arah maghrib dan sampai ke mashriq. Untuk senang faham, baginda dari Mekah ke Barat Jazirah Arab, Mesir dan ke barat bumi untuk tiba ke timur bumi. Barulah keseluruhan bumi menjadi jelas penuh bercahaya.
 
Dalam rangka inilah saya mula melihat kemungkinan bahawa Rasulullah SAW bersama Buraq seolah-olah mendahului perjalanan siang. Sebab itu banyak perkara yang pada bacaan biasa kelihatan mustahil, mula tersusun semula dalam satu bentuk yang lain. Saya tahu kenyataan ini bukan senang untuk diterima. Sebab itu saya tidak meminta sesiapa menerimanya secara gopoh-gapah. Saya hanya menunjukkan kepada anda bahawa apabila semua jejak ini dihimpunkan, ada pola yang tidak boleh lagi dipandang ringan dan jangan lagi ambil mudah.

Jejak Israk Bertemu Jejak Turunnya Adam

Adakah saya berhenti di situ? Sudah tentu Tidak. Saya terus semak lebih dalam lagi sehingga saya faham bahawa kisah jamuan arak dan susu kepada Nabi Muhammad SAW bukan kejadian sampingan. Baginda Nabi memilih susu. Itu penting. Ini bukan tafsiran tetapi ini kejadian penunjuk yang sangat jelas. Peristiwa ini menunjukkan bahawa baginda sedang melalui satu lokasi yang sangat rapat dengan fitrah asal manusia, sangat rapat dengan jejak jannah, dan sangat rapat dengan sejarah awal Adam dan Hawa.
 
Sebab itulah selepas peristiwa itu, barulah saya melihat dengan lebih jelas mengapa Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Adam di langit pertama. Dari situlah juga saya mula menemui bukti-bukti daripada ayat al-Quran bahawa tempat Israk Nabi Muhammad SAW mempunyai kaitan langsung dengan tempat turunnya Nabi Adam AS ke bumi dahulu. Malah pada rangka ayat yang saya himpunkan, kedua-duanya sedang menunjuk kepada tempat yang sama dan pintu yang sama. Subhanallah, Alhamdulillah, Astagfirullah. Di situlah saya benar-benar terdiam, terduduk dan istigfar kerana perkara ini sangat menakjubkan.
 
Semakin pengetahuan saya berkembang dengan izin Rabb, semakin bodoh rasanya diri saya sendiri. Semakin saya tahu, semakin saya sedar betapa banyak perkara yang selama ini saya tidak nampak. Dari situ saya bertemu pula dengan ayat-ayat al-Quran yang lain. Lalu saya mula melihat satu kemungkinan yang sangat besar, iaitu bahawa perjalanan Nabi Muhammad SAW bersama Jibril ke langit mempunyai kaitan dengan jalan yang sama yang pernah menjadi jalur turunnya Nabi Adam AS ke bumi dahulu. Masya-Allah, Subhanallah. Semua ini ada jejaknya dalam al-Quran, cuma selama ini saya sendiri terhijab daripadanya.
 
Dari sinilah saya mula mengkaji dengan lebih mendalam tentang barakna fiha yang saya tuliskan dalam artikel. Sebab itulah saya mula memahami dari al-Quran mengapa Asia Tenggara pada pandangan saya mempunyai begitu banyak ciri yang sangat hampir dengan gambaran sebuah jannah. Bukan kerana saya mahu bermain dengan romantika tempat atau sentimen kewilayahan. Tetapi kerana terlalu banyak tanda alam, tanda tumbuhan, tanda air dan tanda kehidupan yang berkumpul di sini dalam satu bentuk yang sangat luar biasa. Dari situlah muncul dalam diri saya satu pertanyaan besar, adakah wilayah ini merupakan kawasan bumi yang paling hampir sifatnya dengan gambaran jannah yang pernah dihamparkan kepada manusia.

Di Sebalik Tajuk Yang Mengundang Cercaan

Banyak lagi yang saya mahu ceritakan. Namun bukan semua dalil boleh dihimpunkan dalam satu tulisan begini. Setiap perkara ada tempatnya, ada susunannya dan ada masa yang sesuai untuk saya huraikan dengan lebih panjang. Kalau semuanya dituang sekaligus dalam satu post, anda bukan sahaja akan penat, bahkan gagal melihat kerangka besar yang sedang saya tonjolkan.
 
Sebab itu, saya jadikan penulisan ini sebagai penjelasan saya terhadap post tersebut, khususnya yang berkaitan dengan empat ayat pertama Surah al-Isra’. Ia bukan datang dengan sangkaan dan claim. Ia wujud bersama kefahaman dan dalil-dalilnya.
 
Tidak apa jika sebahagian besar daripada anda telah kutuk, hina dan cerca tanpa sempat meneliti. Ada yang memanggil saya dengan pelbagai gelaran, palatau, dajjal, ada yang menuduh saya sesat, gila perhatian, mentafsir sendiri, mahu melawan ulama muktabar, mahu menjadi wali dan macam-macam lagi. Saya telan semuanya sambil tersenyum. Nikmat mengetahui ilmu ini jauh lebih indah dan menjadikan lebih dekat dengan para nabi serta wahyu Al Quran.
 
Saya doakan untuk semua agar ruh al-Quran itu Allah curahkan rahmat-Nya tanpa putus-putus ke dalam qalbu anda semua. Sekian penjelasan saya.
 
Jangan sesekali bermusuh dengan apa yang kita belum ketahui kerana apa yang kita ketahui kebanyakannya daripada orang terdahulu yang belum tentu sahih pada masa hadapan.
 
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا
 
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang Allah turunkan, mereka berkata: Bahkan kami mengikuti apa yang kami dapati datuk nenek kami berada di atasnya.
 
Surah al-Baqarah 2:170

Penutup

Kepada follower saya yang benar-benar mencintai al-Quran, jika masih ada lagi yang datang ke post sebelum ini lalu menuduh saya merapu dan sebagainya, anggaplah mereka sedang cuai, Allah sedang uji mereka dan Allah sedang uji anda jua yang sedang melihat. Kadang-kadang tangan mereka bergerak lebih laju daripada akal dan adab mereka. Jika sekelian orang tidak bersetuju pun dengan anda, janganlah bersedih dan khuatir. Ramai orang pegang tidak semestinya benar. Minoriti belum tentu juga salah.
 
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
 
Dan jika engkau mentaati kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.
 
Surah al-An‘am 6:116
Maka bantulah mereka dengan tenang dan sabar. Kongsikan link post ini kepada mereka, bantu saya reply setiap komen mereka dengan memberikan link penjelasan ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberi ruang kepada mereka untuk berfikir, bermuhasabah dan menilai semula diri. Saya juga mendoakan dengan setiap bantuan anda, moga Rabb mengangkat anda satu maqam yang lebih akrab di sisiNya.
 
Al-Quran itu terlalu agung untuk didekati dengan sikap gopoh-gapah. Marilah kita kembali kepada pendekatan anbiya’-centric, kerana di situlah terletak satu asas penting dalam membina khalifah di atas manhaj nubuwwah pada masa akan datang.

Sokongan Kajian

Penulisan ini merupakan kajian eksklusif BAZ yang diterbitkan di laman rasmi:
https://beritaakhirzaman.com

Jika anda mahu bersama menyokong kajian mendalam, analisis linguistik dan kupasan sejarah yang tidak diterbitkan di mana-mana tempat lain, anda boleh memberikan tajaan sukarela melalui pautan berikut:
Klik untuk support kami

Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.

Log masuk ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login
Pendaftaran ahli (percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.