Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel

8 PERSAMAAN UTAMA ANTARA THE 10 COMMANDMENTS DAN SENARAI KATA PERINTAH BANI ISRAEL DALAM AL-QURAN

132 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
6 minit 13 saat

8 Persamaan Utama Antara The 10 Commandments dan Senarai Kata Perintah Bani Israel Dalam al-Quran


Setelah kita melihat kedua-dua bentuk paparan ini, satu daripada Kitab Perjanjian Lama dan satu lagi daripada al-Quran, maka langkah pertama yang paling elok adalah melihat dahulu titik-titik persamaan antara keduanya. Langkah ini sangat penting supaya kita semua tidak tersalah faham lalu menyangka bahawa semua yang ada dalam Kitab Perjanjian Lama mesti ditolak secara pukul rata. Tidak perlu tolak semua.

Kaedah yang betul ialah kita jadikan al-Quran sebagai kayu ukur. Apa yang masih sama dengan al-Quran, maka di situlah kita melihat jejak wahyu asal yang masih berbaki. Adapun yang bercanggah, yang terkurang, yang berubah atau yang gagal membawa maksud penuh perjanjian Allah, maka semua itu tidak boleh dijadikan pegangan. Sebab itulah kita perlu lihat persamaan dahulu sebelum masuk kepada perbezaan.


Persamaan pertama yang paling ketara ialah kedua-duanya dimulakan dengan tauhid.

Dalam The 10 Commandments, larangan yang paling awal ialah jangan ada tuhan lain selain Allah dan jangan membuat patung berhala untuk disembah.

Dalam al-Quran pula, rangka perintah itu dibuka dengan firman Allah, لَّا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ. Ini menunjukkan bahawa asas perjanjian itu tetap sama.

Bani Israel diperintah supaya tidak meletakkan ilah yang lain bersama Allah. Jadi pada peringkat paling asas, kita dapat lihat dengan sangat jelas bahawa perjanjian itu bermula dengan tauhid, bukan dengan identiti bangsa, bukan dengan pemilikan tanah dan bukan dengan kelebihan keturunan.

Ia bermula dengan siapa yang disembah. Tauhid adalah perkara paling utama


Persamaan kedua ialah kedua-duanya meletakkan hubungan dengan ibu bapa sebagai perkara yang sangat besar.

Dalam The 10 Commandments terdapat perintah supaya menghormati ayah dan ibu.

Dalam al-Quran pula, perkara ini datang dengan bentuk yang jauh lebih terperinci. Allah bukan sekadar menyuruh berbuat baik kepada kedua ibu bapa, malah melarang berkata “uff”, melarang mengherdik, memerintah berkata dengan perkataan yang mulia, merendahkan diri kepada mereka, dan mendoakan rahmat untuk mereka.

Ini menunjukkan bahawa asas perintah itu sama, iaitu ibu bapa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam perjanjian Allah dengan Bani Israel. Cuma al-Quran membuka perintah dengan maknanya dengan lebih terpelihara dan lebih halus.


Persamaan ketiga ialah larangan membunuh.

Dalam The 10 Commandments ada larangan yang sangat jelas supaya jangan membunuh.

Dalam al-Quran pula, Allah berfirman supaya jangan membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan hak.

Ini menunjukkan bahawa nyawa manusia dijaga dalam kedua-dua rangka perintah. Penumpahan darah bukan perkara kecil. Ia ialah salah satu pelanggaran besar terhadap perjanjian. Malah al-Quran pergi lebih jauh dengan memberi kerangka hak, kezaliman, wali dan had supaya manusia tidak melampaui batas walaupun dalam soal qisas.

Maka persamaannya jelas, iaitu nyawa berada di bawah perlindungan hukum Allah.


Persamaan keempat ialah larangan zina.

Dalam The 10 Commandments, perintah itu disebut secara langsung sebagai jangan berzina.

Dalam al-Quran, Allah berfirman وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ. Di sini kita bukan sahaja melihat persamaan pada isi, tetapi juga melihat bahawa al-Quran datang dengan penegasan yang lebih mendalam.

The 10 Commandments melarang zina sebagai perbuatan. Al-Quran lebih keras iaitu melarang manusia daripada mendekatinya. Maknanya, jalan-jalan yang membawa kepada zina juga ditutup.

Walaupun cara penyampaiannya berbeza, inti larangannya tetap sama. Maruah, keluarga, nasab dan kesucian hubungan manusia mesti dipelihara.


Persamaan kelima ialah larangan mengambil hak orang lain secara batil.

Dalam The 10 Commandments ia hadir dalam bentuk larangan mencuri.

Dalam al-Quran pula, rangka itu diperluas kepada beberapa cabang. Antaranya jangan mendekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang terbaik, sempurnakan sukatan apabila menyukat, timbanglah dengan neraca yang lurus dan jangan membazir.

Ini menunjukkan bahawa semangat asal perintah itu sama, iaitu harta tidak boleh dikhianati. Harta bukan ruang bebas untuk direbut, dirompak, dimanipulasi atau dibinasakan. Harta berada di bawah batas amanah yang Allah tetapkan.

Maka walaupun lafaznya tidak serupa satu demi satu, asas akhlaknya tetap sangat dekat.


Persamaan keenam ialah larangan berdusta dan menyelewengkan kebenaran.

Dalam The 10 Commandments ada larangan memberi kesaksian palsu terhadap sesama manusia.

Dalam al-Quran pula, larangan itu datang dalam bentuk yang lebih luas, iaitu jangan mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai ilmu tentangnya. Pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya akan ditanya. Ini sangat penting.

The 10 Commandments menutup pintu saksi dusta pada tahap hubungan sosial dan kehakiman. Al-Quran pula menutup seluruh jalan dusta itu dari akarnya, iaitu jangan bercakap, menilai, menuduh, menyebar dan mengikuti sesuatu tanpa ilmu.

Jadi kedua-duanya bertemu pada satu prinsip besar, iaitu manusia tidak boleh berdiri di atas kebatilan, rekaan, fitnah dan tuduhan palsu.


Persamaan ketujuh ialah kedua-duanya cuba mengawal nafsu dalaman manusia, bukan hanya perbuatan zahir.

Dalam The 10 Commandments, perkara ini paling jelas pada larangan tamak akan milik orang lain. Maksudnya bukan setakat jangan curi. Jangan simpan keinginan dalam hati untuk merampas apa yang bukan hak kita. Sebab banyak kejahatan bermula dalam hati dahulu, kemudian baru zahir pada perbuatan.

Dalam al-Quran pula, walaupun lafaz “jangan tamak” tidak disebut dengan bentuk yang sama, semangat yang sama ada dalam larangan membazir, larangan bakhil melampau, larangan mendekati zina, larangan berjalan dengan angkuh dan larangan mengikuti sesuatu tanpa ilmu.

Semua ini menunjukkan bahawa perjanjian Allah bukan hanya mahu mengawal tangan dan kaki manusia (fizikal), tetapi juga mahu menundukkan jiwa dan nafsunya (spiritual).


Persamaan kelapan ialah kedua-duanya membawa mesej bahawa pelanggaran terhadap perintah Allah bukan sekadar dosa ritual, tetapi kerosakan hidup yang akan menghancurkan masyarakat.

The 10 Commandments menjaga tauhid, keluarga, maruah, nyawa, harta dan keadilan.

Rangka al-Quran dalam Surah al-Isra’ juga menjaga perkara yang sama, malah menambah kepada ihsan, rahmat, amanah, adab dan tanggungjawab ilmu.

Ini menunjukkan bahawa kedua-duanya bukan datang sebagai senarai hukum yang berdiri sendiri. Semua ini datang untuk membentuk cara hidup. Bila perkara-perkara asas ini mula dirosakkan, masyarakat pun mula rosak sedikit demi sedikit dari dalam. Bila sudah sampai tahap tertentu, barulah hukuman datang dari luar.


Kesimpulan

Daripada persamaan-persamaan ini, kita sudah boleh nampak satu perkara yang sangat penting. The 10 Commandments yang ada dalam Kitab Perjanjian Lama itu bukan tiada asas langsung. Masih ada baki jejak perintah asal yang pernah Allah berikan kepada Bani Israel. Namun baki itu tidak boleh dibiarkan berdiri sendiri. Ia mesti sentiasa dibawa kembali kepada al-Quran. 

Al-Quranlah yang menentukan mana yang masih benar. Al-Quranlah yang membetulkan mana yang sudah bengkok. Al-Quranlah yang membuka semula mana yang telah disembunyikan.

Sebab itulah mengkaji bahagian persamaan ini penting. Kita bukan sedang mengambil agama daripada kitab yang sudah berubah. Sebaliknya kita sedang menunjukkan bahawa perintah asal itu memang pernah wujud, lalu al-Quran datang memelihara intinya dalam bentuk yang terpelihara. Kita sedang melihat keagungan al-Quran.

Akan tetapi kita tetap kena jujur dan cermat. Persamaan ini tidak bermaksud kedua-duanya sama sepenuhnya dan layak diterima. Ia hanya menunjukkan bahawa masih ada beberapa jejak yang selari dengan wahyu yang Allah pelihara.

Di luar persamaan itu, ada bahagian yang berubah, ada pula yang hilang, ada yang menjadi kabur dan ada yang al-Quran buka semula dengan jauh lebih tegas.

Sebab itu kita tidak boleh berhenti pada bahagian persamaan sahaja. Selepas ini kita perlu masuk pula kepada bahagian perbezaan, supaya kita nampak dengan lebih jelas di mana jejak asal itu masih kekal dan di mana penyelewengan berlaku.

Lebih penting daripada itu, kita tidak boleh lupa apa misi sebenar perbincangan kita ini. Kita bukan sedang membandingkan dua set perintah semata-mata untuk pengkajian ilmu. Kita sekarang sedang meneliti satu perjanjian untuk mencari di manakah letaknya pelanggaran besar yang membawa kepada hukuman Allah ke atas Bani Israel.

Proses ini sangat penting kerana kita sedang menjejak faktor-faktor yang membentuk jalan kepada serangan kali kedua, iaitu serangan yang akan memusnahkan Bani Israel di tanahair kita ini. Sebab itu bahagian persamaan ini hanyalah permulaan awal. Selepas ini kita perlu masuk kepada perbezaan, kerana di situlah nanti akan semakin jelas bahagian mana yang telah diubah, bahagian mana yang telah disembunyikan dan bagaimana semua itu berkait dengan hukuman yang belum selesai.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.