10 Perintah Allah Kepada Bani Israel
Sebelum kita pergi lebih jauh, ada satu perkara yang mesti diperjelaskan dengan cermat supaya tiada sesiapa salah faham arah perbincangan ini.
Kita orang Islam tidak mengambil agama daripada Bible walaupun kita beriman dengan Kitab. Kita tidak meletakkan Kitab Perjanjian Lama setaraf dengan al-Quran. Kita juga tidak mengatakan bahawa teks yang ada hari ini terpelihara sepenuhnya seperti wahyu Allah yang asal. Pendirian kita tetap sama. Al-Quran ialah rujukan tertinggi, paling terpelihara dan paling muktamad.
Jadi kenapa saya tetap paparkan kandungan yang dikenali sebagai The 10 Commandments ini?
Jawapannya mudah. Kerana Allah sendiri menyebut bahawa ketetapan itu telah pun disampaikan kepada Bani Israel فِي الْكِتَابِ. Maka dalam konteks Bani Israel, kita perlu melihat jejak perjanjian itu pada sumber yang pernah berada di tangan mereka, kemudian menilainya semula dengan kayu ukur al-Quran. Bukan untuk mengambil akidah daripada kitab yang telah berubah, tetapi untuk melihat apa yang masih tinggal, apa yang telah disembunyikan dan bagaimana al-Quran datang membetulkan semula perkara yang telah dipesongkan.
Atas sebab itu, apa yang saya paparkan di bawah ini ialah terjemahan kandungan yang terdapat dalam Kitab Perjanjian Lama, yang saya susun sendiri ke dalam Bahasa Melayu untuk tujuan perbincangan kita. Anda boleh semak sendiri dalam pelbagai versi bahasa yang ada di internet jika mahu membuat rujukan tambahan. Namun semuanya kekal hanya sebagai bahan semakan, bukan pegangan mutlak, kerana keasliannya tidak lagi terpelihara sepenuhnya.
Yang kita mahu lihat di sini bukan sekadar bunyi teksnya, tetapi rangka perintah yang pernah diberikan kepada Bani Israel. Dari situ nanti kita boleh bandingkan, menilai dan memahami dengan lebih jelas bagaimana al-Quran membuka semula perkara yang telah lama kabur.
The 10 Commandments atau 10 Kata Perintah ini adalah terdiri daripada perkara berikut:
1. Jangan ada tuhan lain selain Allah
Maksudnya manusia tidak boleh meletakkan apa-apa sebagai sembahan tertinggi selain Tuhan yang sebenar. Ini termasuk berhala, kuasa, manusia, harta, atau apa sahaja yang diangkat sampai mengambil tempat Tuhan dalam hati dan ketaatan.
2. Jangan membuat patung berhala untuk disembah
Larangan ini bukan sekadar buat patung. Intinya ialah jangan menjadikan sesuatu objek, simbol atau gambaran sebagai perantaraan sembahan. Perintah ini menutup jalan kepada syirik dan penyembahan selain Tuhan.
3. Jangan menyebut nama Tuhan dengan sia-sia
Ini bermaksud jangan mempermainkan nama Tuhan, jangan guna nama-Nya untuk sumpah palsu, penipuan, lakonan suci, atau untuk melegitimasi kezaliman. Nama Tuhan bukan alat manipulasi.
4. Ingat dan kuduskan hari Sabat
Dalam Bani Israel, Sabat ialah hari rehat yang dikhususkan untuk Tuhan. Maksud besarnya ialah manusia bukan mesin. Ada waktu untuk berhenti daripada urusan dunia, kembali kepada ibadah, syukur dan ketundukan kepada Tuhan.
5. Hormatilah ayah dan ibu
Perintah ini menjaga asas keluarga. Hormat kepada ibu bapa bukan sekadar sopan, tetapi pengiktirafan terhadap hak, pengorbanan dan kedudukan mereka. Masyarakat yang meruntuhkan penghormatan kepada ibu bapa biasanya rosak dari akar.
6. Jangan membunuh
Larangan ini menjaga nyawa manusia. Nyawa bukan milik manusia untuk dipermainkan sesuka hati. Perintah ini menegaskan bahawa penumpahan darah tanpa hak ialah jenayah besar.
7. Jangan berzina
Ini menjaga maruah, keturunan, keluarga dan kestabilan sosial. Zina bukan sekadar dosa peribadi, tetapi perbuatan yang memecahkan amanah, merosakkan rumah tangga dan membuka pintu kerosakan yang luas.
8. Jangan mencuri
Larangan ini menegakkan hak milik dan amanah. Mencuri bukan hanya ambil barang orang. Menipu, pecah amanah, rasuah, manipulasi harta dan mengambil hak orang secara batil juga berada dalam roh larangan ini.
9. Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu
Asalnya sangat berkait dengan mahkamah dan keadilan. Maksudnya jangan berdusta, jangan fitnah, jangan reka tuduhan, jangan putar belit fakta. Bila kesaksian rosak, keadilan pun runtuh.
10. Jangan tamak akan milik orang lain
Perintah ini masuk terus ke dalam hati manusia. Ia melarang keinginan tamak terhadap isteri, rumah, harta, atau apa sahaja milik orang lain. Ini menunjukkan bahawa kerosakan bermula bukan hanya pada perbuatan, tetapi juga pada nafsu yang dipelihara dalam jiwa.
Senarai Kata Perintah Bani Israel Dalam al Quran
Sekarang kita akan melihat pula The 10 Commandments, iaitu perintah-perintah ke atas Bani Israel mengikut versi yang difirmankan Allah dalam Al-Quran. Inilah versi yang terpelihara.
Disebabkan Al-Quran tidak pernah menamakannya secara literal sebagai 10 Kata Perintah, maka saya akan mengekalkan terlebih dahulu ayat-ayat Al-Quran tersebut supaya anda sendiri dapat membaca teks Arab berserta terjemahan Melayu yang saya sediakan. Saya juga telah membuang segala perkataan terjemahan yang diletakkan dalam kurungan bagi tujuan mengekalkan keaslian ayat dan mengelakkan pemahaman kita bercampur baur dengan tafsiran penterjemah asal.
Kita akan mulakan perintah-perintah itu dari ayat 22 Surah al-Isra’ dan kita akan melihat penegasan keras terhadap perintah-perintah tersebut pada ayat 37 dan 38. Jadi, secara mudahnya untuk kita faham, perjanjian Allah dengan Bani Israel itu, atau The 10 Commandments itu, digazetkan dalam Al-Quran melalui Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 39.
لَّا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًۭا مَّخْذُولًۭا ٢٢
(22) Jangan engkau jadikan bersama Allah ilah yang lain, lalu engkau menjadi tercela lagi ditinggalkan tanpa pertolongan.
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا ٢٣
(23) Dan Rabb mu telah menetapkan bahawa kamu jangan menyembah melainkan Dia sahaja, dan hendaklah berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai tua di sisimu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka walaupun “uff”, dan janganlah engkau mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا ٢٤
(24) Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih dan rahmat dan katakanlah: “Wahai Rabbku, rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah membesarkan aku ketika kecil.”
رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُمْ ۚ إِن تَكُونُوا۟ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُۥ كَانَ لِلْأَوَّٰبِينَ غَفُورًۭا ٢٥
(25) Rabb kamu lebih mengetahui tentang apa yang ada dalam diri kamu. Jika kamu adalah orang-orang yang soleh, maka sesungguhnya Dia sentiasa Maha Pengampun bagi orang-orang yang sering kembali.
وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ٢٦(26) Dan berikanlah kepada kaum kerabat haknya, juga kepada orang miskin dan musafir, dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran.
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ٢٧(27) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Rabbnya.
وَإِمَّا تُعْرِضَنَّ عَنْهُمُ ٱبْتِغَآءَ رَحْمَةٍۢ مِّن رَّبِّكَ تَرْجُوهَا فَقُل لَّهُمْ قَوْلًۭا مَّيْسُورًۭا ٢٨(28) Dan jika engkau berpaling daripada mereka kerana mengharapkan rahmat daripada Rabbmu yang engkau nantikan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang lembut.
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ ٱلْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًۭا مَّحْسُورًا ٢٩(29) Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًۭا ٣٠(30) Sesungguhnya Rabbmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَـٰقٍۢ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْـًۭٔا كَبِيرًۭا ٣١(31) Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا ٣٢(32) Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًۭا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلْطَـٰنًۭا فَلَا يُسْرِف فِّى ٱلْقَتْلِ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورًۭا ٣٣(33) Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang Allah haramkan, kecuali dengan hak. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan bagi walinya satu kuasa. Maka janganlah dia melampau dalam pembunuhan. Sesungguhnya dia telah diberi pertolongan.
وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُۥ ۚ وَأَوْفُوا۟ بِٱلْعَهْدِ ۖ إِنَّ ٱلْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔولًۭا ٣٤(34) Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga ia baligh; dan sempurnakanlah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
وَأَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا۟ بِٱلْقِسْطَاسِ ٱلْمُسْتَقِيمِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًۭا ٣٥(35) Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan neraca yang lurus. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok pada kesudahannya.
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا ٣٦(36) Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ ٱلْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ ٱلْجِبَالَ طُولًۭا ٣٧(37) Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat mencapai setinggi gunung-gunung.
كُلُّ ذَٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُۥ عِندَ رَبِّكَ مَكْرُوهًۭا ٣٨(38) Segala yang demikian itu, keburukannya adalah dibenci di sisi Rabbmu.
ذَٰلِكَ مِمَّآ أَوْحَىٰٓ إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلْحِكْمَةِ ۗ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتُلْقَىٰ فِى جَهَنَّمَ مَلُومًۭا مَّدْحُورًا ٣٩(39) Yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah Rabbmu wahyukan kepadamu. Dan janganlah engkau jadikan bersama Allah ilah yang lain, lalu engkau dicampakkan ke dalam Jahannam dalam keadaan tercela lagi dihalau.
Mengapa Semua Ini Sangat Penting Untuk Kita Fahami
Pada tahap ini, mungkin masih ada yang bertanya-tanya mengapa saya mengajak anda memberi perhatian yang begitu serius kepada perintah-perintah Allah ke atas Bani Israel ini.
Jawapannya ialah kerana ini bukan sekadar kita hendak menyemak sejarah lama. Ia juga bukan sekadar kita mahu membaca catatan tentang satu kaum yang telah datang dan pergi. Apa yang mahu kita semak ialah perjanjian, yang akibat pelanggarannya masih dibawa oleh Allah sendiri ke dalam al-Quran. Anda pun tahu Kaum Nuh telah melalui kitaran mereka. ‘Ad telah melalui kitaran mereka. Thamud telah melalui kitaran mereka. Umat-umat terdahulu yang lain juga telah menerima amaran dan hukuman masing-masing.
Tetapi Bani Israel telah dibentangkan di hadapan kita dengan cara yang berbeza. Mereka bukan sahaja pernah menerima perintah melalui Nabi Musa a.s., bahkan diperingatkan semula di bawah syariat Nabi Isa dan syariat Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa fail mereka belum ditutup. Tidak sama seperti umat-umat yang terdahulu. Sebab itu kita tidak boleh membaca perintah-perintah ini sebagai bahan perbandingan agama semata-mata.
Kita sekarang sedang meneroka satu perjanjian yang masih mempunyai kaitan dengan hukuman yang akan datang. Apabila al-Quran mengulang semula perintah-perintah ini dan pada masa yang sama membuka bab pelanggaran serta akibat pelanggaran itu, maka kita mesti faham bahawa ini bukan isu masa lalu sahaja. Kita kena sedar, kena faham dan kena yakin bahawa ini ialah amaran yang kesannya akan berlaku pada zaman kita.
Sebab itu memahami perintah-perintah ini sangat penting. Mana ada kita membazir masa untuk menyusun pengetahuan bagi memiliki rasa pandai dan mahu menunjuk-nunjuk kepada orang. Kita bersama-sama sekarang sedang melihat mukadimah kepada satu hukuman yang belum selesai dibicarakan oleh al-Quran. Bila kita tahu hukuman itu belum selesai, maka persoalannya bukan lagi sama ada ia relevan atau tidak. Persoalannya ialah adakah kita sedar bahawa kita mungkin sedang hidup dalam zaman penzahiran akibatnya. Lebih parah lagi adakah kita sedang hidup atas tanah yang mereka akan dihukum.
Penutup
Balas kepada: