Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel

SERANGAN KEDUA DALAM SURAH AL-ISRA’ AYAT 7

472 1
Ongoing
Anggaran masa membaca
6 minit 11 saat

Serangan Kedua Dalam Surah al-Isra’ Ayat 7

Siri: Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel


Kita sekarang sudah masuk kepada perbincangan berkenaan serangan kedua dalam Surah al-Isra’ ayat 7. Bagi yang belum mengikuti siri ini dari awal, topik yang sedang saya tulis adalah berkenaan dakwaan bahawa akan berlaku serangan oleh pihak asing buat kali kedua ke Malaysia, khususnya Semenanjung Tanah Melayu setelah penajajah barat untuk kali pertama.

Penulisan ini bukan penulisan pertama. Ia adalah sambungan daripada siri:

Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel

Maka sebelum membaca bahagian ini, sangat digalakkan agar pembaca membaca bahagian-bahagian terdahulu terlebih dahulu. Tanpa memahami asas siri ini, ayat 7 mungkin akan dibaca secara tergesa-gesa, lalu pembaca akan membuat kesimpulan berdasarkan sangkaan sendiri.


Peringatan Sebelum Membaca Ayat 7

Apabila kita sudah masuk kepada perbincangan serangan kedua, pembacaan kita mesti menjadi lebih teliti.

Saya tidak mahu pembaca membuat spekulasi daripada penulisan ini tanpa memahami punca kuasa dan sumber sebenar yang digunakan. Perbincangan ini mesti dikembalikan kepada ayat al-Quran.

Analisis yang digunakan pula ialah analisis bahasa, hubungan ayat, struktur makna dan perbandingan antara petunjuk dalam ayat dengan realiti sejarah serta keadaan semasa.

Sebelum meneruskan bacaan, anda wajib membaca artikel asas di bawah terlebih dahulu:

Perkara Asas Yang Wajib Difahami Sebelum Membaca Artikel Ini

Artikel ini tidak boleh dibaca secara terpisah daripada asas tersebut. Jangan terus membaca artikel ini dengan kepala yang sudah penuh sangkaan. Jangan baca dengan rangka fikir lama yang telah terbiasa mengunci Surah al-Isra’ kepada tafsiran yang belum tentu tepat pada tempatnya.


Ayat Asas Perbincangan

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ ۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُـُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا

Surah al-Isra’ 17:7

Ayat ini menjadi asas utama kepada perbincangan serangan kedua.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
 
إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ ۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُـُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا
(QS. al-Isra’ 17: Ayat 7)

Ini adalah antara terjemahan Melayu yang biasa kita jumpa dalam aplikasi dan laman web:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” - Abdullah Muhammad Basmeih

Terjemahan ini membantu pembaca umum memahami maksud asas ayat. Namun untuk tujuan analisis linguistik, kita perlu lebih berhati-hati.

Hal ini kerana terdapat beberapa perkataan tambahan dalam kurungan yang sebenarnya bukan sebahagian daripada teks Arab ayat tersebut. Perkataan dalam kurungan itu adalah bantuan tafsiran penterjemah, bukan lafaz langsung daripada ayat.


Terjemahan Literal Untuk Tujuan Analisis

Untuk tujuan perbincangan ini, saya lebih cenderung menggunakan terjemahan yang lebih hampir kepada struktur bahasa Arab ayat:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
 
إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ ۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُـُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا
Jika kamu berbuat ihsan, ihsan itu kembali kepada diri kamu sendiri. Jika kamu berbuat buruk, akibat buruk itu kembali kepada diri kamu juga. Maka apabila datang janji yang kedua, ia datang supaya mereka menghinakan wajah-wajah kamu, supaya mereka memasuki al-Masjid itu sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama dan supaya mereka menghancurkan apa sahaja yang pihak penyerang itu berjaya kuasai dengan penghancuran yang sehancur-hancurnya.
(QS. al-Isra’ 17: Ayat 7)

Mengapa Terjemahan Popular Tidak Dijadikan Asas Utama

Untuk tujuan analisis, saya tidak menggunakan terjemahan popular sebagai asas utama kerana terdapat banyak unsur tafsiran yang telah dimasukkan ke dalam terjemahan.

Apabila unsur tafsiran dimasukkan terlalu awal, pembaca mungkin tidak lagi melihat perkataan asal dalam bahasa Arab. Pembaca terus menerima kesimpulan yang telah diletakkan oleh penterjemah.

Sebagai contoh, perkataan ihsan sering diterjemahkan sebagai “kebaikan”. Namun dalam al-Quran, perkataan lain seperti khair juga sering diterjemahkan sebagai “kebaikan”.

Apabila semua perkataan diterjemahkan dengan satu perkataan umum yang sama, ketepatan makna akan berkurang. Pembaca mungkin tidak lagi dapat melihat perbezaan antara ihsan, khair, birr, solih dan istilah-istilah lain yang masing-masing mempunyai medan makna tersendiri.

Begitu juga dengan perkataan:

ٱلۡمَسۡجِدَ
al-Masjid

Dalam terjemahan popular, perkataan ini sering dikurungkan sebagai BaitulMaqdis. Masalahnya, perkataan BaitulMaqdis tidak wujud dalam teks Arab ayat ini. Yang ada hanyalah al-Masjid.

Bukan tujuan saya untuk mengkritik penterjemah. Namun dalam kajian ini, saya ingin mengembalikan pembacaan kepada lafaz asal terlebih dahulu sebelum masuk kepada kesimpulan lokasi atau maksud khusus.

Nanti kita akan bincangkan secara lebih terperinci berkenaan maksud al-Masjid ini dalam bahagian yang lain.


Gambaran Umum Ayat 7

Secara umum, ayat ini menunjukkan bahawa dalam tempoh antara serangan pertama dan serangan kedua, Bani Israel diberi ruang untuk membuat pilihan.

Mereka boleh memilih ihsan. Mereka juga boleh memilih keburukan. Apa sahaja pilihan yang dibuat, akibatnya akan kembali kepada diri mereka sendiri.

Justru, ayat ini bermula dengan prinsip akhlak yang sangat besar:

Jika kamu berbuat ihsan, ihsan itu untuk diri kamu sendiri.

Jika kamu berbuat buruk, akibat buruk itu kembali kepada diri kamu juga.

Maksudnya, serangan kedua bukan peristiwa yang datang tanpa sebab. Ia datang selepas satu tempoh pilihan, tindakan dan akibat.


Hubungan Serangan Pertama Dengan Serangan Kedua

Dalam bahagian sebelum ini, saya telah mengemukakan analisis bahawa serangan pertama merujuk kepada imperialisme Barat yang berakhir secara fungsi pada 31 Ogos 1957.

Serangan pertama bukan sekadar serangan ketenteraan. Ia melibatkan kemasukan kuasa asing ke dalam ruang hidup, sistem pentadbiran, pusat kuasa, hasil bumi, struktur ekonomi dan susunan masyarakat.

Selepas tempoh itu, Allah mengembalikan giliran kepada mereka sebagaimana disebut dalam Surah al-Isra’ ayat 6:

ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ ٱلۡكَرَّةَ عَلَيۡهِمۡ

Kemudian Kami kembalikan kepada kamu giliran atas mereka.

Maka selepas kembalinya giliran itu, berlaku satu tempoh kebangkitan semula. Namun tempoh itu bukan tempoh bebas tanpa tanggungjawab. Daripada tempoh Tanah Melayu ini merdeka bersama-sama  warga asal dan warga yang dibawah oleh British, ia merupakan tempoh ujian, tempoh pilihan dan tempoh untuk melihat sama ada manusia di bumi ini akan kembali kepada perjanjian Allah atau terus melakukan fasad dan uluww.

Apabila janji yang kedua sampai, serangan kedua akan berlaku.


Serangan Kedua Adalah Hukuman

Saya ingatkan sekali lagi bahawa serangan yang akan datang bukan serangan biasa. Ia bukan sekadar konflik geopolitik atau pertikaian sempadan. Ia juga bukan sekadar perebutan kuasa antara negara atau krisis penyeludupan atau perlanunan di perairan.

Pada peringkat hubungan antarabangsa, ia mungkin akan dilihat sebagai jenayah perang, pencerobohan atau serangan ketenteraan. Namun dari sudut al-Quran, penyerang itu boleh menjadi alat yang Allah gunakan untuk menghukum manusia kerana pelanggaran mereka terhadap perjanjian dengan Allah.

Inilah perbezaan besar antara membaca sejarah dengan mata politik semata-mata dan membaca sejarah melalui ayat al-Quran. Politik hanya melihat pelaku sebaliknya Al-Quran mengajar kita melihat sebab, dosa, sunnatullah dan akibat.


Serangan Kedua Masih Perkara Masa Depan

Untuk serangan kedua, peristiwa itu masih belum berlaku. Oleh sebab itu, analisis linguistik, rujukan silang dan pendapat peribadi saya akan lebih banyak digunakan.

Namun anda tidak perlu runsing. Jika sesuatu perkara itu adalah pendapat saya, saya akan nyatakan bahawa ia adalah pendapat. Anda bebas menguji, menilai dan membandingkan pendapat tersebut dengan ayat al-Quran.

Saya tidak meminta pembaca menerima tulisan ini secara membuta tuli. Sebaliknya, saya meminta pembaca menyemak ayat al-Quran dengan teliti, perkataan demi perkataan, kemudian menilai sama ada hujah ini mempunyai asas atau tidak.


Penutup

Setakat ini, saya merancang untuk masuk kepada dua topik besar. Kedua-duanya agak sensitif. Namun sensitif atau tidak bukan ukuran utama. Ukuran utama ialah sama ada ia mempunyai asas daripada ayat al-Quran atau tidak.

Topik pertama ialah kemungkinan serangan fizikal terhadap pusat simbolik pemerintahan, termasuk Istana Negara dan istana-istana negeri.

Topik kedua ialah sepuluh ciri penyerang kedua berdasarkan Surah al-Isra’ ayat 7 dan hubungan ayat tersebut dengan petunjuk lain dalam surah yang sama.

Memandangkan fasa seterusnya akan disusun dalam bentuk soal jawab, anda boleh menambah soalan masing-masing di ruangan komen.


 
 
 
Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.