Mengapa Walaupun Ada Al-Quran, Kita Tetap Kena Merujuk Kitab Perjanjian Lama Yang Sudah Diubah dan Tidak Terpelihara?
Firman Allah sendiri sudah menjadi jambatan paling jelas untuk membuka perbahasan ini, iaitu وَقَضَيْنَآ إِلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ فِى ٱلْكِتَـٰبِ dalam Al Isra' ayat 4. Allah sendiri menyebut bahawa ketetapan itu telah pun disampaikan kepada Bani Israel dalam al-Kitab. Apabila Allah menggunakan lafaz al-Kitab dalam konteks Bani Israel, maka kita tahu bahawa rujukan asal mereka ialah Taurat. Atas dasar itu, kita tidak boleh menolak keperluan untuk melihat semula jejak perjanjian tersebut dalam Kitab Perjanjian Lama yang ada hari ini.
Bukanlah sesekali kita meletakkan Bible setaraf dengan al-Quran, tetapi kerana Allah sendiri telah mengaitkan ayat ini dengan wahyu terdahulu yang pernah diberikan kepada Bani Israel. Maka, untuk memahami apa yang telah diperintah, apa yang telah diubah dan apa yang telah disembunyikan, kita memang perlu membuka Kitab Perjanjian Lama sebagai bahan semakan, kemudian menilainya semula dengan keagungan al-Quran yang terpelihara.
Secara amnya, inilah 10 sebab secara khusus mengapa kita harus merujuk kepada The 10 Commandments.
1. Kerana Allah Sendiri Yang Mengaitkan Hal Itu Dalam Al-Quran
Ini perkara paling asas yang mesti difahami dahulu. Kita bukan suka-suka mahu mengaitkan Al-Quran dengan Taurat atau Kitab Perjanjian Lama. Sebaliknya Allah sendiri yang mengaitkannya dalam Al-Quran. Maka apabila Allah membuka hubungan itu dalam kalam-Nya, kita tidak boleh pula menutupnya hanya kerana kita secara peribadi rasa kitab terdahulu sudah diubah. Yang menghubungkan dua perkara ini bukan pendapat kita sebagai manusia, tetapi Allah sendiri sebagi Rabb kita.
2. Kerana “Fil Kitab” Menunjukkan Ada Rujukan Wahyu Terdahulu
Apabila Allah berfirman bahawa perkara itu sudah pun dinyatakan kepada Bani Israel “fil kitab”, maka itu menunjukkan ada rujukan wahyu terdahulu yang telah diberikan kepada mereka. Dalam konteks sejarah, perintah itu telah diberikan kepada Bani Israel melalui Nabi Musa a.s. dalam peristiwa di Bukit Sinai. Maka untuk memahami apa yang Allah maksudkan, kita perlu melihat semula sumber asal perjanjian itu pada kronologi sejarahnya.
3. Kerana Taurat Yang Tidak Terpelihara Hari Ini Masih Boleh Dikenal Pasti Jejaknya Dalam Kitab Perjanjian Lama
Walaupun Taurat asal tidak lagi terpelihara sepenuhnya, manusia hari ini masih boleh mengenal sebahagian jejaknya dalam apa yang dikenali sebagai Kitab Perjanjian Lama dalam Bible. Ini bukan bermakna kita meletakkan Kitab Perjanjian Lama setaraf dengan Al-Quran. Maksudnya ialah kita mengenal padanan sejarah dan sisa teks yang masih ada, supaya kita tahu di mana letaknya bahagian yang pernah datang daripada wahyu Allah dan di mana pula berlaku perubahan, penambahan atau penyembunyian. Al Quran adalah rujukan utama kita.
4. Kerana Al-Quran Datang Bukan Hanya Untuk Mengulang, Tetapi Juga Untuk Membongkar dan Membetulkan
Allah bukan sekadar mengulang kembali isi perintah itu dalam Al-Quran. Allah juga membongkar penyelewengan yang berlaku. Di sinilah letaknya hikmah yang besar. Bila Allah menceritakan semula perintah-perintah itu dalam Al-Quran, Allah bukan sekadar memberi peringatan baru, tetapi juga membuka rahsia penipuan Bani Israel. Di situ terbuka apa yang disembunyikan, apa yang diubah dan apa yang tidak lagi disebut dengan jujur, khususnya dalam bab hukuman. Hukuman itu akan berlaku pada zaman kita.
5. Kerana Tanpa Rujukan Kepada Kontrak Asal, Kita Tidak Akan Nampak Di Mana Berlakunya Perubahan
Kalau kita tidak merujuk kepada perjanjian asal Allah dengan Bani Israel, maka atas dasar apa kita hendak mengatakan bahawa kitab itu telah diubah suai. Untuk membuktikan sesuatu telah dipinda, kita mesti ada sekurang-kurangnya bentuk asal, jejak asal atau rangka asal untuk dibuat perbandingan. Sebab itu rujukan kepada kitab terdahulu bukan untuk mengambil kepercayaan daripadanya, tetapi untuk menilai sejauh mana perubahan telah berlaku apabila dibandingkan dengan pembetulan yang Allah turunkan dalam Al-Quran.
6. Kerana Al-Quran Memelihara Versi Yang Asli dan Menjadi Penilai
Apabila Allah mengulangi semula isi The 10 Commandments dalam Al-Quran dengan bentuk yang terpelihara, maka Al-Quran menjadi pengukur yang membezakan antara wahyu sebenar dengan teks wahyu yang telah dicampur aduk. Dengan itu, bani Israel masa kini tidak dibiarkan oleh Allah terpinga-pinga. Allah mana membiarkan manusia keliru. Sebaliknya Allah memberi kita Al-Quran sebagai pemutus, penjelas dan pembuka penipuan. Siapa jua tak kira kaum atau bangsa boleh menilai perkara ini.
7. Kerana Bani Israel Dahulu dan Bani Israel Kemudian Tetap Terikat Dengan Perjanjian Itu
Bani Israel dahulu bertauhid kepada Allah melalui syariat Nabi Musa a.s. Kemudian apabila Nabi Muhammad SAW diutuskan, sesiapa daripada Bani Israel yang benar-benar tunduk kepada Allah wajib masuk ke dalam syariat Nabi Muhammad SAW. Maksudnya, perjanjian dengan Allah itu tidak gugur hanya kerana zaman berubah. Tauhid tetap sama. Ketaatan tetap dituntut. Perintah tetap berjalan. Yang berubah hanyalah syariat mengikut rasul yang diutus pada zamannya.
8. Kerana Hukuman Yang Disebut Itu Masih Berkait Dengan Perjanjian Yang Sama
Di sinilah ramai orang gagal nampak kaitannya. Perjanjian itu bukan sekadar cerita lama yang sudah tamat. Ia masih mempunyai kesan hukum dan akibat. Apabila Allah menyebut pelanggaran terhadap perintah itu membawa kepada hukuman, maka kita perlu memahami bahawa hukuman tersebut lahir daripada kontrak yang sama. Sebab itu bab perintah dan bab hukuman tidak boleh dipisahkan.
9. Kerana Tanah Perjanjian Itu Juga Masih Menjadi Pentas Kepada Berlangsungnya Hukuman
Jika perjanjian itu masih sah dari sudut pengajaran dan hukuman Allah, maka tanah yang terkait dengannya juga bukan isu kecil. Di situlah nanti kesucian akan dikembalikan. Sebelum penyucian berlaku, hukuman mesti berlaku terlebih dahulu. Sebab itu memahami kontrak asal, memahami isi perintah dan memahami perubahan yang dilakukan terhadap kitab terdahulu sangat penting untuk memiliki panduan kepada peristiwa yang akan datang.
10. Kerana Semua Ini Menunjukkan Betapa Cermatnya Allah Menjaga Manusia Daripada Tertipu
Inilah keindahan yang sangat besar. Allah bukan sahaja memberi perintah. Allah juga memberi rekod. Allah juga membuka penyelewengan. Allah juga mengulang semula versi yang terpelihara. Allah juga menunjukkan kesan pelanggaran. Semua ini ialah tanda betapa cermatnya Allah menjaga manusia agar tidak terpedaya dengan dakwaan, penyelewengan dan pemalsuan.
Penutup
Maka sebab itulah, walaupun kita sudah ada Al-Quran, dalam konteks untuk mengesan perjanjian Bani Israel dengan Allah, kita tetap perlu merujuk kitab terdahulu pada tempat yang Allah sendiri kaitkan dengannya. Bukan untuk mengambil agama daripada kitab yang telah diubah, tetapi untuk melihat jejak perjanjian asal, mengenal bahagian yang telah diseleweng, dan menyaksikan bagaimana Al-Quran datang sebagai pembetul, pembongkar dan pemelihara kebenaran.
Balas kepada: