Sabah, Asia Tenggara dan Nadi Perang Dunia Ketiga

BAB 3: FILIPINA, SULU DAN PERANG UNDANG-UNDANG

April 11, 2025 930 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
11 minit 57 saat

Bab 3: Filipina, Sulu dan Perang Undang-Undang

“Bila peluru tidak mampu menembusi, mereka hantar peguam. Bila tentera tidak dapat mara, mereka gunakan perjanjian.”

Dalam dunia moden, penjajahan tidak lagi berlaku semata-mata dengan bom dan kereta kebal. Ia berlaku dalam bentuk baru yang lebih halus iaitu melalui mahkamah antarabangsa, kontrak yang rumit, dan tanda tangan yang membawa kesan jangka panjang. Sabah, negeri di hujung Borneo, kini menjadi pentas besar permainan ini.


Asal-Usul Pemajakan Sabah: Perjanjian 1878

Isu tuntutan terhadap Sabah berpunca daripada sebuah perjanjian bersejarah yang ditandatangani pada 22 Januari 1878, antara Sultan Sulu dan pihak Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Dalam perjanjian ini, Sultan Sulu memberikan hak kepada SBUB untuk mengurus, menggunakan dan mentadbir kawasan di Borneo Utara, sebagai balasan kepada bayaran tahunan yang ditetapkan. Namun, sejak lebih satu abad lalu hingga ke hari ini, kandungan dan maksud sebenar perjanjian tersebut menjadi subjek perdebatan besar dalam kalangan sejarawan, peguam antarabangsa dan pengkaji politik serantau.

Perjanjian ini wujud dalam dua versi utama iaitu satu dalam bahasa Inggeris dan satu lagi dalam bahasa Sulu yang dipengaruhi unsur Sepanyol. Perbezaan terjemahan antara dua versi inilah yang membuka ruang kepada penafsiran berbeza:

  • Versi Inggeris menggunakan istilah “grant and cede” yang memberi maksud penyerahan secara mutlak dan kekal kepada SBUB. Ini ditafsirkan sebagai satu bentuk penyerahan wilayah, seperti yang biasa dilakukan dalam banyak perjanjian kolonial lain pada abad ke-19.

  • Versi Sulu/Spanish pula menggunakan istilah yang lebih hampir dengan maksud “lease” yang difahami sebagai satu bentuk pemajakan, bukannya penyerahan penuh. Berdasarkan tafsiran ini, waris Kesultanan Sulu mendakwa bahawa mereka hanya menyewakan Sabah, bukan menyerahkannya.

Perbezaan tafsiran inilah yang menjadi asas utama kepada tuntutan Kesultanan Sulu, bahawa Sabah masih milik mereka kerana tiada penyerahan mutlak pernah berlaku. Namun jika dilihat dari sudut realiti sejarah dan pentadbiran, gambaran sebenar jauh lebih kompleks.

Walaupun perjanjian 1878 digunakan sebagai rujukan oleh pihak yang menuntut Sabah, penguasaan sebenar terhadap wilayah tersebut telah berubah sepenuhnya. SBUB bukan sahaja menguruskan wilayah itu secara bebas, bahkan mereka telah mewujudkan sistem pentadbiran, undang-undang dan pemerintahan sendiri selama puluhan tahun, tanpa sebarang campur tangan atau kuasa daripada pihak Sulu.

Lebih daripada itu, setelah SBUB menyerahkan Sabah kepada British Crown pada tahun 1946 (selepas Perang Dunia Kedua), kedudukan Sabah sebagai tanah jajahan rasmi kerajaan British telah menggantikan sepenuhnya sebarang perjanjian terdahulu antara SBUB dan mana-mana pihak lain. Kuasa kedaulatan telah berpindah secara sah dari entiti korporat kepada sebuah kerajaan berdaulat.

Maka, walaupun perjanjian 1878 kekal sebagai dokumen sejarah yang signifikan, ia tidak lagi menjadi asas sah kepada tuntutan kedaulatan moden, lebih-lebih lagi selepas Sabah menyertai Malaysia melalui proses undang-undang dan pengiktirafan antarabangsa yang sah pada tahun 1963.


Dari SBUB ke British Crown (1946)

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, Syarikat Borneo Utara British (SBUB) tidak lagi mempunyai keupayaan kewangan dan pentadbiran untuk mengurus wilayah-wilayah di bawah naungannya. Infrastruktur di Borneo Utara telah rosak teruk akibat peperangan, dan syarikat swasta seperti SBUB tidak lagi relevan dalam landskap kolonial pasca perang. Maka, satu langkah drastik diambil dengan menyerahkan keseluruhan wilayah Borneo Utara kepada British Crown, iaitu kerajaan pusat Britain.

Penyerahan ini dilakukan secara rasmi pada 15 Julai 1946, dan sejak itu Sabah dikenali sebagai Crown Colony of North Borneo. Ini adalah titik penting dalam sejarah kerana ia menandakan berakhirnya kuasa SBUB dan bermulanya pentadbiran langsung oleh Kerajaan British melalui sistem penjajahan rasmi.

Dari sudut undang-undang antarabangsa, tindakan ini membawa implikasi besar:

  • Ia mengesahkan bahawa kuasa penuh terhadap Sabah telah berpindah dari entiti swasta (SBUB) kepada negara berdaulat (British Crown).

  • Ia juga bermakna segala tanggungjawab, hak, dan kedaulatan ke atas Sabah kini berada di bawah struktur kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, bukan lagi berdasarkan kontrak atau perjanjian perseorangan.

Lebih penting lagi, sejak tahun 1946, tiada lagi hubungan langsung antara Sultan Sulu dengan mana-mana kuasa pentadbiran Sabah. Segala bentuk perjanjian sebelumnya, termasuk perjanjian 1878, kini hanya dilihat sebagai dokumen sejarah yang telah digantikan oleh struktur kolonial moden. Inilah asas yang menjadi rujukan ketika Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963 dengan kenyataan bahawa Sabah bukan lagi wilayah yang dipertikaikan, tetapi telah melalui satu proses transformasi politik yang sah dari SBUB ke British Crown dan akhirnya kepada entiti negara Malaysia yang berdaulat.


Penyertaan Sabah ke dalam Malaysia (1963)

Apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 1963, penyertaan Sabah ke dalam entiti baharu ini bukan berlaku secara paksa atau sewenang-wenangnya. Ia dilakukan melalui satu proses politik dan undang-undang yang sah, telus, dan diperakui di peringkat antarabangsa.

Proses ini dimulakan dengan penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962, sebuah badan bebas yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Britain dan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini ditugaskan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap cadangan penyertaan ke dalam Malaysia. Hasil laporan Cobbold menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sabah menyokong penyertaan ini, dengan syarat hak-hak mereka dipelihara dalam perlembagaan persekutuan.

Seterusnya, lahirlah Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963 atau MA63), sebuah dokumen rasmi yang ditandatangani oleh wakil-wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Britain, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Perjanjian ini mengesahkan bahawa penyertaan Sabah ke dalam Malaysia adalah berdasarkan persetujuan bersama, dan bukan hasil paksaan atau penjajahan. MA63 menjadi asas kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang menggabungkan Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.

Perkara ini turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui misi pemerhati mereka yang dihantar ke Borneo Utara. PBB mengesahkan bahawa proses yang dijalankan memenuhi prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination) seperti yang termaktub dalam Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sejak penyertaan tersebut, Malaysia telah mewarisi tanggungjawab pembayaran tahunan kepada waris Sultan Sulu sebanyak RM5,300 setahun, sebagai bentuk kesinambungan terhadap perjanjian lama tahun 1878. Namun penting untuk ditegaskan bahawa bayaran ini dibuat tanpa mengiktiraf sebarang tuntutan kedaulatan. Ia hanya isyarat goodwill, bukan pengakuan bahawa Sabah milik luar.

Pembayaran ini berjalan berterusan sehingga tahun 2013, apabila ia dihentikan susulan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang didalangi oleh kumpulan bersenjata dari Filipina yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu. Insiden ini menandakan perubahan ketara dalam sikap Malaysia, kerana tindakan tersebut bukan sahaja menggugat keselamatan negara, tetapi juga menzahirkan bahawa bayaran goodwill telah dimanipulasi untuk kepentingan politik dan ketenteraan oleh pihak tertentu.

Sejak itu, kerajaan Malaysia mengambil pendirian yang lebih tegas bahawa sebarang bentuk tuntutan ke atas Sabah bukan sahaja tidak berasas, bahkan merupakan satu ancaman langsung kepada kedaulatan negara.


Tribunal Antarabangsa dan Perang Undang-Undang (2022–2023)

Pada tahun 2022, satu episod yang mengejutkan dunia diplomatik dan undang-undang antarabangsa tercetus apabila sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu membawa kerajaan Malaysia ke sebuah tribunal timbang tara antarabangsa yang berpangkalan di Sepanyol. Mereka menuntut agar Malaysia membayar pampasan sebanyak USD14.92 bilion yang merupakan satu jumlah yang bukan sahaja tidak masuk akal, malah melebihi 50% bajet pembangunan negara Malaysia pada tahun tersebut.

Tribunal ini pada awalnya dijalankan secara senyap dan tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pihak Malaysia. Keputusan berat sebelah yang dikeluarkan oleh tribunal tersebut dikenali sebagai "Final Award", telah mengejutkan pentadbiran negara kerana ia cuba memaksa pembayaran dalam jumlah besar berasaskan perjanjian kolonial yang kabur dari tahun 1878.

Namun selepas siasatan mendalam dan usaha diplomatik serta undang-undang oleh kerajaan Malaysia, beberapa fakta penting didedahkan:

  • Tribunal tersebut sebenarnya tidak mempunyai bidang kuasa sah untuk mendengar dan mengadili kes ini. Malaysia tidak pernah memberikan persetujuan untuk menyertai proses timbang tara tersebut sedangkan ia sesuatu yang menjadi syarat utama dalam mana-mana timbang tara antarabangsa.

  • Tribunal tersebut dipengerusikan oleh seorang pengadil dari Sepanyol bernama Dr. Gonzalo Stampa, yang kemudian didapati telah meneruskan prosiding secara haram walaupun Mahkamah Tinggi Madrid telah mengarahkan agar timbang tara itu dihentikan. Akibat tindakannya yang melanggar keputusan mahkamah negaranya sendiri, Dr. Stampa telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Jenayah Madrid pada tahun 2023 atas kesalahan menghina mahkamah. Beliau dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan digantung daripada sebarang tugas sebagai pengadil timbang tara selama satu tahun.

  • Bukan hanya Mahkamah Madrid, malah Mahkamah Rayuan Paris dan sistem kehakiman di beberapa negara Eropah lain turut menolak kesahan dan penguatkuasaan “Final Award” tersebut apabila waris Sulu cuba menggunakan keputusan tribunal itu untuk membekukan aset Malaysia di luar negara.

Namun persoalan yang paling besar dan membimbangkan bukanlah sekadar keputusan tribunal itu sendiri. Soalan utama yang timbul ialah: siapa yang benar-benar berada di belakang gerakan ini? Siapa yang membiayai, menyusun strategi, dan menyalurkan dana guaman bagi proses timbang tara yang kompleks dan memerlukan perbelanjaan besar ini?

Petunjuk-petunjuk geopolitik menunjukkan bahawa ini bukanlah gerakan yang digerakkan oleh individu waris Sulu semata-mata. Sebaliknya, ia mempunyai sokongan tersirat daripada kerajaan Filipina, yang secara bersejarah tidak pernah menggugurkan tuntutannya terhadap Sabah. Malah lebih mendalam daripada itu, terdapat juga kaitannya dengan agenda lebih besar kuasa luar, khususnya Amerika Syarikat yang mempunyai kepentingan strategik mendalam di rantau ini.

Tribunal ini akhirnya dilihat bukan sekadar sebagai pertikaian undang-undang, tetapi satu bentuk "proxy lawfare", iaitu perang menggunakan saluran undang-undang antarabangsa untuk melemahkan kedaulatan sesebuah negara secara sah dari segi perundangan, tanpa perlu menembak sebutir peluru pun.


Filipina, Amerika dan Strategi Menghidupkan Semula Tuntutan

Isu tuntutan terhadap Sabah bukanlah sekadar suara-suara waris Kesultanan Sulu yang bergema dari luar. Ia sebenarnya berkait rapat dengan pendirian rasmi kerajaan Filipina yang hingga hari ini tidak pernah secara mutlak menggugurkan tuntutan mereka terhadap Sabah. Dalam dokumen dan kenyataan politik tertentu, Sabah masih disenaraikan sebagai wilayah yang dipertikaikan. Hal ini telah berulang kali menjadi isu diplomatik yang mengganggu hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina sejak 1963 hingga kini.

Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana isu ini sering digunakan sebagai modal nasionalis oleh ahli politik Filipina, terutama apabila kerajaan mereka menghadapi tekanan dalaman seperti krisis ekonomi, konflik dalaman atau kejatuhan sokongan awam. Dengan hanya menyebut semula “Sabah adalah milik Filipina”, mereka mampu meraih sokongan nasional tanpa perlu menyentuh isu sebenar di dalam negara mereka sendiri.

Di sebalik bayang Filipina, berdiri pula Amerika Syarikat sebagai kuasa tentera terbesar dunia yang mempunyai kepentingan mendalam di Asia Tenggara, khususnya dalam konteks membendung pengaruh China di Laut China Selatan. AS mempunyai pelbagai pangkalan tentera dan perjanjian kerjasama pertahanan dengan Filipina, termasuk kemudahan logistik, latihan bersama dan akses kepada pangkalan tentera laut.

Namun begitu, semua pengkalan ini terikat dengan had undang-undang domestik Filipina. Menurut Perlembagaan Filipina dan Perjanjian Pertahanan Bersama, wilayah Filipina tidak boleh digunakan secara terbuka untuk melancarkan serangan ketenteraan ofensif ke atas negara lain. Ini bermakna AS tidak boleh menggunakan Filipina sebagai pangkalan serangan terhadap China atau mana-mana pihak tanpa kelulusan khas dan akan menimbulkan sensitiviti politik besar di dalam negara.

Maka di sinilah Sabah muncul sebagai alternatif paling strategik. Kedudukannya yang berdekatan, kekurangan pengaruh militan anti-Amerika, dan kekayaan sumber semula jadi menjadikan Sabah satu sasaran yang sangat bernilai bukan sahaja dari segi geografi, tetapi juga dari segi kestabilan naratif perundangan.

Amerika tidak perlu menyerang untuk masuk. Mereka hanya perlu membuka jalan melalui saluran undang-undang antarabangsa. Jika Filipina berjaya mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya walaupun secara teknikal dan simbolik. Maka kemasukan tentera, pelabur, penasihat ketenteraan, NGO dan agensi pembangunan dari AS dan sekutunya akan menjadi “sah” di sisi undang-undang antarabangsa.

Inilah taktik penjajahan era baharu. Ia tidak datang dengan pencerobohan ketenteraan seperti dahulu. Ia datang dalam bentuk:

  • Tribunal yang kelihatan sah,

  • Perjanjian pelaburan yang kelihatan membina,

  • Bantuan pasca bencana yang kelihatan ihsan,

  • Dan sokongan diplomatik yang kelihatan sebagai rakan.

Tetapi di sebalik semua itu tersembunyi satu matlamat: menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah secara sah dan berperingkat, lalu menggunakannya sebagai pintu masuk pengaruh dan kawalan ke atas Asia Tenggara, khususnya dalam persaingan terbuka antara Amerika Syarikat dan China.


Undang-Undang Sebagai Senjata Baru

Inilah wajah penjajahan hari ini. Ia tidak datang dengan serangan. Ia datang dengan tribunal, dokumen, dan tekanan PBB. Semua ini kelihatan ‘halal’, kelihatan ikhlas. Tetapi ia sebenarnya berfungsi untuk satu perkara iaitu memasuki sesebuah negara tanpa menampakkan pencerobohan, lalu perlahan-lahan mengambil alih tanah, ekonomi, dan akhirnya kedaulatan.

Rakyat kebanyakan tidak sedar. Mereka tidak membaca dokumen diplomatik. Media arus perdana pula sering kali membisu atau dibisukan, kononnya atas nama menjaga hubungan antarabangsa. Namun tanpa kita sedar, tanah yang dulunya milik mutlak negara, kini sedang tergelincir keluar sedikit demi sedikit.

Kita sudah lihat skrip ini di banyak negara:

  • Iraq diceroboh dan dijatuhkan kerajaannya atas alasan palsu kononnya menyimpan senjata pemusnah besar-besaran. Bertahun-tahun selepas serangan, senjata itu tidak pernah ditemui, tetapi negara itu telah hancur dan sumber minyaknya dikawal asing.

  • Libya digulingkan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, dengan bantuan NATO dan kuasa Barat. Hasilnya, negara itu menjadi medan perang sivil yang tidak berpenghujung dan terperangkap dalam sistem ekonomi yang tidak lagi berpihak kepada rakyatnya.

  • Afghanistan dijajah semula atas nama perang melawan keganasan. Tetapi selepas dua dekad, kuasa yang datang kononnya membawa keamanan keluar tanpa penyelesaian, meninggalkan rakyat dalam kehancuran dan negara dalam kekosongan.

  • Syria, dilumpuhkan melalui gabungan perang proksi, naratif media dan sekatan ekonomi yang melumpuhkan kesatuan rakyatnya.

Skrip ini bukan ciptaan baharu. Ia adalah manual penjajahan era moden, diolah semula dalam versi bertali leher dan dokumen antarabangsa. Ia tidak lagi menggunakan tank dan peluru sebagai senjata utama, tetapi menggunakan akta, resolusi, memorandum persefahaman dan perjanjian pelaburan yang mempunyai perangkap tersembunyi.

Dan sekarang, skrip yang sama sedang menghampiri Sabah. Jika kita tidak membaca tanda-tandanya sekarang, kita akan menjadi penonton kepada satu lagi babak kejatuhan wilayah Islam, bukan kerana kita kalah berperang, tetapi kerana kita terlalu lambat membaca muslihat yang tersembunyi di sebalik kertas.


Penutup Bab 3: Bila Kita Diam, Mereka Maju

Kemenangan Malaysia dalam kes tribunal hanyalah satu helaian kecil dalam sebuah kitab peperangan yang panjang. Ia bukan noktah kepada isu, tetapi koma yang menandakan musuh sedang menyusun langkah baharu. Hari ini mereka gagal melalui satu saluran. Esok mereka akan muncul semula melalui saluran lain mungkin dengan tuntutan baru, tribunal baru, strategi baru dan dokumen yang lebih licik.

Kerana bagi mereka, Sabah bukan hanya soal wilayah. Ia adalah soal pengaruh, laluan strategik, dan titik penentu keseimbangan kuasa di Asia Tenggara. Selagi mereka tidak memilikinya, mereka akan terus mencuba. Dan selagi kita tidak sedar dan bersiap, kita akan terus menjadi mangsa.

Yang paling menggerunkan bukanlah kekuatan tentera musuh, bukan teknologi risikan mereka, dan bukan kekayaan mereka. Yang paling menakutkan ialah apabila umat Islam sendiri buta sejarah, tuli terhadap peringatan, dan lumpuh dalam membaca muslihat zaman. Kita tidak kalah kerana lemah, tetapi kerana tidak tahu bahawa kita sedang diperangi secara senyap. Kita tidak kalah kerana kalah di medan, tetapi kerana kita tidur ketika medan sedang berubah di sekeliling kita.

Dan begitulah, dalam sejarah umat, wilayah-wilayah Islam yang hilang bukan semuanya gugur kerana perang besar. Ada yang hilang kerana pengkhianatan. Ada yang hilang kerana perjanjian. Dan lebih menyedihkan, ada yang hilang kerana umatnya sendiri tidak tahu bahawa tanah itu sedang dirampas sedikit demi sedikit.

“Jangan sampai Sabah hilang dari tangan kita bukan kerana kita kalah berperang, tetapi kerana kita gagal membaca muslihat dalam kertas dan tandatangan.”

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.