Pertukaran Kiblat

BAHAGIAN 6: TIGA MILLAH DAN UJIAN BESAR PERTUKARAN KIBLAT

205 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
13 minit 14 saat

Bahagian 6: Tiga Millah dan Ujian Besar Pertukaran Kiblat

Siri: Pertukaran Kiblat


Pendahuluan

Sekarang kita sudah mempunyai tiga asas besar untuk memahami kisah pertukaran kiblat. Kita sudah melihat isu Millah Yahudi. Kita sudah melihat isu Millah Nasrani. Kita juga sudah melihat kedudukan Millah Ibrahim. Pada bahagian ini kita gabungkan semuanya. Tujuannya supaya apabila kita masuk kepada ayat pertukaran kiblat, kita sudah melihat susunan asas yang penting pada bahagian-bahagian sebelumnya. Dengan itu kita tidak akan membaca kisah kiblat sebagai kisah perubahan arah solat orang Islam semata-mata.

Sebab sebelum al-Quran membawa kita kepada ayat Nabi S.A.W menengadah ke langit, Allah S.W.T telah membuka dahulu persoalan millah. Yahudi tidak akan redha sehingga Nabi mengikuti millah mereka. Nasrani juga tidak akan redha sehingga Nabi mengikuti millah mereka. Kemudian Allah membawa Nabi Ibrahim A.S sebagai rujukan yang lebih tua, lebih asli dan lebih hanif daripada dua millah itu.


Tiga Millah Dalam Satu Blok

Tiga asas yang disebut pada pendahuluan di atas bukan datang daripada susunan kita semata-mata. Ia muncul dalam satu blok ayat yang sama, iaitu dalam rangka al-Baqarah 2:119 hingga 2:152.

Dalam blok ini, al-Quran mula-mula membuka isu Yahudi dan Nasrani melalui al-Baqarah 2:120:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada engkau sehingga engkau mengikuti millah mereka.”

Kemudian dalam al-Baqarah 2:135, al-Quran merakamkan pula dakwaan petunjuk daripada dua kelompok itu:

وَقَالُوا كُونُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ تَهْتَدُوا

“Mereka berkata: Jadilah Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu mendapat petunjuk.”

Lalu Allah memerintahkan jawapan:

قُلْ بَلْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

“Katakanlah: Bahkan, Millah Ibrahim yang hanif.”

Di sinilah kita nampak mengapa tiga asas itu perlu digabungkan sebelum kita masuk kepada ayat pertukaran kiblat. Yahudi datang dengan klaim petunjuk. Nasrani datang dengan klaim petunjuk. Al-Quran pula menjawab dengan Millah Ibrahim yang hanif.

Dengan susunan ini, pertukaran kiblat tidak lagi muncul sebagai peristiwa yang terpisah. Ia datang selepas al-Quran membuka pertarungan klaim millah antara Yahudi, Nasrani dan Millah Ibrahim.


Islam Para Nabi dan Nama Agama Yang Muncul Kemudian

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita perlu bezakan satu perkara. Islam yang dibawa oleh para nabi tidak sama dengan nama agama yang digunakan oleh manusia selepas itu.

Nabi Musa A.S berada atas Islam kepada Allah. Tetapi identiti Yahudi yang muncul kemudian tidak semestinya mewakili Islam Nabi Musa yang murni.

Nabi Isa A.S juga berada atas Islam kepada Allah. Tetapi identiti Nasrani yang muncul kemudian tidak semestinya mewakili Islam Nabi Isa yang murni.

Nabi Ibrahim A.S sebelum itu juga berada atas Islam kepada Allah. Millah Ibrahim dalam al-Quran ialah jalan hanif dan bukan syirik. Tetapi klaim manusia terhadap Ibrahim boleh berubah, bercampur dan diselewengkan.

Kita perlu berhati-hati dan Al-Quran juga mengingatkan kita. Seseorang boleh berkata, “Kami pengikut Musa.” Tetapi itu belum tentu bermaksud dia benar-benar membawa ajaran Nabi Musa A.S yang asal. Ada orang boleh berkata, “Kami pengikut Isa.” Tetapi itu belum tentu bermaksud dia benar-benar berada atas ajaran Nabi Isa A.S yang asal.

Sebab apabila masa berlalu jauh selepas seorang nabi diutus, pengikut yang datang kemudian boleh berubah. Mereka mungkin masih membawa nama nabi itu, tetapi isi ajarannya tidak semestinya kekal seperti yang dibawa oleh nabi tersebut. Jika kita memahami 6 Fasa Putaran Kekhalifahan Manusia kita akan tahu bahawa ada ajaran yang diwarisi, ada yang ditinggalkan dan ada pula perkara baru yang ditambah. 

Yang perlu dilihat ialah isi ajaran itu. Tidak kira agama apa, adakah ia membawa manusia tunduk kepada Allah? Bagaimana kepercayaan mereka, adakah mereka hanif dan bersih daripada syirik? Adakah mereka menjalani kehidupan dengan cara yang betul iaitu sebagai seorang muslim? Yang paling penting, adakah ia menerima wahyu terakhir yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W?


Tiga Millah dan Arah Ibadah Mereka

Apabila kita bercakap tentang millah dalam bahagian ini, kita sedang melihat tiga jalan agama yang disebut sebelum al-Quran masuk kepada kisah pertukaran kiblat. Pertama, jalan Yahudi. Kedua, jalan Nasrani. Ketiga, Millah Ibrahim yang hanif. Tiga jalan ini penting kerana setiap satunya bukan sekadar nama. Setiap satunya ada arah ibadah, ada tempat yang mereka anggap penting dan ada simbol agama yang mereka pertahankan.

Disebabkan Yahudi mempunyai kiblat mereka dan begitu juga Nasrani serta Millah Ibrahim maka sudah tentu isu kiblat menjadi isu besar. Kiblat bukan sekadar arah muka ketika solat. Kiblat juga menunjukkan ke mana seseorang umat diarahkan untuk menghadap dalam ibadahnya. Apabila satu umat mempunyai kiblat, mereka bukan hanya mempunyai arah. Mereka juga mempunyai tempat yang menjadi tumpuan ibadah, tanda kesatuan dan tanda ketaatan mereka.

Sebab itulah apabila kiblat dipalingkan kepada al-Masjid al-Haram, ia bukan sekadar perubahan arah bagi orang Islam sahaja. Ia menjadi ujian kepada semua millah yang sedang disebut dalam blok ayat yang sedang kita bincangkan dalam siri ini. Yahudi diuji kerana selama ini mereka mempunyai arah dan klaim warisan mereka sendiri iaitu Baitul Maqdis di Jerusalem. Nasrani diuji kerana mereka juga mempunyai arah, simbol dan klaim agama mereka sendiri yang pada awalnya menghadap arah mashriq. Orang yang mengaku membawa Millah Ibrahim juga diuji, kerana bukan semua yang menyebut nama Ibrahim benar-benar kembali kepada Ibrahim yang hanif.

Di sinilah pertukaran kiblat menjadi sebuah panggilan besar. Semua millah sedang dipanggil supaya kembali kepada induk asal, iaitu Millah Ibrahim yang hanif dan muslim. Bukan Ibrahim yang sudah diklaim oleh Yahudi. Bukan Ibrahim yang sudah diklaim oleh Nasrani. Bukan juga Ibrahim yang telah dicampur dengan syirik dan penyembahan berhala.

Sebaliknya, yang dipanggil ialah Ibrahim yang hanif. Ibrahim yang tunduk kepada Allah. Ibrahim yang dikaitkan dengan al-Bayt. Ibrahim yang bersama Ismail membina dan menyucikan rumah Allah. Ibrahim yang berdoa agar lahir satu umat yang Muslim. Maka pertukaran kiblat bukan sekadar soal geografi. Ia adalah ujian besar kepada semua millah.

Nabi Muhammad S.A.W menyampaikan perintah Allah ini kepada manusia. Baginda bukan diutus untuk satu kelompok kecil sahaja. Baginda datang sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran. Selepas kebenaran disampaikan, siapa yang mahu menerima, maka itu jalan hidayah. Siapa yang mahu menolak, maka itu pilihan mereka. Nabi S.A.W tidak dipertanggungjawabkan atas penghuni Jahim.

Dengan itu, perubahan kiblat menjadi tanda bahawa Allah sedang memisahkan manusia daripada klaim millah yang bercampur-campur, lalu memanggil mereka kembali kepada akar asal iaitu Millah Ibrahim yang hanif, dalam keadaan tunduk kepada Allah.


Mengapa Pertukaran Kiblat Menjadi Ujian Besar

Selepas kita faham bahawa pertukaran kiblat adalah panggilan untuk kembali kepada Millah Ibrahim yang hanif, barulah kita boleh melihat mengapa ia menjadi ujian yang besar. Ini bukan sekadar ujian menukar arah muka ketika solat. Ini ujian untuk melihat siapa yang benar-benar tunduk kepada perintah Allah apabila wahyu telah datang.

Hal ini disebut dengan jelas dalam al-Baqarah 2:143:

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

“Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau dahulu berada di atasnya melainkan supaya Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling ke belakang.”

Ayat ini menunjukkan bahawa kiblat yang dahulu memang dijadikan sebagai ujian. Melalui pertukaran kiblat, Allah menzahirkan siapa yang benar-benar mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling semula ke belakang.

Maksud berpaling ke belakang di sini bukan sekadar memusingkan tubuh ke arah lama. Ia membawa makna kembali kepada pegangan lama, kebiasaan lama dan klaim lama selepas wahyu datang membawa pemisahan yang jelas.

Manusia memang mudah mempertahankan apa yang sudah lama mereka pegang. Arah yang sudah biasa boleh menjadi kebanggaan. Tempat yang sudah lama dianggap penting boleh menjadi lambang agama. Nama yang diwarisi turun-temurun boleh membuat manusia rasa mereka sudah berada atas kebenaran.

Tetapi apabila Allah memerintahkan perubahan, semua itu diuji. Orang yang benar-benar mengikuti Rasul akan menerima perubahan itu kerana mereka tahu Rasul tidak bergerak dengan kehendak sendiri. Baginda bergerak dengan wahyu. Namun orang yang sudah terikat dengan arah lama akan merasa perubahan itu sebagai ancaman. Mereka bukan lagi melihatnya sebagai perintah Allah, tetapi melihatnya sebagai kehilangan pengaruh, kehilangan simbol dan kehilangan warisan yang mereka pertahankan. Sebab itu pertukaran kiblat menzahirkan isi hati manusia. Ada yang menerima kerana tunduk kepada wahyu. Ada yang menolak kerana masih mempertahankan apa yang sudah lama mereka pegang.

Di sinilah pertukaran kiblat menjadi ujian besar untuk semua sampai kepada kita sekarang masih diuji. Ia menzahirkan beza antara orang yang mengikuti Allah dan Rasul dengan orang yang hanya mempertahankan arah, nama dan warisan yang sudah lama mereka pegang.


Peristiwa Yang Masuk Ke Dalam Solat

Peristiwa pertukaran kiblat ini menjadi lebih menarik kerana ia bukan sekadar arahan yang difahami secara teori. Menurut riwayat yang masyhur tentang Masjid Qiblatain, perintah perubahan kiblat sampai kepada Nabi S.A.W ketika solat berjemaah sedang berlangsung. Baginda lalu mengubah arah daripada Baitul Maqdis Jerusalem kepada al-Masjid al-Haram, Makkah dan para sahabat yang solat bersama baginda mengikuti perubahan itu. Riwayat-riwayat sahih juga menunjukkan bahawa berita perubahan kiblat sampai kepada sahabat lain di tempat yang berbeza ketika mereka sedang solat.

Antara dalil sahih yang menunjukkan perkara ini ialah riwayat-riwayat berikut. Dalam Sahih al-Bukhari, Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa ketika orang ramai sedang solat Subuh di Quba’, datang seseorang lalu berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah menerima wahyu pada malam itu dan diperintahkan menghadap ke Kaabah. Ketika itu wajah mereka sedang menghadap ke Syam, lalu mereka terus berpusing menghadap ke Kaabah. Rujukan: Sahih al-Bukhari 403.

Riwayat yang sama juga terdapat dalam Sahih Muslim. Ibn Umar R.A menyebut bahawa orang ramai sedang solat di Quba’, kemudian datang berita bahawa Rasulullah S.A.W telah diperintahkan menghadap ke Kaabah. Maka mereka yang sedang menghadap ke Syam terus berpusing menghadap ke Kaabah. Rujukan: Sahih Muslim 526a.

Dalam riwayat lain, al-Bara’ bin Azib R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W solat menghadap Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Kemudian apabila kiblat dipalingkan ke Kaabah, seorang lelaki yang sudah solat bersama Nabi S.A.W keluar dan melalui sekumpulan orang yang sedang solat dalam keadaan rukuk. Lelaki itu bersaksi bahawa dia telah solat bersama Rasulullah S.A.W menghadap ke Kaabah. Maka mereka pun terus mengubah arah mereka ke Kaabah ketika mereka masih dalam solat. Rujukan: Sahih al-Bukhari 40.

Dalam Sahih Muslim pula, Anas R.A meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada Bani Salamah melalui sekumpulan orang yang sedang solat Subuh dalam keadaan rukuk. Dia berkata dengan suara yang kuat bahawa kiblat telah diubah. Maka mereka pun berpaling ke arah kiblat yang baru dalam keadaan itu juga. Rujukan: Sahih Muslim 527.

Dengan riwayat-riwayat ini, kita dapat melihat bahawa pertukaran kiblat bukan hanya arahan yang diketahui selepas solat selesai. Dalam beberapa keadaan, berita perubahan itu sampai ketika solat sedang berlangsung, lalu jemaah mengubah arah dalam solat itu juga.


Ujian Untuk Sahabat dan Ujian Untuk Millah Lain

Pertukaran kiblat ini menjadi ujian kepada beberapa lapisan manusia. Pertama, ia menjadi ujian kepada sahabat yang berada bersama Nabi S.A.W ketika perintah perubahan kiblat itu berlaku. Jika kita mengambil riwayat masyhur tentang Masjid Qiblatain, mereka menyaksikan sendiri bagaimana Rasulullah S.A.W mengubah arah dalam solat berjemaah. Apabila Rasul menghadap ke arah yang baru, mereka mengikut Rasul. Ini bukan soal memilih arah berdasarkan kebiasaan. Ini soal mengikuti Rasul apabila perintah Allah datang.

Kedua, ia menjadi ujian kepada sahabat lain yang menerima berita perubahan kiblat selepas itu. Mereka tidak berada bersama Nabi S.A.W ketika perintah itu turun. Ada yang mengetahui perubahan itu selepas solat, setelah berita tersebar kepada mereka. Namun dalam riwayat tertentu, ada juga jemaah yang sedang solat lalu didatangi oleh seseorang dari luar solat yang membawa berita bahawa Rasulullah S.A.W telah diperintahkan menghadap ke Kaabah. Yang bercakap bukan orang yang sedang solat berjemaah. Yang datang itu pembawa berita dari luar. Apabila jemaah itu yakin bahawa berita tersebut adalah perintah Allah kepada Rasul-Nya, mereka terus mengubah arah dalam solat.

Namun ujian ini tidak berhenti pada sahabat sahaja. Pertukaran kiblat juga menggoncang Yahudi yang mempunyai arah dan klaim warisan mereka sendiri. Dalam riwayat al-Bara’ bin Azib R.A, disebut bahawa Yahudi dan Ahli Kitab suka ketika Nabi S.A.W menghadap Baitul Maqdis, tetapi mereka tidak suka apabila baginda dipalingkan ke arah Kaabah.

Adapun Nasrani, kita tidak perlu menggambarkan seolah-olah mereka menyaksikan peristiwa itu secara langsung. Tetapi dalam susunan ayat yang sedang kita bincangkan, Nasrani tetap termasuk dalam perbahasan millah kerana al-Quran telah menyebut Yahudi dan Nasrani sebelum masuk kepada kisah pertukaran kiblat.

Maka ujian kiblat ini berlaku secara langsung kepada sahabat, menggoncang klaim Yahudi yang ada di sekitar Nabi S.A.W dan secara prinsip tetap menjadi panggilan kepada semua millah supaya kembali kepada Millah Ibrahim yang hanif.


Mengapa Orang Sufaha’ Mempersoalkan?

Selepas semua susunan ini, barulah kita lebih bersedia untuk masuk kepada al-Baqarah 2:142:

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Orang-orang sufaha’ daripada manusia akan berkata: Apakah yang memalingkan mereka daripada kiblat mereka yang dahulu mereka berada di atasnya?”

Dalam artikel pertama siri ini, kita telah membahaskan secara khusus siapakah golongan as-sufaha’ yang mempersoalkan pertukaran kiblat ini. Sila rujuk: Bahagian 1: Siapakah As-Sufaha’ Yang Mempersoalkan Pertukaran Kiblat. Maka dalam bahagian ini, kita tidak perlu mengulang perbahasan itu secara panjang.

Yang perlu kita lihat sekarang bukan lagi siapakah sufaha’ itu, tetapi mengapa mereka mempersoalkan pertukaran kiblat ini. Mereka mempersoalkan bukan semata-mata kerana arah solat berubah. Mereka mempersoalkan kerana pertukaran kiblat itu mendedahkan sesuatu.

Selama ini mereka mahu umat Islam berada dalam bayang-bayang arah mereka. Mereka mahu Nabi S.A.W kelihatan seolah-olah masih bergantung kepada kiblat lama. Mereka mahu umat Islam terus dilihat sebagai kelompok yang belum mempunyai pusat sucinya sendiri.

Tetapi apabila Allah memalingkan kiblat kepada al-Masjid al-Haram, pembohongan itu mula terbongkar. Umat Islam tidak lagi berjalan di belakang mereka. Nabi S.A.W tidak tunduk kepada millah mereka. Arah umat ini tidak lagi ditentukan oleh warisan kelompok mereka.

Sebab itu mereka bertanya dengan nada mempersoalkan:

مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang memalingkan mereka daripada kiblat mereka yang dahulu mereka berada di atasnya?”

Soalan itu nampak seperti soalan tentang arah. Tetapi sebenarnya ia lahir daripada rasa tergugat apabila umat ini dipisahkan daripada pengaruh mereka.


Pertukaran Kiblat Sebagai Pemisah

Pertukaran kiblat menjadi pemisah kerana al-Quran sendiri menyebut perkara itu dalam al-Baqarah 2:143:

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

“Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau dahulu berada di atasnya melainkan supaya Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling ke belakang.”

Surah al-Baqarah 2:143

Pada zaman turunnya ayat ini, pertukaran kiblat menjadi ujian yang memisahkan manusia di sekitar peristiwa itu. Para sahabat diuji dengan ketaatan kepada Rasul. Yahudi dan Ahli Kitab diuji dengan klaim arah mereka. Orang-orang yang mempersoalkan perubahan kiblat pula dizahirkan melalui soalan mereka.

Perkara ini juga kelihatan dalam riwayat al-Bara’ bin Azib R.A. Dalam Sahih al-Bukhari 40, disebut bahawa Yahudi dan Ahli Kitab suka ketika Nabi S.A.W menghadap Baitul Maqdis. Tetapi apabila Nabi S.A.W menghadap ke arah Kaabah, mereka tidak menyukainya. Di sinilah jelas bahawa pertukaran kiblat bukan sekadar perubahan arah, tetapi pemisah antara orang yang mengikuti Rasul dan orang yang mempertahankan klaim lama.

Selagi Nabi S.A.W menghadap arah yang mereka sukai, mereka boleh merasa seolah-olah Nabi masih berada di bawah bayang-bayang arah mereka. Tetapi apabila Allah memalingkan kiblat kepada al-Masjid al-Haram, klaim itu mula runtuh.

Inilah yang memisahkan orang yang mengikuti Rasul daripada orang yang mahu Rasul mengikuti millah mereka. Ia juga memisahkan orang yang tunduk kepada wahyu daripada orang yang mempertahankan pegangan lama. Ia memisahkan umat yang menerima perintah Allah daripada klaim Yahudi dan Ahli Kitab terhadap arah ibadah mereka.

Adapun Nasrani, kita tidak perlu mengatakan mereka menyaksikan peristiwa itu secara langsung. Tetapi mereka tetap termasuk dalam kerangka besar ayat kerana al-Baqarah 2:120 dan 2:135 telah menyebut Yahudi dan Nasrani sebelum masuk kepada kisah pertukaran kiblat.

Jadi, apabila kita menyebut pertukaran kiblat sebagai pemisah, maksudnya bukan sekadar tafsiran bebas. Al-Baqarah 2:143 sendiri menyebut bahawa kiblat dijadikan untuk menzahirkan siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling ke belakang. Dengan dua dalil ini, kita dapat melihat bahawa pertukaran kiblat memang menjadi garis pemisah. Ia memisahkan ketaatan kepada wahyu daripada keterikatan kepada arah lama dan klaim lama.


Penutup

Maka di sinilah bahagian ini boleh ditutup. Pertukaran kiblat bukan sekadar kisah perubahan arah solat. Ia adalah ujian besar yang mengikat semula perbahasan tiga millah: Yahudi dengan klaimnya, Nasrani dengan klaimnya, dan Ibrahim dengan jalan hanifnya.

Melalui pertukaran kiblat, Allah memisahkan umat yang mengikuti Rasul daripada mereka yang masih mempertahankan arah lama, nama lama dan klaim lama. Dari sini barulah kita lebih bersedia untuk masuk kepada al-Baqarah 2:142 dan memahami mengapa orang-orang sufaha’ mempersoalkan pertukaran kiblat itu.

 

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.