Bahagian 5: Millah Ibrahim, al-Bayt dan Jalan Hanif
Siri: Pertukaran Kiblat
Pendahuluan
Apabila bercakap tentang kiblat, kita tidak akan dapat lari daripada bercakap tentang Nabi Ibrahim A.S. Dalam blok ayat yang membicarakan kisah pertukaran kiblat, iaitu al-Baqarah 2:119 hingga 2:152, al-Quran terlebih dahulu membawa kita kepada Nabi Ibrahim A.S sebelum membawa kita kepada ayat pertukaran kiblat itu sendiri.
Ini pada saya sangat penting kerana selepas al-Quran menyebut tentang Yahudi dan Nasrani, selepas Allah menyebut bahawa mereka tidak akan redha sehingga Nabi S.A.W mengikuti millah mereka, al-Quran tidak terus membawa kita kepada ayat kiblat. Allah membawa kita dahulu kepada Ibrahim.
Pada saya yang melihat susunan blok dan konteks, saya dapati ia bukan susunan biasa-biasa. Kalau Yahudi datang dengan klaim mereka dan Nasrani datang dengan klaim mereka, maka al-Quran membawa nama Ibrahim sebagai rujukan yang lebih tua daripada kedua-duanya. Ibrahim bukan tokoh kecil dalam blok ini. Ibrahim ialah induk kepada persoalan millah, al-Bayt, keturunan manusia, Islam dan akhirnya arah kiblat.
Sebab itu Bahagian 5 ini kita khususkan kepada Millah Ibrahim. Kita belum sampai tahap untuk melihat semua millah secara besar-besaran. Tanpa memahami Ibrahim, kita mungkin melihat pertukaran kiblat hanya sebagai perpindahan arah solat semata-mata. Sedangkan apabila Ibrahim ada dalam susunan ayat ini, isu kiblat mula kelihatan sebagai isu yang jauh lebih besar. Ia bukan sekadar isu arah sebaliknya ia berkait dengan asas agama, pusat suci dan siapa yang mewarisi jalan para nabi.
Ibrahim Diuji Sebelum Disebut Sebagai Imam
Perbincangan tentang Ibrahim dalam blok ini bermula dengan ayat yang sangat besar:
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا
“Dan ketika Ibrahim diuji oleh Rabbnya dengan beberapa kalimah, lalu dia menyempurnakannya. Dia berfirman: Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai imam bagi manusia.”
Petikan Surah al-Baqarah 2:124
Ayat ini bermula dengan ujian, bukan dengan bangsa, bukan dengan keturunan, bukan dengan Yahudi atau Nasrani. Ia dimulakan dengan kisah Ibrahim diuji oleh Rabbnya dengan beberapa kalimah dari Rabbnya.
Sebagai maklumat untuk semua, penyampaian kalimah dari Rabb adalah salah satu daripada komunikasi Allah dengan manusia. Ia metodologi sama yang Allah gunakan dalam penyampaian perintah wahyu pertukaran kiblat kepada Nabi Muhammad S.A.W. ketika solat.
Ini bermaksudnya kalimah, Rabb dan ujian adalah perkara penting. Dalam kisah Nabi Ibrahim ini yang berada dalam blok kiblat, Nabi Ibrahim menyempurnakan ujian kalimah itu. Selepas itu barulah Allah menyebut kedudukannya sebagai imam bagi manusia. Nampak tak pentingkan topik Kalimah, Rabb, Ujian dan Imam?
Sekiranya anda membaca blok ayat dengan betul bersama sedikit ayat-ayat surah lain yang berkaitan Ibrahim, anda akan jumpa ada beberapa pihak yang klaim paling benar mengikut jalan Ibrahim. Al-Quran menunjukkan bahawa kedudukan Ibrahim bukan isu keturunan semata-mata sebaliknya ia datang bersama ketaatan, penyempurnaan ujian dan pilihan Allah.
Apabila Ibrahim bertanya tentang keturunannya, Allah menjawab:
لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
“Janji-Ku tidak akan diperoleh oleh orang-orang yang zalim.”
Petikan Surah al-Baqarah 2:124
Ayat ini menunjukkan bahawa hubungan keturunan dengan Ibrahim bukan jaminan automatik untuk mewarisi janji Allah. Apabila Ibrahim bertanya tentang keturunannya, Allah tidak menjawab bahawa semua keturunan Ibrahim akan mendapat kedudukan itu. Sebaliknya Allah meletakkan satu batas yang jelas iaitu:
Janji-Ku tidak akan diperoleh oleh orang-orang yang zalim
Maka bukan semua yang datang daripada keturunan Ibrahim secara automatik berada atas jalan Ibrahim. Bukan semua yang mengklaim warisan Ibrahim automatik mewarisi janji Allah. Yang menjadi ukuran bukan darah semata-mata, tetapi ketaatan, keadilan dan kesetiaan kepada jalan yang Allah redhai.
Maka sejak awal lagi, al-Quran sudah meletakkan satu disclaimer dan prasyarat. Warisan Ibrahim tidak boleh diklaim hanya dengan darah keturunan, nama bangsa atau label kelompok. Janji Allah tidak berjalan atas nama semata-mata. Ia terikat dengan ketaatan dan keadilan, kerana orang-orang zalim tidak termasuk dalam janji itu.
Ibrahim dan al-Bayt
Selepas menyebut Ibrahim sebagai imam, al-Quran membawa kita pula kepada al-Bayt. Al-Bayt ini yang kita sebut sebagai Baitullah atau Kaabah.
وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا
“Dan ketika Kami menjadikan al-Bayt sebagai tempat kembali bagi manusia dan keamanan.”
Petikan Surah al-Baqarah 2:125
Di sini saya rasa anda boleh nampak hubungan yang sangat rapat antara Ibrahim dan al-Bayt. Ibrahim bukan hanya disebut sebagai figura tauhid. Nabi Ibrahim juga dikaitkan dengan rumah suci. Allah menjadikan al-Bayt sebagai mathabah (مَثَابَةً), iaitu tempat manusia kembali, dan sebagai tempat aman.
Kemudian Allah menyebut:
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى
“Dan jadikanlah daripada Maqam Ibrahim itu tempat solat (musolla).”
Petikan Surah al-Baqarah 2:125
Ini jadi semakin menarik. Dalam blok yang akhirnya akan membawa kita kepada pertukaran kiblat, Allah sudah mula menyebut al-Bayt, Maqam Ibrahim dan tempat solat. Jadi isu kiblat pasti tidak boleh dipisahkan daripada Ibrahim dan al-Bayt. Ia adalah akar atau induk ibadah yang lebih tua daripada Millah Yahudi dan Nasrani.
Perbincangan utama kita adalah arah kiblat umat ini dikembalikan kepada Masjidil Haram. Di sini al-Quran sudah membina semula kedudukan al-Bayt dalam minda kita yang mana jika kita sudah baca blok ayat ini, kita sudah bersedia. Al-Bayt bukan sekadar rumah batu. Ia adalah pusat kembali, tempat keamanan dan tempat yang dikaitkan dengan Ibrahim. Ini tempat yang Allah perintahkan untuk disucikan.
Ibrahim dan Ismail Menyucikan al-Bayt
Dalam Surah al-Baqarah 2:124 Allah S.W.T. menyebut:
وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ
“Dan Kami telah mengambil janji daripada Ibrahim dan Ismail agar kamu berdua menyucikan rumah-Ku.”
Petikan Surah al-Baqarah 2:125
Di sini watak Nabi Ismail A.S muncul bersama Nabi Ibrahim A.S. Ini pun penting. Apabila al-Quran membawa kita kepada al-Bayt, Allah tidak hanya menyebut Ibrahim seorang. Allah menyebut Ibrahim dan Ismail. Maknanya, sejarah al-Bayt bukan sejarah seorang diri. Ia sejarah berjemaah. Ia sejarah seorang ayah dan seorang anak yang sama-sama tunduk kepada perintah Allah.
Tetapi apa maksud menyucikan al-Bayt?
Menyucikan al-Bayt bukan sekadar membersihkan bangunan secara fizikal dengan penyapu, mop, bahan pencuci, menukar kiswah atau melakukan kerja-kerja penjagaan Kaabah. Itu semua boleh termasuk dalam penjagaan fizikal rumah Allah, tetapi makna penyucian dalam ayat ini lebih besar daripada itu.
Allah menyambung ayat itu dengan menyebut:
لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
“Bagi orang-orang yang tawaf, orang-orang yang beriktikaf, dan orang-orang yang rukuk serta sujud.”
Ini menunjukkan bahawa al-Bayt disucikan untuk ibadah. Ia disucikan daripada syirik, daripada berhala, daripada amalan yang tidak benar dan daripada apa sahaja yang mencemarkan pengabdian kepada Allah. Al-Bayt mesti menjadi tempat manusia kembali kepada Allah, bukan tempat manusia mengagungkan selain Allah.
Jadi penyucian al-Bayt bukan hanya tentang lantai yang bersih atau dinding yang dijaga. Penyucian sebenar ialah apabila rumah itu dikembalikan kepada fungsi asalnya: tempat manusia tawaf, beriktikaf, rukuk dan sujud kepada Allah. Ia menjadi rumah suci kerana kita menyucikan ia sebagaimana perintah Allah.
Di sinilah kita mula nampak hubungan besar antara al-Bayt dan kiblat. Apabila nanti kiblat dipindahkan kepada al-Masjid al-Haram, kita sudah faham bahawa arah itu bukan sekadar arah. Ia arah kepada rumah yang telah disucikan oleh Ibrahim dan Ismail atas perintah Allah. Ia arah kepada pusat ibadah yang dibersihkan daripada syirik dan dikembalikan kepada pengabdian kepada Rabb sekelian alam.
Sebab itulah saya membawa kita melihat pertukaran kiblat ini bukan bermula pada saat arah solat berubah sahaja. Kita perlu melihatnya sejak al-Bayt itu disebut, sejak Ibrahim diuji, sejak Ismail bersama Ibrahim dan sejak rumah Allah diperintahkan untuk disucikan.
Doa Ibrahim Untuk Umat Yang Muslim
Apabila kita teruskan dalam blok ayat kita kemudiannya akan bertemu pula doa Nabi Ibrahim dan Ismail:
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ
“Wahai Rabb kami, jadikanlah kami berdua Muslim kepada-Mu.”
Petikan al-Baqarah 2:128
Ini pun ayat yang sangat penting dalam perjalanan kita memahami Millah Ibrahim. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tidak meminta nama kelompok. Mereka tidak meminta keturunan mereka dikenali dengan label tertentu. Mereka berdoa agar mereka menjadi Muslim kepada Allah. Doa mereka tidak berhenti setakat itu sahaja.
Kemudian mereka teruskan berdoa:
وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ
“Dan daripada keturunan kami, jadikanlah satu umat yang Muslim kepada-Mu.”
Petikan al-Baqarah 2:128
Di sini kita nampak bahawa Islam bukan muncul selepas Nabi Muhammad S.A.W menjadi nabi dan menyampaikan kepada kita. Islam sudah ada lebih awal dan Ibrahim juga meminta untuk berada dalam Islam iaitu dalam makna hakikat penyerahan diri kepada Allah. Islam ialah jalan para nabi. Ibrahim Muslim dan Ismail pun Muslim. Mereka berdoa agar keturunan mereka menjadi umat yang Muslim kepada Allah.
Maka apabila al-Quran nanti menyebut Millah Ibrahim, kita tidak boleh membacanya sebagai satu nama yang automatik suci hanya kerana ia dikaitkan dengan nama Ibrahim. Ibrahim sendiri berdoa agar baginda dan Ismail dijadikan Muslim kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa yang menjadi ukuran bukan sekadar nama millah, tetapi keadaan sebenar manusia itu adakah dia hanif dan adakah dia Muslim kepada Allah?
Di sini pun kita perlu berhati-hati. Millah Ibrahim boleh disebut sebagai jalan yang bersumber daripada Ibrahim, tetapi tidak semua yang mengklaim warisan Ibrahim semestinya benar-benar berada atas keadaan Ibrahim. Sebagaimana Yahudi boleh mengklaim Musa dan Nasrani boleh mengklaim Isa, manusia juga boleh mengklaim Ibrahim tetapi tidak lagi membawa sifat hanif dan Muslim yang ada pada Ibrahim.
Maka yang al-Quran mahu kembalikan bukan sekadar nama “Millah Ibrahim”, tetapi hakikat Ibrahim itu sendiri iaitu seorang yang berpaling daripada syirik dan berserah diri kepada Rabb seluruh alam.
Ibrahim Tidak Mewakili Klaim Kelompok
Dalam al-Baqarah 2:130, Allah menyebut:
وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ
“Dan siapakah yang berpaling daripada Millah Ibrahim melainkan orang yang memperbodohkan dirinya sendiri?”
Petikan al-Baqarah 2:130
Allah menyebut Millah Ibrahim sebagai sesuatu yang tidak patut ditinggalkan. Orang yang berpaling daripadanya digambarkan sebagai orang yang memperbodohkan dirinya sendiri.
Tetapi ayat selepas itu menjelaskan hakikat Ibrahim:
إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
“Ketika Rabbnya berkata kepadanya: Berserah dirilah. Dia berkata: Aku berserah diri kepada Rabb seluruh alam.”
Petikan al-Baqarah 2:131
Di sini kita melihat perbuatan Ibrahim yang paling asas. Apabila Rabbnya memerintahkan, “Berserah dirilah,” Ibrahim tidak membantah. Ibrahim tidak bertanya untuk tawar-menawar. Ibrahim tidak membawa nama bangsa, keturunan atau kedudukan dirinya. Ibrahim terus menjawab:
أَسْلَمْتُ
“Aku berserah diri.”
Inilah perbuatan besar Ibrahim. Baginda menyerahkan dirinya kepada Rabb seluruh alam. Maka hakikat Ibrahim bukan sekadar pada nama, keturunan atau millah yang diklaim oleh manusia selepasnya. Hakikat Ibrahim terletak pada penyerahan diri kepada Allah. Ibrahim menjadi Ibrahim kerana baginda tunduk apabila diperintah. Baginda menerima perintah Rabbnya dan menyerahkan dirinya kepada Rabb seluruh alam.
Sebab itu apabila kita bercakap tentang Millah Ibrahim, kita tidak boleh hanya berhenti pada nama “Ibrahim”. Kita perlu melihat perbuatan Ibrahim. Baginda diuji, baginda menyempurnakan ujian, baginda diperintah untuk berserah diri, lalu baginda berserah diri. Inilah hakikat yang lebih mendalam.
Jadi, jika mana-mana pihak ingin membuat klaim, sama ada Yahudi, Nasrani atau orang Islam sekalipun, jalannya tetap sama iaitu tunduk kepada Rabb sekelian alam. Itulah hakikat Millah Ibrahim.
Wasiat Ibrahim Kepada Anak-Anaknya
Selepas al-Quran menjelaskan bahawa Ibrahim berkata, “Aku berserah diri kepada Rabb seluruh alam,” ayat berikutnya membawa kita kepada wasiat Ibrahim kepada anak-anaknya.
Allah menyebut dalam Surah al-Baqarah 2:132:
وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu,
Petikan Surah al-Baqarah 2:132
Ini poin yang sangat penting. Apabila Ibrahim mewasiatkan kepada anak-anaknya, baginda menekankan hakikat yang mesti mereka bawa sampai mati. Yang diwariskan ialah ad-din yang Allah pilih, penyerahan diri kepada Rabb seluruh alam, dan keadaan Muslim di hadapan Allah.
Sebaliknya, wasiatnya ialah:
فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Muslim".
Petikan Surah al-Baqarah 2:132
Ini menunjukkan bahawa warisan Ibrahim bukan sekadar darah keturunan. Warisan Ibrahim ialah penyerahan diri kepada Allah. Yang mahu diwariskan oleh Ibrahim bukan nama, bukan bangsa dan bukan klaim kelompok, tetapi ad-din yang Allah pilih, iaitu keadaan Muslim kepada Allah.
Di sini kita nampak kesinambungan yang sangat jelas daripada ayat al-Baqarah 2:131 di mana Ibrahim sendiri telah berkata:
أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
Aku berserah diri kepada Rabb sekelian alam.
Kemudian Ibrahim mewasiatkan kepada anak-anaknya agar mereka juga mati dalam keadaan Muslim. Maka dari diri Ibrahim kepada keturunannya, yang ditekankan bukan label kelompok atau keturunan, tetapi Islam kepada Allah. Sebab itu sebelum al-Quran mematahkan klaim “Ibrahim itu Yahudi atau Nasrani”, al-Quran sudah menunjukkan apa sebenarnya wasiat Ibrahim. Wasiat itu bukan tentang label Yahudi, bukan tentang label Nasrani, dan bukan sekadar tentang nama Millah Ibrahim. Wasiat itu ialah menjadi Muslim kepada Allah.
Apakah Maksud Jalan Hanif?
Saya percaya ramai pernah mendengar istilah “agama hanif”. Istilah ini juga sering dikaitkan dengan kepercayaan nenek moyang orang Nusantara dahulu, yang dikatakan pernah berada atas agama hanif sebelum datangnya lapisan agama-agama kemudian.
Namun, apa sebenarnya maksud agama hanif?
Di sinilah kita perlu berhenti sekejap pada perkataan hanif. Dalam al-Quran, istilah ini bukan sekadar gelaran umum untuk “agama lama” atau “agama purba”. Ia mempunyai makna yang lebih khusus.
Al-Quran tidak hanya menyebut “Millah Ibrahim”. Allah menyebut:
مِلَّةَ إِبْرَٰهِـۧمَ حَنِيفًۭا
Millah Ibrahim yang hanif
Petikan Surah al-Baqarah 2:135
Kemudian Allah terus menambah:
وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Dan dia bukan daripada orang-orang musyrik.
Petikan Surah al-Baqarah 2:135
Ini menunjukkan bahawa hanif tidak boleh dipisahkan daripada penafian syirik. Jalan hanif bukan jalan yang bercampur dengan penyembahan selain Allah. Ia bukan jalan yang tunduk kepada berhala. Ia bukan jalan yang menjadikan manusia, batu, patung, bintang, matahari, kuasa politik atau institusi agama sebagai tandingan kepada Allah.
Bagi saya, hanif bukan sekadar “percaya Tuhan”. Ramai manusia boleh berkata mereka percaya kepada Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka masih mencampurkan ibadah dengan perantaraan, simbol, berhala, tokoh suci, pusat kuasa lain dan ritual yang tidak lagi bersih daripada syirik.
Sekiranya anda ada membaca artikel siri Siri: Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel dalam bahagian 10 Perintah Allah Kepada Bani Israel Dalam Bible dan Al Quran dan bahagian 10 Perintah Lengkap Perintah Allah Kepada Bani Israel Mengikut al-Quran, anda akan temui perintah jangan mensyirikkan Allah adalah perintah pertama.
Jalan hanif dahulu, sebelum ini, sekarang dan selepas ini sama sahaja. Ia ialah jalan orang yang berpaling daripada segala bentuk syirik dan kembali menghadap Allah semata-mata. Sebab itu Ibrahim bukan hanya disebut sebagai tokoh yang percaya kepada Allah. Ibrahim disebut sebagai hanif. Maksudnya, baginda tidak hanya berdiri atas tauhid, tetapi juga berpaling daripada sistem syirik yang hidup di sekelilingnya.
Ini penting kerana pada zaman Ibrahim, syirik bukan sekadar masalah kepercayaan peribadi. Syirik sudah menjadi sistem masyarakat, sistem keluarga, sistem kuasa dan sistem ritual. Berhala bukan hanya batu yang disembah. Berhala sudah menjadi pusat identiti manusia. Maka apabila Ibrahim menjadi hanif, baginda bukan sekadar memilih satu pandangan agama. Baginda keluar daripada seluruh sistem syirik itu dan kembali kepada Rabb sekelian alam.
Di sinilah saya percaya anda akan mula faham mengapa al-Quran membawa Millah Ibrahim sebagai jawapan kepada Yahudi dan Nasrani. Ini bermaksud"
- Jalan hanif bukan jalan kelompok yang hanya berbangga dengan nama warisan.
- Jalan hanif bukan jalan manusia yang berkata, “Kami Yahudi, maka kami mendapat petunjuk.”
- Jalan hanif bukan jalan manusia yang berkata, “Kami Nasrani, maka kami mendapat petunjuk.”
- Jalan hanif ialah jalan yang kembali kepada Allah dengan bersih, tanpa syirik, tanpa klaim kelompok yang kosong dan tanpa menjadikan warisan nabi sebagai milik eksklusif sesuatu bangsa atau institusi agama.
Jangan Menilai Ibrahim Dengan Kacamata Kelompok Kemudian
Selepas al-Quran menyebut Millah Ibrahim yang hanif dalam al-Baqarah 2:135, ayat berikutnya membawa kita kepada kesinambungan wahyu para nabi.
قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ
“Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub dan al-Asbat.”
Petikan al-Baqarah 2:136
Bahagian pertama ayat di atas ini membawa kita kepada keluarga besar Ibrahim iaitu Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub dan al-Asbat. Ini penting kerana al-Quran sedang menunjukkan bahawa wahyu tidak boleh dibaca melalui label kelompok kemudian. Wahyu turun dalam kesinambungan keluarga nabi, bukan dalam kerangka Yahudi dan Nasrani sebagai identiti yang muncul kemudian.
Al-Asbat merujuk kepada cabang-cabang keturunan Nabi Ya‘qub A.S, iaitu suku-suku Bani Israil.
Kemudian disebut juga Musa, Isa dan para nabi.
وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَآ أُوتِىَ ٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ
dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka;
Petikan al-Baqarah 2:136
Bahagian kedua ini membawa kita kepada Musa, Isa dan para nabi lain. Di sini al-Quran memperluaskan prinsip tadi. Bukan hanya Ibrahim dan keluarganya yang tidak boleh dimonopoli oleh label kelompok kemudian, bahkan Musa, Isa dan para nabi lain juga berada dalam kesinambungan wahyu daripada Rabb yang sama.
Kemudian ayat itu ditutup dengan:
رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ
Kami tidak membezakan antara seorang pun daripada mereka, dan kami kepada-Nya adalah Muslim.
Petikan al-Baqarah 2:136
Penutup ayat ini mengunci keseluruhan maksudnya. Kita beriman kepada semua wahyu para nabi, tanpa memecah-mecahkan mereka menjadi milik kelompok tertentu. Dan sekali lagi, istilah yang kembali muncul ialah Muslim.
Maka susunan 2:136 ini sangat cantik.
- Pertama, al-Quran menyebut keluarga Ibrahim.
- Kedua, al-Quran menyebut Musa, Isa dan para nabi lain.
- Ketiga, al-Quran menutup dengan prinsip tidak membezakan antara mereka dan keadaan Muslim kepada Allah.
Jadi kita jangan baca Ibrahim dengan kacamata Yahudi dan Nasrani. Kita juga jangan baca Musa dan Isa dengan kacamata label kelompok kemudian. Semua mereka berada dalam kesinambungan wahyu dan Islam kepada Rabb yang sama.
Penutup
Daripada semua susunan ini, kita mula nampak bahawa al-Quran tidak membiarkan nama Ibrahim diperebutkan tanpa satu standard ukuran. Ukurannya jelas. Nabi Ibrahim diuji kemudian baginda menyempurnakan ujian. Nabi Ibrahim berserah diri kepada Rabb. Nabi Ibrahim dikaitkan dengan al-Bayt. Ibrahim dan Ismail melakukan ibadah menyucikan al-Bayt. Kemudian Nabi Ibrahim berdoa agar dirinya dan keturunannya menjadi Muslim kepada Allah. Ibrahim juga mewasiatkan Islam kepada anak-anaknya.
Maka isu Millah Ibrahim dalam blok ayat-ayat perbincangan kita bukan sekadar isu nama. Ia isu hakikat bahawa siapa yang benar-benar membawa sifat Ibrahim? Siapa yang hanya mengklaim nama Ibrahim? Siapa yang kembali kepada jalan hanif dan Muslim? Siapa pula yang hanya mempertahankan warisan kelompok tertentu?
Sebab itulah perbincangan Ibrahim sangat penting sebelum ayat pertukaran kiblat. Kiblat yang akan dikembalikan kepada umat akhir ini bukan sekadar pertukaran arah biasa. Ia berkait dengan al-Bayt dan al-Bayt pula berkait dengan Ibrahim serta Ismail. Apabila Nabi S.A.W diperintahkan menghadap al-Masjid al-Haram, ia bukan sekadar perubahan arah daripada satu tempat kepada tempat lain. Ia adalah pengembalian umat manusia kepada pusat yang Allah kaitkan dengan Ibrahim, bukan kepada klaim Yahudi dan Nasrani.
Sebab itulah al-Quran menyusun dengan kemas kedudukan Ibrahim sebelum membawa kita kepada pertukaran kiblat. Jika kita tidak faham Ibrahim, kita tidak akan faham mengapa al-Bayt menjadi penting. Jika kita tidak faham al-Bayt, kita tidak akan faham mengapa pertukaran kiblat menjadi ujian besar kepada seluruh manusia. Jika kita tidak faham Millah Ibrahim, kita mungkin menyangka pertukaran kiblat hanya berlaku untuk umat Islam sahaja. Padahal lebih dalam daripada itu.
Pertukaran kiblat adalah berkait dengan pemisahan umat ini daripada klaim millah yang lain dan pengembalian mereka kepada jalan Ibrahim yang hanif lagi Muslim.

Balas kepada: