Spektrum Perbuatan Manusia Menurut Al-Quran

SPEKTRUM -4 BERTERUSAN BURUK

10 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
10 minit 14 saat

Spektrum Perbuatan Manusia Menurut Al-Quran

Spektrum -4 Berterusan Buruk


Tahap -4 ialah tahap apabila keburukan bukan lagi sekadar berlaku secara sekali sekala. Ia sudah menjadi tabiat atau kebiasaan yang dijaga, diulang, dibiasakan, dibela, dipertahankan dan diteruskan. Pada tahap ini, seseorang bukan sahaja melakukan dosa, tetapi mula hidup bersama dosa itu, membina alasan untuknya, mempertahankannya, mengulanginya bahkan menolak peringatan yang datang kepadanya. Akhirnya ia dianggap seperti sebahagian daripada hidup.

Pada tahap ini, seseorang bukan sekadar pernah melakukan dosa. Dia sudah mula selesa dengannya. Dia mencari alasan untuk terus berada di situ. Dia menolak teguran. Dia mempertahankan kesalahan. Kadang-kadang dia tahu perbuatan itu salah, tetapi dia tetap memilih untuk meneruskannya.

Inilah sudah masuk kepada bahagian yang paling berbahaya. Setiap manusia boleh tersilap. Setiap manusia boleh lemah. Setiap manusia boleh terjatuh ketika marah, lalai, cuai atau tersalah langkah. Namun, masalah sebenar bermula apabila seseorang sudah tidak mahu bangkit.

Dia tidak mahu berhenti. Dia tidak mahu kembali. Dia tidak mahu membetulkan diri. Dia tidak mahu mengaku bahawa jalan yang sedang dilaluinya itu salah. Lebih parah lagi, dia mula mempertahankan keburukan itu seolah-olah ia benar.

Di sinilah keburukan berubah daripada satu kesalahan menjadi satu keadaan hidup. Dari satu dosa menjadi tabiat. Dari satu tabiat menjadi benteng keegoan. Dari benteng ego itu, hati semakin susah menerima peringatan.

Maka Spektrum -4 bukan sekadar tentang orang yang jatuh. Ia tentang orang yang memilih untuk terus tinggal dalam kejatuhan itu.


Al-Quran membezakan antara orang yang tersilap lalu kembali dengan orang yang berterusan dalam kesalahan.

وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ...

“...Dan mereka tidak berterusan atas apa yang mereka lakukan sedangkan mereka mengetahui.”

Petikan Surah Āli ‘Imrān 3:135

Ayat ini sangat penting sebagai asas -4.

Perkataan يُصِرُّوا membawa makna berkeras, terus menetap, berdegil atau berterusan dalam sesuatu. Maka ayat ini menunjukkan bahawa orang bertakwa mungkin tersilap, tetapi mereka tidak menjadikan kesilapan itu sebagai tempat tinggal. Mereka tidak berterusan dalam apa yang mereka lakukan sedangkan mereka tahu.

Maka lawan kepada keadaan ini ialah -4.

Iaitu apabila seseorang berterusan atas keburukan sedangkan dia mengetahui. Dia tahu lidahnya merosakkan, tetapi dia teruskan. Dia tahu tulisannya mengelirukan, tetapi dia pertahankan. Dia tahu marahnya menghancurkan keluarga, tetapi dia jadikan alasan bahawa “memang aku begini”. Dia tahu dia menggunakan ayat Allah untuk memenangkan kehendak sendiri, tetapi dia teruskan kerana ia menguntungkan dirinya. Dia tahu perbuatannya zalim, tetapi dia membina sistem atau persekitaran supaya kezaliman itu kelihatan normal.


Al-Quran juga menyebut keadaan hati yang tertutup akibat apa yang manusia usahakan.

كَلَّاۖ بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekali-kali tidak. Bahkan telah menutupi hati mereka apa yang mereka usahakan.”

Surah al-Muṭaffifīn 83:14

Ayat ini menunjukkan kesan terkumpul daripada perbuatan manusia. Perbuatan yang diulang-ulang bukan hanya melibatkan implikasi fizikal disekeliling atau di luar tubuh. Ia juga boleh membentuk hati, menjadi lapisan yang menutup penerimaan terhadap kebenaran.

Keburukan yang berulang boleh menjadi hijab. Dosa yang dibela boleh menjadi watak bagi diri. Kejahatan yang dinormalisasi boleh menjadi budaya dan sikap. Kesalahan yang dipertahankan boleh menjadikan hati semakin keras.

Maka -4 ialah tahap apabila keburukan mula menguasai arah hidup seseorang.


Al-Quran juga menyebut tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah.

...أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ

“Adakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya?...”

Petikan Surah al-Jāthiyah 45:23

Ayat ini penting sangat untuk memahami -4 kerana ia menunjukkan keadaan apabila manusia tidak lagi sekadar mengikut nafsu sekali-sekala. Nafsu itu sudah menjadi pusat keputusan. Apa yang dia suka menjadi standard. Apa yang menguntungkannya menjadi hukum dan SOP. Apa yang memuaskan egonya menjadi alasan dan sandaran.

Inilah bahaya berterusan buruk. Pada awalnya, seseorang hanya melakukan dosa. Lama-kelamaan, dia mempertahankan dosa itu. Kemudian dia membina hujah untuk dosa itu. Kemudian dia marah kepada orang yang menegur dosa itu. Akhirnya dia menjadikan nafsunya sebagai pusat pertimbangan dan keputusan.


Al-Quran juga menyebut tentang orang yang terus melampaui batas dalam kesesatan.

وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ...

“...Dan Dia membiarkan mereka dalam pelampauan batas mereka, mereka terumbang-ambing.”

Petikan Surah al-Baqarah 2:15

Ayat ini menunjukkan keadaan yang sangat menakutkan. Apabila manusia berterusan dalam ṭughyān, iaitu pelampauan batas, dia boleh dibiarkan terus terumbang-ambing. Dia menyangka dia masih berjalan, padahal dia sedang hanyut.

Berterusan buruk bukan hanya tentang dosa yang banyak. Ia juga tentang hilangnya sensitiviti terhadap dosa. Dosa yang dahulu membuat hati takut, lama-kelamaan menjadi biasa.

Kezaliman yang dahulu terasa berat, lama-kelamaan menjadi cara hidup. Pendustaan yang dahulu perlu disembunyikan, lama-kelamaan menjadi strategi terbuka.


Al-Quran juga menyebut tentang manusia yang dihiasi buruk amal mereka lalu mereka melihatnya sebagai baik.

...أَفَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ فَرَءَاهُ حَسَنًا

“Maka apakah orang yang dihiasi baginya keburukan amalnya lalu dia melihatnya sebagai baik?...”

Petikan Surah Fāṭir 35:8

Ayat ini sangat tepat untuk -4.

Pada tahap -1, seseorang mungkin tahu dia salah.

Pada tahap -2, keburukannya mula memberi kesan kepada orang lain.

Pada tahap -3, keburukannya menjadi berat kerana menyentuh kebenaran, agama atau kezaliman besar.

Tetapi pada tahap -4, keburukan itu boleh kelihatan baik pada pandangannya sendiri.

Dia bukan sahaja melakukan yang salah. Dia melihat yang salah itu sebagai benar.

Dia bukan sahaja menzalimi diri sendiri. Dia melihat kezalimannya sebagai perjuangan.

Dia bukan sahaja menipu. Dia melihat tipuannya sebagai strategi. 

Dia bukan sahaja memutar ayat. Dia melihat pemutarannya sebagai kecerdikan.

Ini antara bentuk paling berbahaya dalam spektrum.


Al-Quran juga menyebut tentang orang yang apabila dilarang daripada membuat kerosakan, mereka mendakwa diri sebagai pembaiki.

Surah al-Baqarah 2:11-12

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا۟ فِي ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi,’ mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami hanyalah orang-orang yang memperbaiki.’ Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.”

Ayat ini menunjukkan satu bentuk -4 yang sangat bahaya. Mereka bukan sekadar melakukan kerosakan. Mereka sudah mempertahankan kerosakan itu dengan nama pembaikan. Apabila dilarang daripada membuat fasad, mereka tidak berhenti. Mereka menjawab seolah-olah merekalah pihak yang sedang melakukan islah.

Di sini keburukan sudah menjadi lebih berat kerana pelakunya tidak lagi melihat dirinya sebagai perosak. Dia melihat dirinya sebagai pembaiki. Maka pintu taubat menjadi semakin jauh kerana dia tidak merasa sedang melakukan salah. Dia bukan hanya melakukan fasad, tetapi membina alasan supaya fasad itu kelihatan seperti kebaikan.

Inilah bentuk -4 apabila keburukan sudah dibela, dihias dan diberi nama yang baik. Fasad tidak lagi dipanggil fasad. Ia dipanggil pembaikan. Kerosakan tidak lagi diakui sebagai kerosakan. Ia dipertahankan sebagai perjuangan, kebaikan atau reformasi.


Al-Quran juga menyebut tentang hati yang menjadi keras.

Surah al-Ḥadīd 57:16

...فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ...

“...Maka hati mereka menjadi keras...”

Ayat ini menunjukkan bahawa hati boleh berubah keadaan. Hati yang selalu menolak, melengah, mempertahankan keburukan dan tidak kembali kepada peringatan boleh menjadi keras. Apabila hati keras, nasihat tidak mudah masuk. Ayat-ayat Allah tidak lagi menggoncang kesedaran. Teguran tidak lagi melembutkan bahkan dosa pun tidak lagi menimbulkan rasa takut.

Maka -4 ialah tahap apabila keburukan bukan hanya berlaku pada perbuatan, tetapi mula membentuk hati.


Secara teknikal, -4 mempunyai beberapa ciri utama.

  • Pertama, ada unsur berterusan. Keburukan itu bukan lagi tergelincir sekali. Ia diulang, dijaga, dibiasakan atau dibiarkan terus hidup.
  • Kedua, ada unsur mempertahankan. Pelaku mula membela kesalahannya. Dia mencari alasan. Dia menyerang orang yang menegur. Dia menukar topik. Dia menyalahkan orang lain. Dia menganggap teguran sebagai ancaman.
  • Ketiga, ada unsur normalisasi. Keburukan itu mula dianggap biasa. Dosa tidak lagi terasa dosa. Kezaliman tidak lagi terasa zalim. Fitnah tidak lagi terasa fitnah. Manipulasi tidak lagi terasa salah.
  • Keempat, ada unsur identiti. Seseorang mula berkata, “memang aku begini,” “ini cara aku,” “kalau tak suka, jangan ikut,” atau “inilah jalan kami.” Pada tahap ini, keburukan bukan lagi sekadar perbuatan. Ia menjadi cara dia mengenal dirinya.
  • Kelima, ada unsur sistem dan standard. Keburukan boleh berkembang menjadi kaedah tetap. Contohnya sistem keluarga yang dibina atas takut, sistem ilmu yang dibina atas manipulasi, sistem politik yang dibina atas penipuan, sistem dakwah yang dibina atas kultus tokoh atau sistem bisnes yang dibina atas penindasan.
  • Keenam, ada unsur penolakan peringatan. Apabila diberi dalil, dia berpaling. Apabila dibawa bukti, dia mencari helah. Apabila diberi peluang membetulkan, dia memilih mempertahankan kesalahan.
  • Ketujuh, ada kesan pada hati. Keburukan yang berulang dan dipertahankan boleh menutup hati, mengeraskan jiwa dan memadam rasa malu terhadap dosa.

Contoh dari sudut lidah.

Seseorang biasa mencarut, menghina dan merendahkan orang. Pada awalnya, ia mungkin -1. Apabila dia mengulangnya sampai orang takut mendekatinya, ia menjadi lebih buruk. Apabila dia mempertahankannya dengan berkata, “Aku memang jenis cakap terus terang,” sedangkan hakikatnya dia menyakiti manusia, ia mula masuk -4. Lidah yang buruk sudah menjadi identiti.


Contoh dari sudut keluarga.

Dia sering memarahi keluarga dengan kata-kata kasar. Dia tahu ia melukakan, tetapi tetap mengulangnya. Apabila ditegur, dia berkata, “Kalau aku tak keras, semua orang pijak kepala.” Dia menjadikan kekasaran sebagai sistem dalam rumah. Anak-anak takut, pasangan tertekan dan rumah hilang aman. Ini -4 kerana keburukan sudah menjadi pola dalam kehidupan.


Contoh dari sudut ilmu.

Dia sudah tahu dalil yang dia gunakan tidak tepat, tetapi dia terus menggunakannya kerana hujah itu popular dan menguntungkan. Dia tidak mahu membetulkan artikel lama. Dia tidak mahu mengaku silap. Dia menyerang orang yang membawa pembetulan. Ini -4 kerana kesalahan ilmu sudah dipertahankan secara berterusan.


Contoh dari sudut penulisan.

Seseorang biasa memotong konteks, memilih fakta separuh, membina tajuk mengelirukan dan mengarah pembaca kepada kesimpulan palsu. Pada awalnya, mungkin satu kesalahan. Tetapi apabila ia menjadi gaya penulisan tetap, ia -4. Penulisan bukan lagi amanah. Ia menjadi mesin manipulasi.


Contoh dari sudut agama.

Seseorang menyandarkan sesuatu ajaran palsu kepada Allah atau Rasul, lalu terus mempertahankannya walaupun bukti pemalsuan dibentangkan. Dia membina pengikut, menyerang pengkritik, menukar tafsiran, memadam soalan dan menuntut ketaatan kepadanya. Ini -4. Dusta agama bukan sahaja berlaku. Ia menjadi sistem.


Contoh dari sudut media sosial.

Seseorang menjadikan fitnah sebagai kandungan tetap. Setiap hari dia mencari isu untuk membakar emosi para pengikut. Dia tahu tidak semua maklumat sahih, tetapi dia teruskan kerana engagement tinggi. Ini -4 kerana keburukan menjadi industri dan tabiat.


Contoh dari sudut sedekah.

Seseorang memberi bantuan, tetapi bantuan itu sentiasa digunakan untuk membeli kesetiaan, mengugut, memalukan penerima dan menguasai orang susah. Jika ia berlaku sekali, itu sudah buruk. Jika ia menjadi kaedah tetap, ia -4. Kebaikan zahir telah dijadikan sistem kawalan.


Contoh dari sudut kuasa.

Seseorang menggunakan jawatan untuk menutup salah, menekan orang bawahan dan melindungi kumpulannya. Apabila ditegur, dia menggunakan sistem untuk menghukum orang yang menegur. Ini -4 kerana kezaliman bukan hanya berlaku. Ia dipertahankan oleh struktur.


Contoh dari sudut harta.

Seseorang menipu dalam urusan bisnes. Jika sekali dan dia bertaubat, ia mungkin berhenti sebagai keburukan. Tetapi jika dia membina model bisnes atas penipuan, menyembunyikan kecacatan, menindas pelanggan dan melatih pekerja untuk berbohong, itu -4. Dosa menjadi sistem rezeki.


Contoh dari sudut marah.

Seseorang tidak lagi berusaha mengawal marah. Dia menjadikan marah sebagai senjata. Semua orang mesti takut kepadanya. Dia menggunakan suara tinggi, ugutan, diam menghukum dan penghinaan sebagai cara mengawal orang. Ini -4 kerana marah menjadi raja dalam dirinya.


Contoh dari sudut sangkaan.

Seseorang membiasakan diri bersangka buruk kepada semua orang yang tidak setuju dengannya. Dia menafsirkan setiap teguran sebagai serangan. Dia membina kelompok yang hidup atas curiga dan kebencian. Ini -4 kerana sangkaan buruk menjadi sudut pandang tetap untuk melihat manusia.


Contoh dari sudut menolak kebenaran.

Seseorang diberi dalil, diberi ruang semak, diberi penjelasan dan diberi peluang kembali. Tetapi dia memilih menutup telinga, menyerang pembawa dalil dan mempertahankan kesalahan kerana takut kehilangan pengaruh. Ini -4 kerana penolakan itu bukan lagi jahil. Ia sudah menjadi pendirian.


Contoh dari sudut budaya.

Satu kelompok membiasakan penghinaan, fitnah, manipulasi dalil dan serangan peribadi sebagai cara mempertahankan kumpulan. Mereka mendidik ahli baru untuk ikut budaya itu. Ini -4 pada skala kelompok kerana keburukan sudah diwariskan sebagai cara hidup bersama.


Kesimpulan

Maka -4 ialah tahap keburukan yang paling bawah dalam spektrum ini.

Bukan kerana satu dosa sahaja. Tetapi kerana dosa itu tidak dihentikan.

Bukan kerana satu kesilapan sahaja. Tetapi kerana kesilapan itu dipertahankan.

Bukan kerana satu kezaliman sahaja. Tetapi kerana kezaliman itu dinormalisasi.

Bukan kerana satu dusta sahaja. Tetapi kerana dusta itu dijadikan sistem.

Bukan kerana seseorang pernah jatuh. Tetapi kerana dia memilih tinggal di bawah sedangkan jalan kembali masih terbuka.

Sebab itu -4 perlu dilihat dengan sangat serius.

Selagi seseorang sedar, berhenti, bertaubat dan membetulkan diri, dia masih boleh naik.

Tetapi apabila seseorang terus berdegil, mempertahankan keburukan, menolak peringatan dan membina hidup di atas kesalahan, dia sedang berada di wilayah paling berbahaya dalam spektrum ini.

Berterusan buruk ialah apabila dosa tidak lagi sekadar berlaku, tetapi diulang, dipertahankan, dinormalisasi dan dijadikan tabiat, identiti atau sistem hidup. Ia adalah keadaan paling bahaya kerana keburukan tidak lagi hanya merosakkan perbuatan, tetapi mula menutup hati dan membentuk cara manusia melihat kebenaran.


Klik untuk bantu kami

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.