Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel

PERBEZAAN ANTARA THE 10 COMMANDMENTS DAN SENARAI KATA PERINTAH BANI ISRAEL DALAM AL-QURAN - BAHAGIAN 2

174 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
15 minit 7 saat

Perbezaan Antara The 10 Commandments dan Senarai Kata Perintah Bani Israel Dalam al-Quran - Bahagian 2

(11 Perintah Bani Israel Dalam al-Quran Yang Tidak Muncul dalam The 10 Commandments)


Sekarang kita masuk pula kepada bahagian yang satu lagi pula. Bahagian ini sudah tentu lebih keras daripada bahagian sebelumnya. Kalau bahagian pertama mengajar kita supaya tidak menerima semua yang ada dalam The 10 Commandments secara automatik, maka bahagian kedua ini membawa kita kepada persoalan yang lebih berat.

Mengapa ada perkara-perkara besar yang Allah sendiri sebut semula dalam Senarai Kata Perintah Bani Israel dalam al-Quran, tetapi tidak muncul dalam The 10 Commandments yang diwariskan hari ini.

Ini sudah tentu bukan isu kecil. Ini menyentuh fokus perjanjian Allah dengan Bani Israel itu sendiri. Bila sesuatu unsur yang disebut oleh Allah dalam perintah yang diulang semula pada Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 39, tetapi unsur itu tidak ada dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini, maka kita tidak boleh buat-buat tidak nampak. 

Saya kena tanya, anda pun kena tanya. Adakah unsur itu sudah hilang? Adakah ia pernah dikecilkan? Adakah ia tidak lagi dipelihara dengan benar? Atau adakah bentuk The 10 Commandments yang ada hari ini memang sudah tidak lagi membawa keseluruhan rangka perjanjian asal sebagaimana yang Allah wahyukan semula dalam al-Quran?

Di sinilah letak bahaya yang sebenar. Kita bukan hendak bermain dengan senarai. Kita sebenarnya sedang mencari kenapa Bani Israel akan dihukum dan kenapa akan ada pihak yang bangkit menyerang mereka sebagai hukuman dari Allah. Sebab itu kita mesti tahu perintah mana yang Allah ulang semula. Kalau kita tak tahu apa yang Allah perintah, macam mana kita nak tahu apa yang mereka langgar. Kalau kita tak nampak apa yang sudah hilang daripada bentuk yang diwariskan hari ini, macam mana kita nak faham dari mana datangnya punca hukuman itu. Jadi bahagian ini bukan biasa-biasa. Di sinilah adalah proses kita mula menjejak sebab-sebab yang membawa kepada serangan itu.


Hak kerabat, Miskin, dan Ibn al-sabil

Dalam Senarai Kata Perintah Bani Israel dalam al-Quran, Allah bukan sekadar menyebut tajuk tauhid, bunuh, dan zina. Allah juga menyebut hak kaum kerabat, orang miskin, dan ibn al-sabil. Ini menunjukkan bahawa perjanjian itu bukan setakat mengawal hubungan manusia dengan Tuhan (hablun minallah), tetapi juga mengawal cara satu kaum melayan orang yang lemah, orang yang memerlukan, dan orang yang terputus di jalan (hablun minannas).

Perkara ini tidak muncul terus dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Ini yang kita kena nampak. Dalam bentuk yang diwariskan sekarang, bahagian sosial seperti ini tidak duduk jelas dalam perintah. Padahal Allah sendiri mengulangnya semula dalam al-Quran.

Ini bukan soal kecil kerana ia juga kewajipan. Bila hak kerabat tidak dijaga, keluarga akan mula berpecah. Bila hak miskin tidak dijaga, penindasan mula menjadi biasa. Bila hak ibn al-sabil tidak dipedulikan, belas kasihan makin mati dalam jiwa sesuatu kaum itu.

Bila semua itu rosak, satu kaum itu masih boleh rasa mereka sedang menjaga agama, tetapi pada masa yang sama mereka sebenarnya sedang membina justifikasi yang menarik hukuman Allah ke atas diri mereka sendiri.


Larangan Membazir

Al-Quran bukan sekadar menyuruh kita memberi. Al-Quran juga melarang membazir. Ini menunjukkan bahawa harta dalam perjanjian Allah bukan perkara yang bebas dibelanjakan sesuka hati. Harta ada adabnya, ada garis panduannya dan ada pertanggungjawabannya.

Dalam The 10 Commandments, kita memang jumpa larangan mencuri. Tetapi larangan membazir tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang diwariskan hari ini. Padahal membazir juga ialah satu bentuk kerosakan harta. Ia mungkin bukan mencuri hak orang secara langsung, tetapi ia tetap merosakkan amanah Allah terhadap nikmat, kekayaan dan cara hidup.

Di sinilah al-Quran membuka semula satu sisi yang lebih terperinci Harta bukan setakat jangan curi. Harta juga jangan dihamburkan, jangan dipertontonkan, jangan dijadikan alat untuk membesarkan diri dan jangan dibelanjakan tanpa tertib sampai orang lain terus terhimpit.

Satu kaum boleh sahaja rasa mereka masih taat sebab mereka tidak merompak secara terang-terangan, tetapi pada masa yang sama mereka hidup bermewah, membina kekuatan untuk diri sendiri, membesarkan simbol kelompok mereka dan membiarkan yang lemah terus tertindas. Dari luar nampak seperti kemajuan. Tetapi di sisi Allah, itu boleh jadi pembaziran yang sedang membiak menjadi kerosakan yang lebih besar.

Bila harta tidak lagi dilihat sebagai amanah, satu kaum akan mula hanyut. Mereka belanja untuk kuasa. Mereka belanja untuk rupa. Mereka belanja untuk mengukuhkan kedudukan sendiri. Tetapi hak orang lemah makin mengecil, belas kasihan makin hilang dan rasa takut kepada Allah makin pudar. Di situlah pembaziran berhenti jadi isu duit semata-mata. Ia bertukar menjadi tanda bahawa satu kaum sedang rosak dalam cara mereka menggunakan nikmat. Dan bila nikmat mula dirosakkan, hukuman pun mula mencari jalannya.


Larangan Bakhil Melampau

Dalam rangka ayat yang sama, al-Quran bukan sahaja melarang membazir, tetapi juga melarang kedekut melampau. Allah gambarkan tangan seolah-olah terikat di leher. Maksudnya jangan sampai terlalu berkira, terlalu menahan, dan terlalu sayang harta sampai hak orang lain pun kita tahan.

Perkara ini tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Di sinilah kita nampak satu lagi beza yang besar. Dalam al-Quran, harta bukan sekadar jangan curi. Harta juga kena diurus dengan betul. Tidak boleh boros. Tidak boleh kedekut melampau.

Ini penting sebab ramai orang boleh rasa dirinya baik hanya kerana dia tidak mencuri. Padahal dia menahan hak orang, bakhil pada keluarga, bakhil pada yang memerlukan, dan hidup hanya untuk kumpul bagi diri sendiri. Dari luar nampak dia tidak ambil harta orang. Tetapi pada hakikatnya dia tetap merosakkan amanah harta yang Allah beri.

Bila satu kaum sudah sampai ke tahap begitu, rosaknya bukan pada duit sahaja. Rosaknya pada jiwa. Rosaknya pada belas kasihan. Rosaknya pada rasa tanggungjawab. Dan bila semua itu rosak, hukuman Allah bukan lagi benda yang jauh.


Larangan Membunuh Anak Kerana Takut Miskin

Ini antara perbezaan yang sangat besar. Al-Quran menyebut dengan jelas larangan membunuh anak kerana takut miskin. Ini bukan sekadar larangan membunuh secara umum. Allah sedang membuka satu penyakit yang sangat busuk dalam jiwa manusia, iaitu bila takut sempit rezeki lebih besar daripada takut melanggar perintah Tuhan.

Perkara ini tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Yang ada hanyalah larangan membunuh secara umum. Tetapi al-Quran pergi lebih dalam. Al-Quran tunjuk satu bentuk pembunuhan yang lahir daripada rosaknya tawakal, rosaknya fitrah, dan rosaknya pandangan terhadap rezeki Allah.

Dan ini bukan benda asing daripada sejarah mereka. Dalam sumber mereka sendiri pun ada rekod bahawa sebahagian daripada mereka pernah mengorbankan anak-anak lelaki dan perempuan dalam api kepada sembahan mereka. Sila rujuk Yeremia 32:35, dan 2 Raja-Raja 23:10. Ini menunjukkan bahawa pembunuhan anak bukan perkara yang jauh daripada sejarah kerosakan mereka. Cuma al-Quran di sini membuka satu dimensi yang sangat penting, iaitu ketakutan kepada kemiskinan. Bila takut miskin lebih besar daripada takut kepada Allah, manusia boleh sampai ke tahap membunuh zuriatnya sendiri.

Di sinilah bahaya sebenar mula terkesan. Bila satu kaum sudah sampai ke tahap melihat anak sebagai beban, melihat rezeki sebagai ancaman dan melihat pembunuhan sebagai jalan keluar, maka itu tanda bahawa kerosakan mereka sudah masuk ke bahagian yang paling dalam. Itu bukan sekadar jenayah. Itu tanda satu kaum sedang memutuskan hubungan mereka dengan rahmat, fitrah dan tawakal. Bila sampai ke tahap itu, hukuman Allah bukan lagi benda yang pelik.


Larangan Menghampiri Harta Anak Yatim

Dalam al-Quran, Allah bukan sekadar kata jangan curi harta anak yatim. Allah kata jangan hampiri pun kecuali dengan cara yang terbaik. Ini amaran yang sangat bersifat melindungi. Maksudnya, sebelum sampai tahap merampas sekalipun, jalan ke arah itu sudah ditutup awal-awal.

Perkara ini tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Di sini juga kita nampak satu benda penting. Dalam al-Quran, Allah bagi perhatian khusus kepada golongan yang lemah. Anak yatim tidak ada ayah untuk lindungi mereka. Jadi bila harta mereka pun orang berani usik, itu tanda hati satu kaum memang sudah rosak.

Jadi, ini bukan sekadar isu duit tapi soal amanah. Ini isu takut atau tidak takut kepada Allah. Satu kaum boleh sahaja cakap besar pasal agama, pasal perjanjian atau pasal hukum Tuhan. Tapi kalau harta anak yatim pun mereka tak jaga, itu sudah cukup menunjukkan rosaknya mereka bukan pada mulut sahaja, tetapi pada perangai dan cara hidup.

Dan bila yang lemah pun tidak selamat, itu petanda yang sangat buruk. Maksudnya belas kasihan sudah mati. Amanah sudah runtuh. Orang yang tak mampu lawan pun sanggup dimakan haknya. Bila sampai tahap begitu, jangan pelik kalau hukuman Allah datang. Sebab yang rosak itu bukan satu dua orang sahaja. Yang rosak itu jiwa satu kaum.


Kewajipan Menunaikan Janji

Dalam al-Quran, Allah sebut dengan jelas supaya perjanjian itu ditunaikan. Ini besar bukannya kecil. Sebabnya satu kaum tidak runtuh hanya kerana mereka tidak tahu. Banyak kali satu kaum runtuh sebab mereka tahu, mereka berjanji dan mereka setuju, tetapi lepas itu mereka sendiri yang mungkir.

Perkara ini tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Di sinilah kita nampak satu lagi jurang yang besar. Dalam al-Quran, janji itu diletakkan terus dalam perintah. Maksudnya, janji bukan benda sampingan. Janji ialah ukuran sama ada satu kaum masih ada amanah atau sudah rosak dari dalam.

Ini sangat dekat dengan perangai satu puak yang suka buat perjanjian, suka bercakap tentang syarat, suka tunjuk seolah-olah mereka setuju, tetapi dalam hati mereka sudah ada niat lain. Perjanjian dibuat untuk dilanggari. Gencatan dibuat untuk dipatahkan. Damai dibuat untuk menunggu masa yang sesuai. Dari luar nampak mereka masuk meja rundingan. Tapi dari dalam mereka sedang cari ruang untuk mungkiri.

Sebab itu perintah menunaikan janji ini bukan perintah kecil. Bila satu kaum sudah hilang rasa berat terhadap janji, maka apa lagi yang tinggal pada mereka? Mulut boleh cakap macam-macam. Dokumen boleh ditandatangani. Syarat boleh dipersetujui. Tetapi semua itu jadi sia-sia bila janji sendiri memang dibuat untuk dikhianati.

Di sinilah kita faham kenapa Allah letak perkara ini dalam perintah. Sebabnya bila janji sudah jadi bahan permainan, satu kaum sedang berjalan terus ke arah hukuman Allah. Mereka mungkin masih nampak kuat di luar. Mereka mungkin masih pandai susun helah. Tetapi di sisi Allah, mereka sudah retak dan pecah lalu bersedia untuk menerima hukuman.


Keadilan Dalam Sukatan Dan Timbangan

Dalam al-Quran, Allah masukkan keadilan dalam sukatan dan timbangan terus ke dalam perintah. Ini menunjukkan bahawa urusan nilai, ukuran dan hak manusia dalam muamalat bukan benda kecil. Ia bukan sekadar soal pasar lama atau penimbang fizikal. Ia soal sama ada satu kaum itu jujur atau menipu dalam cara mereka menentukan nilai.

Perkara ini juga tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Padahal inilah salah satu pintu besar kezaliman. Dulu orang menipu dengan mengurangkan sukatan dan timbangan di depan mata. Hari ini cara itu jadi lebih halus. Nilai duit sendiri boleh dirosakkan. Kuasa beli manusia boleh dihakis perlahan-lahan. Harta orang boleh disedut melalui riba, manipulasi sistem dan inflasi yang menjadikan sesuatu yang dahulu bernilai tinggi, akhirnya tinggal angka yang hampir kosong.

Di sinilah kita kena faham bahawa mengurangkan timbangan pada zaman moden bukan semestinya berlaku dengan tangan yang mencuri satu genggam barang dari penimbang. Ia juga boleh berlaku bila sistem kewangan sendiri dibina untuk menghakis nilai, mengubah ukuran dan memindahkan kekayaan secara senyap daripada orang ramai kepada pihak yang memegang kuasa. Dari luar nampak sah sahaja. Tetapi pada hakikatnya orang sedang dibayar kurang daripada nilai sebenar, sedang membeli dengan kuasa beli yang sudah rosak, dan sedang hidup dalam sistem yang menipu tanpa perlu menyentuh penimbang lama.

Sebab itu ayat ini sangat relevan sampai hari ini. Allah bukan bercakap tentang pasar sahaja. Allah sedang membuka kepada kita satu prinsip besar, iaitu jangan kurangkan hak manusia melalui ukuran yang zalim. Bila ukuran nilai sudah rosak, satu kaum akan mula hidup atas penindasan yang mereka sendiri anggap biasa. Dari situlah kezaliman ekonomi membesar, jurang makin melebar dan kerosakan merebak ke seluruh masyarakat. Bila sampai tahap begitu, hukuman Allah bukan lagi benda yang jauh.


Larangan Ikut Tanpa Ilmu

Ini antara perbezaan yang paling kuat. Dalam al-Quran, Allah bukan setakat larang dusta. Allah larang ikut sesuatu tanpa ilmu. Pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan ditanya. Maksudnya, satu kaum tak boleh lagi lepas tangan dengan alasan mereka cuma ikut apa yang mereka dengar, apa yang mereka nampak atau apa yang orang sebelum mereka sudah buat. Tak boleh ikut-ikutan.

Perkara ini juga tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Padahal inilah antara punca rosak yang paling bahaya. Bila satu kaum sudah biasa ikut tanpa ilmu, mewarisi pemikiran orang terdahulu, mereka akan pegang benda yang salah pun macam benda betul. Mereka akan ulang apa yang mereka dengar tanpa periksa. Mereka akan pertahan apa yang diwariskan kepada mereka walaupun benda itu sudah bengkok.

Di sinilah bahayanya. Ilmu yang Allah maksudkan di sini bukan ilmu untuk nampak hebat. Ilmu di sini maksudnya tahu apa yang benar sebelum kita ikut, cakap, hukum atau bela sesuatu. Kalau benda ini runtuh, satu kaum akan hidup atas sangkaan, cerita lama, dakwaan turun-temurun dan tuduhan yang tak pernah disemak betul-betul.

Sebab itu larangan ini besar. Bila satu kaum sudah biasa dengar lalu percaya, tengok lalu hukum dan warisi lalu pertahan, mereka akan susah nampak kebenaran walaupun benda itu ada depan mata. Bila keadaan ini jadi budaya, yang salah akan nampak macam betul, yang batil akan nampak macam agama dan yang zalim akan nampak macam hak. Bila sudah sampai tahap itu, hukuman Allah bukan makin mendekat.

Larangan Berjalan Dengan Angkuh

Al-Quran juga letak larangan berjalan dengan angkuh dalam perintah ini. Maksudnya bukan pasal cara melangkah kaki semata-mata. Allah sedang hentam perangai yang suka rasa diri besar, rasa diri lebih tinggi dan rasa orang lain semuanya kecil.

Perkara ini juga tidak muncul langsung dalam The 10 Commandments yang masyhur hari ini. Sebab itu kita kena nampak bahawa al-Quran bukan sekadar jaga soal perbuatan luar. Al-Quran juga buang penyakit dalam jiwa. Bila hati sudah mula angkuh, rosak yang lain akan ikut sekali.

Bila satu kelompok sudah rasa mereka ini puak khas, puak pilihan, lebih mulia, lebih layak dan lebih dekat dengan Tuhan daripada orang lain, dari situlah banyak benda lain mula rosak secara perlahan. Mereka akan mudah pandang rendah kepada orang luar. Mereka akan rasa adab tidak lagi penting bila berdepan dengan orang yang bukan daripada kelompok mereka. Hak orang lain mereka pandang ringan. Darah orang lain mereka tak rasa mahal. Harta orang lain jadi mudah untuk diambil. Amanah pun jadi senang dipermainkan.

Sebab itu larangan ini juga besar. Angkuh bukan perangai kecil. Bila rasa eksklusif dan rasa lebih tinggi sudah masuk dalam jiwa satu kaum, mereka boleh pergi ke mana-mana pun dengan membawa perangai yang sama. Dari luar nampak mereka kuat. Tetapi di sisi Allah, itulah benih kerosakan yang paling bahaya. Bila penyakit ini sudah naik, satu kaum boleh terus rasa mereka masih betul walaupun mereka sebenarnya sedang berjalan terus ke arah hukuman.


Makluman

Sebelum masuk kepada dua bahagian terakhir ini, kita kena faham dahulu bahawa kedua-duanya yang dinyatakan selepas ini tidak duduk pada aras yang sama seperti perintah-perintah sebelumnya. Dua ayat ini bukan sekadar satu lagi item dalam senarai. 

Daripada ayat 38 dan 39, kita boleh faham bahawa kedua-duanya datang sebagai penutup yang menghimpunkan semula seluruh rangka perintah tadi. Ayat 38 menunjukkan bagaimana Allah menilai semua keburukan yang telah disebut satu demi satu. Ayat 39 pula menegaskan bahawa seluruh rangka itu ialah sebahagian daripada hikmah yang diwahyukan.

Sebab itu dua bahagian ini lebih besar daripada perintah biasa. Ia bertindak sebagai penutup, pengesah dan penjaga kepada semua elemen perjanjian yang telah dibentangkan sebelumnya. Tanpa dua ayat ini, orang mungkin baca semua perintah tadi sebagai senarai hukum yang berasingan. Tetapi dengan dua ayat ini, kita faham bahawa semuanya dihimpunkan di bawah penilaian Allah dan dimeterai sebagai perjanjian Allah dengan Bani Israel.


Penegasan Bahawa Segala Keburukan Itu Dibenci Allah

Selepas Allah menyebut satu demi satu perintah dan larangan dalam Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 37, ayat 38 datang menutup semuanya dengan satu penegasan yang sangat jelas. Allah berfirman bahawa segala keburukan itu dibenci di sisi-Nya. Ini bermaksud semua pelanggaran yang telah disebut tadi bukan perkara ringan, bukan perkara pinggiran dan bukan sekadar kesalahan kecil yang boleh dipandang sambil lewa. Semuanya masuk dalam lingkungan perkara yang Allah benci.

Di sini al-Quran tidak berhenti pada tahap menyebut hukum sahaja. Allah terus letak penilaian-Nya ke atas semua keburukan itu. Maksudnya, pembaca tidak dibiarkan membaca semua perintah tadi sebagai senarai adab yang berdiri sendiri. Allah sendiri tutup rangka itu dengan keputusan bahawa keburukan-keburukan tersebut ialah sesuatu yang dimurkai dan dibenci.

Dalam bentuk The 10 Commandments yang masyhur hari ini, penutup seperti ini tidak muncul dalam bentuk yang sama pada hujung rangka perbandingan kita. Sebab itu ayat 38 sangat penting. Ia bukan menambah satu perintah baru. Ia mengumpulkan semula semua larangan tadi di bawah satu penilaian Allah yang tegas.

Maka sesiapa yang mahu memahami punca hukuman ke atas Bani Israel, dia tidak boleh baca senarai ini secara sambil lewa. Bila Allah sendiri sebut bahawa segala keburukan itu dibenci di sisi-Nya, maka kita sedang melihat ukuran yang membawa kepada kemurkaan dan hukuman.


Penegasan Bahawa Semua Itu Ialah Hikmah Yang Diwahyukan

Selepas ayat 38 menegaskan bagaimana Allah menilai semua keburukan itu, ayat 39 pula datang menegaskan dari mana datangnya seluruh rangka perintah tadi. Allah menyebut bahawa semua itu ialah sebahagian daripada hikmah yang diwahyukan. Ini sangat besar maknanya dan ia adalah terpelihara. Maksudnya, semua perintah dan larangan yang telah disebut sebelum itu bukan hasil susunan manusia, bukan petua hidup dan bukan nasihat moral yang boleh dipilih ikut suka. Semuanya datang daripada hikmah wahyu ilahi.

Di sinilah ayat 39 mengesahkan identiti sebenar seluruh rangka tersebut. Ia adalah wahyu, hikmah dan datang daripada Allah. Dengan penegasan ini, seluruh blok ayat 22 hingga 39 tidak lagi boleh dibaca sebagai cebisan hukum yang terpisah. Semuanya mesti dihimpunkan semula sebagai satu rangka perjanjian yang Allah sendiri wahyukan.

Dalam bentuk The 10 Commandments yang masyhur hari ini, penegasan seperti ini tidak dibuka dalam bentuk yang sama pada hujung blok perbandingan kita. Sebab itu ayat 39 sangat penting dalam hujah ini. Bila Allah sendiri sebut bahawa semua itu ialah hikmah yang diwahyukan, maka ketiadaan unsur-unsur besar ini dalam bentuk The 10 Commandments yang terkenal hari ini bukan perkara kecil.

Ini menunjukkan bahawa bentuk yang ada pada hari ini tidak lagi memaparkan keseluruhan rangka perjanjian asal dengan jelas sebagaimana yang Allah buka semula dalam al-Quran.

Jadi, ayat 38 dan 39 bukan sekadar tambahan di hujung senarai. Dua ayat ini ialah penutup yang mengunci seluruh rangka perintah sebelumnya. Ayat 38 meletakkan penilaian Allah terhadap semua keburukan yang telah disebut. Ayat 39 menegaskan bahawa seluruh rangka itu datang daripada hikmah wahyu. Sebab itu dua ayat ini berfungsi sebagai pengesah kepada semua perintah sebelumnya. Satu menunjukkan bagaimana Allah memandang pelanggaran itu. Satu lagi menunjukkan bahawa semua itu datang terus daripada wahyu-Nya. Di sinilah rangka perintah itu ditutup dengan penuh ketegasan.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.