Hukuman As Sa'ah Malaysia dan Asia Tenggara

BAHAGIAN 3: LANGIT MENGHANTAR PERINGATAN, BUMI MENYIMPAN AMARAH

April 04, 2025 1492 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
6 minit 55 saat

Bahagian 3: Langit Menghantar Peringatan, Bumi Menyimpan Amarah

Adakah bencana itu hanya kebetulan alam? Atau adakah ia isyarat yang dihantar dari langit dan bumi yang menyimpan amarah lama? Dalam Bahagian 1 dan 2, kita telah melihat bagaimana Kaum Saba’ adalah asal-usul kepada sebahagian bangsa di Nusantara. Mereka telah diazab dengan banjir besar, dan kesannya masih terakam dalam bentuk geografi kepulauan yang kita duduki hari ini.

Tetapi persoalan yang lebih besar ialah: Adakah bencana itu akan berulang?

Dan jika ia berulang, apa petanda-petanda awalnya?


Tiga Faktor Bencana dari Surah Saba’

Allah SWT berfirman tentang azab yang telah menimpa Kaum Saba’:

فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ ٱلْعَرِمِ وَبَدَّلْنَـٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍۢ وَأَثْلٍۢ وَشَىْءٍۢ مِّن سِدْرٍۢ قَلِيلٍۢ

"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara."

(Surah Saba’ 34:16)

Daripada ayat ini dan ayat-ayat berkaitan dalam Surah Saba’, kita dapat mengenalpasti tiga bentuk bencana yang berkait rapat dengan azab fizikal dan perubahan geologi terhadap kaum tersebut:

1. Air dari Bawah: Pecahnya Empangan dan Sistem Saliran

Perkataan "سَيْلَ ٱلْعَرِمِ" (sail al-‘arim) merujuk kepada satu jenis banjir yang berpunca daripada runtuhan atau kegagalan struktur empangan. Ia menghancurkan sistem saliran yang mengairi kebun-kebun dan menyebabkan kemusnahan total terhadap sumber kekayaan mereka. Ini adalah faktor fizikal paling langsung — kehancuran dari dalam sistem.

2. Air dari Atas: Kenaikan Laut dan Banjir Permukaan

Perubahan bentuk kebun dan keadaan geografi selepas bencana menunjukkan transformasi lanskap secara menyeluruh. Daratan menjadi pulau. Delta berubah menjadi tanah tinggi yang kering. Ini menunjukkan kenaikan aras laut, banjir besar dari atas, atau fenomena alam yang menenggelamkan kawasan pertanian subur — sebagaimana yang dapat kita saksikan di Nusantara hari ini dengan ribuan pulau terpecah hasil daripada perubahan bumi besar-besaran.

3. Ancaman dari Langit: Kisfan yang Belum Diturunkan

Allah menyatakan dalam ayat yang lain:

أَفَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَىٰ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِن نَّشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةًۭ لِّكُلِّ عَبْدٍۢ مُّنِيبٍۢ

“Tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dari langit dan bumi? Jika Kami kehendaki, Kami boleh menenggelamkan mereka ke dalam bumi, atau Kami gugurkan ke atas mereka kisfan dari langit. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda bagi setiap hamba yang kembali kepada Allah.”

(Surah Saba’ 34:9)

Perkataan كِسَفًۭا (kisfan) bermaksud ketul, serpihan, atau pecahan besar dari langit. Ia boleh ditafsir sebagai:

  • Batu angkasa, meteor atau komet

  • Letusan matahari atau radiasi kosmik

  • Gelombang bunyi atau getaran dari ruang yang mencetus gempa

  • Atau apa-apa peristiwa langit yang memberi kesan terus kepada bumi (seperti supernova, penjajaran planet, atau fenomena elektromagnetik)

Menariknya, Allah nyatakan bahawa kisfan ini tidak berlaku ke atas kaum Saba’ pada waktu itu. Namun ia boleh berlaku bila-bila masa selepasnya termasuklah sekarang ini sebagai satu bentuk azab tambahan kepada kaum yang melampaui batas selepas diberi peringatan.

Maka jelaslah, terdapat tiga faktor bencana dalam Surah Saba’ yang harus kita ambil iktibar:

  1. Air dari bawah – pecahnya empangan dan runtuhan sistem pengairan

  2. Air dari atas – kenaikan laut, banjir besar, dan perubahan geografi

  3. Azab dari langit – kisfan yang belum berlaku, tetapi mungkin akan berlaku di akhir zaman

Dan ketiga-tiga faktor ini semuanya sedang menghampiri kita di bumi Nusantara jika kita terus berpaling seperti kaum Saba’ terdahulu.


Mengapa Azab Diturunkan?

Allah tidak menurunkan azab secara sembrono. Ada sebab yang sangat jelas. Surah Ad-Dukhan menerangkan secara terperinci dua bentuk pelampauan yang menjadikan sesuatu kaum layak diazab di dunia, bukan hanya di akhirat.

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).

أَمْرًۭا مِّنْ عِندِنَآ ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.

رَحْمَةًۭ مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

(Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya).

رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ ۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ

Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu).

(Surah Ad-Dukhan 44:3–7)

Tetapi manusia tetap melakukan dua pelampauan:

1. Ragu-ragu (syak) terhadap Rasul dan Kitab (Dalaman)

بَلْ هُمْ فِى شَكٍّۢ يَلْعَبُونَ

"Bahkan mereka berada dalam keraguan dan mempermain-mainkan (peringatan itu)."

(Surah Ad-Dukhan 44:9)

Mereka meragui bahawa Rasul benar-benar utusan Allah. Mereka juga memperlekeh Kitab, dan akhirnya mempermainkan ajaran-ajaran tauhid.

2. Mempermainkan KeTuhanan Allah (Luaran)

لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ رَبُّكُمْ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.

(Surah Ad-Dukhan 44:8)

Tetapi walaupun tahu kebenaran ini, mereka menyesuaikan hukum dengan hawa nafsu. Mereka ambil sebahagian ajaran agama dan tinggalkan sebahagian lain.

Inilah pelampauan sebenar yang Allah selalu sebutkan sebagai "Menzalimi Diri Sendiri" iaitu perbuatan memperlekeh perkara yang datang dari Allah, sama ada dari segi dalaman (ragu-ragu) atau luaran (main-main). Dan apabila pelampauan ini berleluasa, ia mengundang As-Sa’ah azab dunia yang tiba-tiba.


As-Sa’ah: Saat yang Tiba-Tiba

قُلْ يَوْمَ ٱلْفَتْحِ لَا يَنفَعُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِيمَـٰنُهُمْ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

"Katakanlah: "(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)".

(Surah As-Sajdah 32:29)

As-Sa’ah bukan hanya Kiamat. Ia juga merujuk kepada saat kehancuran yang datang mendadak seperti yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu. Kaum Saba’ telah melaluinya. Dan kini, kita berada di tempat yang sama, mengulangi jejak yang sama.

Sila rujuk artikel 6 Fasa Putaran Kekhalifan Manusia untuk pemahaman lanjut.


Kuala Lumpur dan Simbol As-Sa’ah

Lihatlah Lembah Klang. Kota moden yang dibina atas laluan dua sungai utama: Sungai Gombak dan Sungai Klang. Di sekelilingnya, terbentang jajaran batu kuarza yang menjadi tulang belakang kawasan ini dan di sinilah terletaknya dua empangan besar:

  • Empangan Sungai Batu (kapasiti ±30,000 juta liter).

  • Empangan Klang Gates (kapasiti ±25,000 juta liter).

Jika kedua-dua empangan ini pecah serentak maka bukan lagi sekadar banjir kilat yang berlaku. Tetapi gelombang air setinggi 5 hingga 15 tingkat bangunan boleh menyapu seluruh bandar Kuala Lumpur dalam masa yang sangat singkat. Dua besin besar ini akan melepaskan air secara mendadak ke laluan sempit Sungai Klang dan Sungai Gombak yang bertemu tepat di Dataran Merdeka, pusat simbolik negara.

Dan jika Allah menurunkan “kisfan” (كِسَفًۭا) dari langit seperti yang disebut dalam Surah Saba’ ayat 9 maka gegaran dari langit atau hentakan seismik dari perut bumi boleh meruntuhkan struktur empangan yang berdiri di atas formasi batuan kuarza keras yang tidak lentur.

Ingatlah, jika berlaku gempa bumi sekitar kawasan Janda Baik atau Bentong, yang merupakan zon seismik aktif berhampiran garisan sesar lemah, maka gegaran tersebut boleh sampai ke Kuala Lumpur.

Lihat apa yang terjadi pada Bangkok ketika gempa bumi kuat berlaku di Myanmar walaupun beratus kilometer jauhnya, kesan gegarannya mampu merosakkan struktur bangunan dan mencetuskan panik. Kuala Lumpur tidak terkecuali. Ia dibina di lembah, diapit oleh bukit-bukit batu, dan mempunyai sistem saliran yang rapat dan bertingkat.

Bukankah ini semua menggambarkan ulang tayang bencana seperti yang pernah berlaku ke atas kaum Saba’? Banjir dari empangan, perubahan muka bumi, dan pemusnahan akibat kelalaian manusia yang tidak mengambil peringatan?


Peringatan Telah Datang

Allah tidak akan mengazab sebelum memberi amaran. Maka apabila muncul suara-suara yang memberi peringatan, jangan dihina, jangan ditertawa, dan jangan diperlekeh.

مَّنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌۭ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًۭا

"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (utusan untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."

(Surah Al-Isra’ 17:15)

Umat terdahulu diazab kerana mereka menolak peringatan. Maka kita kena fikirkan lah, kita pula bagaimana?


Kesimpulan: Nusantara Ini Menunggu Saatnya

Kita adalah pewaris saki-baki Hanif. Kita adalah penduduk Timur yang disebut dalam banyak ayat. Kita hidup di atas tanah yang pernah menyimpan peradaban besar. Tetapi kita juga sedang menempah pelampauan yang sama iaitu ragu terhadap peringatan, dan mempermainkan hukum.

Jika kita tidak berubah, maka bumi ini akan pecah lagi. Dan langit akan kembali menghantar “kisfan”-nya.

Walapun ramai yang lalai sebelum ia terjadi, anda pula adalah bahagian orang yang sedang dan telah menerima peringatan. Maka bangkitlah.

Bukan untuk takut. Tetapi untuk sedar dan bertindak. Kerana langit telah memberi petanda. Dan bumi hanya menunggu izinnya untuk melepaskan amarah yang tersimpan.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.