Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis

PENDAPAT BAZ KETIGA: BAITUL MAQDIS DAN AL-MASJID AL-AQSA HANYA SATU DALAM DUNIA

331 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
3 minit 10 saat

Pendapat BAZ Ketiga: Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa Hanya Satu Dalam Dunia

Siri: Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis


Dalam pendapat pertama, saya telah menjelaskan bahawa Baitul Maqdis yang disebut dalam hadis ialah al-Masjid al-Aqsa yang disebut dalam al-Quran.

Dalam pendapat kedua, saya telah menjelaskan bahawa Baitul Maqdis berada dalam medan al-Masjid al-Aqsa, bukan al-Masjid al-Aqsa berada dalam Baitul Maqdis.

Maka, pendapat ketiga ini lebih ringkas, tetapi sangat penting.

Pada sisi BAZ, Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa hanya satu di dunia. Tiada dua dan tiada tiganya.

Ia bukan dua pusat suci yang berbeza. Tidak mungkin satu berada dalam kluster tengah, manakala satu lagi berada dalam kluster Mashriq.


Maksud Saya Apabila Mengatakan Hanya Satu di Dunia

Apabila saya mengatakan Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa hanya satu di dunia, maksudnya begini.

Jika seseorang mengatakan al-Masjid al-Aqsa berada di Palestin, maka Baitul Maqdis juga mesti berada di Palestin.

Jika seseorang mengatakan Baitul Maqdis berada di Palestin, maka al-Masjid al-Aqsa juga mesti berada di Palestin.

Jika BAZ menilai bahawa tempat sebenar itu lebih tepat berada di Kedah, maka kedua-duanya mesti dibaca bersama-sama di Kedah. Tidak boleh salah satunya diletakkan di tempat yang lain.

Maksudnya, tidak boleh satu nama diletakkan di Palestin, manakala satu nama lagi diletakkan di Kedah. Tak boleh.

Tidak boleh al-Masjid al-Aqsa dijadikan satu lokasi, manakala Baitul Maqdis dijadikan lokasi yang lain. Itu pun tak boleh.

Tidak boleh ayat al-Quran dibaca sebagai menunjuk kepada satu tempat, kemudian hadis dibaca sebagai menunjuk kepada tempat yang lain. Tak boleh, kerana kedua-duanya disebut dalam peristiwa Israk yang sama.

Jika ada yang mengatakan pemisahan itu boleh dilakukan, maka itulah pandangan yang saya tolak dan bantah dengan keras.

Al-Quran menyebut medan itu sebagai al-Masjid al-Aqsa.

Hadis pula menyebut pusat suci dalam medan itu sebagai Baitul Maqdis.

Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan sehingga menjadi dua tempat yang berlainan.


Kesilapan yang Saya Mahu Elakkan

Kesilapan besar dalam pengkajian ini berlaku apabila seseorang mula memisahkan semua istilah.

Dia mengatakan al-Masjid al-Aqsa ialah satu tempat.

Baitul Maqdis pula tempat yang lain.

Bāraknā ḥawlahu tempat lain.

Bāraknā fīhā tempat lain.

Arḍ al-Muqaddasah tempat lain.

Ṭuwā tempat lain.

Bukit Ṭūr pula diletakkan di tempat yang lain.

Apa yang saya sebutkan ini memang berlaku dalam realiti. Merata-rata orang mencadangkan lokasi dan mendakwa istilah-istilah tersebut merujuk kepada tempat-tempat tertentu yang berbeza.

Akhirnya, semua istilah itu berpecah-pecah dan diletakkan di banyak tempat yang tidak saling berkaitan.

Kajian saya berbeza.

Saya membawa semua istilah itu supaya bergerak menuju satu tempat yang sama. Saya juga tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap tempat tersebut yang boleh menyebabkan saya bersikap berat sebelah.

Artikel dalam siri ini belum membahaskan semua istilah tersebut secara teknikal. Namun, semua istilah itu, kecuali bukit, telah pun saya bahaskan dalam penulisan berkaitan kisah para nabi.


Mengapa Pendirian Ini Penting?

Pendirian ini penting kerana sebelum kita berbincang tentang lokasi, kita mesti mengetahui terlebih dahulu apakah yang sebenarnya sedang kita cari.

Adakah kita sedang mencari al-Masjid al-Aqsa sahaja?

Adakah kita sedang mencari Baitul Maqdis sahaja?

Atau adakah kita sedang mencari satu medan suci yang disebut oleh al-Quran sebagai al-Masjid al-Aqsa, manakala pusat suci dalam medan itu disebut dalam hadis sebagai Baitul Maqdis?

Pada pandangan BAZ, jawapannya ialah yang ketiga.

Kita sedang mencari satu medan yang sama yang menghimpunkan semua perkara tersebut, bukan beberapa lokasi yang terpisah-pisah.


Penutup

Pendapat ketiga ini bukan bertujuan membuktikan lokasi sebenarnya. Itu merupakan perbahasan yang lain.

Pendapat ini hanya mahu mengunci struktur istilah supaya kedudukannya jelas.

Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa mesti dibaca sebagai merujuk kepada tempat dan medan suci yang sama.

Selepas asas ini dikunci, barulah kita boleh mengemukakan soalan yang seterusnya:

Di manakah sebenarnya tempat itu?

Di Palestin atau di Lembah Bujang?

Itu pula akan dinilai dalam perbahasan yang lain.

Untuk pendapat ketiga ini, pendirian BAZ hanya satu:

Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya hanya merujuk kepada satu tempat di dunia.

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.